JIka kita ke UKM melalui bandar Kajang, biasanya kita akan melalui sebatang jalan sepanjang kira-kira 10 km yang menghubungkan bandar Kajang dengan UKM. Jalan ini bernama Jalan Reko.
Saya tidak tahu sejak bila jalan ini bernama Jalan Reko, dan dari mana asal perkataan Reko itu.
Saya pernah bertanya kepada seorang bekas guru di Kajang yang mengetahui sebanyak sedikit sejarah pekan ini, dari manakah asal perkataan Reko?
Dia mengatakan nama Reko itu berasal dari nama orang; mungkin nama Mat Salleh. Tapi jawapannya tidak meyakinkan saya.
Bila saya baca buku A History of Selangor 1766-1939 oleh J.M. Gullick, saya mendapat maklumat bahawa pada akhir abad ke-19 yang lalu, di hujung Jalan Reko, berhampiran dengan setesyen komuter Bandar Baru Bangi dan UKM yang ada sekarang, ada sebuah pekan kecil bernama Rekoh.
Nama Rekoh ini ada dalam peta daerah Ulu Langat (sekarang Hulu Langat) abad ke-19. Sebuah sungai kecil berhampiran dengan UKM dan berhampiran dengan bekas tapak pekan Rekoh sehingga sekarang masih bernama Sungai Rekoh.
Oleh itu, saya agak yakin bahawa nama Reko itu berasal dari Rekoh, dan nama jalan itu sepatutnya ialah Jalan Rekoh; bukan Jalan Reko.
Saya tidak tahu siapa yang telah menetapkan Jalan Reko sebagai nama jalan yang berkenaan dan bukan Jalan Rekoh.
Bagaimanapun, dalam hal ini kita mungkin boleh mengatakan bahawa kesilapan telah berlaku. Adakah masih mungkin kita mengubah Jalan Reko menjadi Jalan Rekoh?
Pada pendapat saya kesilapan yang berlaku adalah disebabkan gaya sebutan penjajah Inggeris suatu masa dahulu. Seperti juga yang berlaku pada bandar Sentul, yang ramai menyebutnya sebagai Séntul.
ReplyDelete