Thursday, November 24, 2011

Festival Budaya Pasar Terapung di Banjarmasin

Mulai hari ini, 24/11/2011 ada Festival Budaya Pasar Terapung di Banjarmasin. Alangkah bagusnya kalau saya tahu lebih awal.Mungkin saya akan pergi melihatnya ke sana. Malangnya tidak ada keluarga atau kawan di Banjarmasin yang memberi tahu saya tentang hal tersebut.

Thursday, November 17, 2011

Berjalan jauh untuk mengambil wang bantuan RM100

Semalam saya menerima surat daripada Guru Besar sekolah cucu saya, bahawa wang bantuan RM 100 daripada kerajaan kepada murid sekolah akan disampaikan pada 17 November 2011. Ibu bapa atau penjaga murid diminta datang mengambil wang itu dari pukul 11.00 pagi hingga pukul 2.00 petang.

Saya datang ke sekolah berkenaan tepat pukul 11.00 pagi. Ibu bapa yang datang belum berapa ramai. Saya dimaklumkan guru yang mengambil wang itu di bank belum balik ke sekolah, dan kami diminta menunggu.

Sampai pukul 12.00 guru berkenaan belum balik ke sekolah. Saya balik ke rumah saya yang tidak jauh dari sekolah, kerana sudah penat menunggu.

Pukul 12. 40 saya mendapat panggilan telefon daripada cucu saya yang memaklumkan bahawa wang dari bank sudah sampai ke sekolah, dan saya diminta datang ke sekolah sekali lagi.

Apabila saya sampai sekolah kira-kira pukul 12.50, saya dapati kereta ibu bapa yang datang hendak mengambil wang bantuan itu sudah penuh di jalan-jalan utama yang berhampiran dan menghala ke sekolah itu. Alangkah ramainya ibu bapa yang hendak mengambil wang itu.

Saya terpaksa parking kereta kira-kira suku batu dari sekolah dan terpaksa berjalan jauh untuk mengambil wang itu. Satu perkara yang tidak pernah saya alami ketika berurusan dengan sekolah itu.