Monday, December 15, 2014

Akan berkunjung ke Temerloh

Saya bercadang akan ke Temerloh pada bulan  Januari 2015. Antara orang yang ingin saya temui ialah anak Manap Jepun dan cucu Yusof Salleh dan iserinya Maimunah Salleh. Syukur alhamdulillah sudah ada beberapa orang penduduk Temerloh yang menyatakan kesediaan untuk membantu saya menemui mereka.

Anak Manap Jepun pula sudah meminta nombor HP saya dan sudah menghubungi saya. Mungkin saya akan bercakap dengan beliau melalui telefon sebelum saya berkunjung ke Temerloh.

Sementara itu, ada seorang lagi yang ingin saya temui, iaitu Ustaz Zainal Hasan yang dahulunya pernah belajar di UKM pada awal tahun 1980-an. Beliau adalah pengarang buku Sejarah Islam Pahang. Dan saya berminat untuk mendapatkan buku beliau.

Wednesday, December 3, 2014

Indon dapat IC Biru dengan mudah di Sabah

Di Taman Seri Langat, Kajang   ada beberapa buah flat murah yang penghuninya banyak terdiri daripada pendatang asing: Indon, Bangla dan lain-lain. Sebahagian  besar daripada pendatang asing itu ialah pekerja kilang di Bandar Baru Bangi dan pekerja sebuah pasar raya besar yang terletak di Jalan Reko, Kajang.

Di antara orang Indon itu ada seorang yang selalu bersembahyang Isya  di  surau  Taman Seri Langat, tempat saya juga bersembahyang secara berjemaah.  Dia selalunya menundukkan diri apabila bersalam dengan saya, mungkin sebagai tanda hormat. Bagaimanapun, saya jarang sekali berkesempatan untuk berbual-bual dengannya.

Pada suatu hari, dia datang awal ke surau untuk bersembahyang Isya, dan  dapatlah saya berbual-bual dengannya, walaupun tidak begitu lama.

Antara lain, saya bertanya, "Bapak sudah ada IC Merah"?  Saya bertanya demikian, kerana saya menduga dia sudah menjadi penduduk tetap, dan mengikut pengalaman saya memang ramai orang Indon yang menetap di flat murah  seperti beliau sudah mempunyai IC Merah

"Oh, tidak. Saya ada IC Biru", jawab beliau.

Jawapan beliau menarik hati saya, walaupun saya tidaklah terlalu  terkejut. "Bila dapat?" saya bertanya.

"Dulu masa saya tinggal di Sabah", jawabnya.

Rupanya  beliau pernah tinggal di Sabah sebelum berpindah ke Semenanjung. Beliau mendapat IC Biru tidak lama setelah tinggal di Sabah.

Saya tidak bertanya bagaimana beliau boleh mendapat IC Biru itu; bagaimana prosesnya, dan adakah kena bayar atau tidak.

Bagaimanapun, ini adalah satu contoh bagaimana seorang pendatang asing yang baru datang ke Sabah boleh mendapat IC biru dengan mudah pada satu masa dahulu.




Ahmad Salleh (Mantan Setiausaha BATAS (Barisan Tani Malaya)

Nama Ahmad Salleh hampir tidak tersebut dalam buku-buku yang ditulis oleh Abdullah CD dan Suriani Abdullah, walaupun  dia salah seorang pejuang kemerdekaan yang penting dari Temerloh dan pernah bergerak dalam  Rejimen Ke-10. Ini  barangkali kerana Ahmad Salleh  telah meninggalkan  berjuangan bersenjata lebih awal daripada  kawan-kawannya. Bagaimanapun, saya kira beliau pernah memainkan peranan yang penting, dan namanya tidak harus dilupakan begitu sahaja.

Ahmad yang merupakan anak seorang guru pernah belajar di Sekolah Inggeris  di Kuala Lipis  dan meninggalkan bangku sekolah kerana menyertai perjuangan kemerdekaan. Bapanya dikatakan menangis kerana tindakannya meninggalkan bangku persekolahan itu.

Ahmad mempunyai hubungan rapat dengan Kamarulzaman Teh, Ketua API Pahang dan pemimpin API yang lain.Akan tetapi katanya dia tidak memegang apa-apa jawatan dalam gerakan itu.

Jawatan penting yang  pernah dipegang oleh Ahmad ialah Setiausaha Barisan Tani Malaya (BATAS)  yang diketuai oleh Musa Ahmad, yang kemudiannya pernah menjadi Pengerusi PKM.

Dalam Rejimen Ke-10, Ahmad pernah memegang jawatan tinggi, iaitu sebagai Ketua Kompeni dengan pangkat Kaptan. Dalam perjuangan  dia memakai nama samaran Abas. Jadi ketika itu   dia disebut Kaptan Abas.

Selepas "Peristiwa Padang Piol"   yang hampir menghancurkan  Rejimen Ke-10, Ahmad adalah salah seorang yang balik ke Temerloh dan ingin meninggalkan perjuangan. Dia dikatakan pernah berjumpa dengan Yoep Mahidin, ADO Temerloh secara sulit. Kerana tindakannya berjumpa dengan Yoep  Mahidin itu dia dicurigai oleh Chin Peng  dan mungkin akan dikenakan tindakan,   Oleh itu,   dia telah mengambil keputusan untuk  melarikan diri ke Indonesia.

Bagaimanapun, dia tidak jadi melarikan diri ke Indonesia, kerana barangkali tidaklah mudah untuk berbuat demikian. Dia kemudian dimaafkan oleh Chin Peng, dan . atas pujukan Chin Peng dia menyertai  Ibrahim Chik yang  ditugaskan pergi ke Selatan Thailand  untuk merintis penempatan Rejimen Ke-10 di negera  itu, sebelum pasukan Rejimen Ke-10 pindah beramai-ramai  ke negara itu.

Bagaimanapun, Ahmad mengambil keputusan meninggalkan perjuangan,  kerana tidak bersetuju Rejimen  Ke-10  meneruskan perjuangan bersenjata dari Selatan Thailand dan seterusnya turun ke Tanah Melayu semula.

Dia menyerah diri  kepada Pasukan Keselamatan  di Kota Baharu, Kelantan  pada tahun 1955 dan kemudian bekerjasama dengan pihak kerajaan  yang mahu menghapuskan gerakan komunis, ketika kawan-kawannya seperti Abdullah CD dan lain-lain masih meneruskan perjuangan dari Selatan Thailand sehingga tahun  1989.


.

Tuesday, December 2, 2014

Manap Jepun (Mantan Setiauasaha PKMM Temerloh)


Saya sudah lama mendengar nama Manap Jepun (almarhum) yang berasal dari Temerloh. Dia diberi nama Manap  Jepun kerana ibunya Wan Esah adalah seorang wanita Jepun. Bapa Manap , Siwang  dapat berkahwin dengan wanita Jepun itu kerana dia pernah bekerja sebagai kelasi kapal yang belayar ke Jepun.

Pada tahun 1970-an seorang bapa saudara saya  pernah bercerita bahawa dia dan Manap  berkawan  baik kerana mereka pernah sama-sama menjadi  askar Jepun pada masa pemerintahan Jepun.

Apabila saya  mula membuat kajian untuk tesis Ph. D saya di Temerloh pada tahun 1981, saya  mendengar cerita bahawa Manap pernah  bergerak dalam PKMM pada tahun 1946 hingga 1948, kemudian menyertai perjuangan bersenjata bersama Rejimen Ke-10 PKM  mulai akhir tahun 1948.

Mengikut Jaafar Husin (bekas Ketua PKMM Temerloh) dalam bukunya Kebenaran, Manap pernah memegang  jawatan Setiausaha PKMM Temerloh. Manap juga merupakan salah seorang yang banyak memberi ceramah politik di kawasan Temerloh pada masa itu.

Perjuangan Manap Jepun menarik untuk dikaji,walaupun dia mungkin hanya tokoh kecil dalam Rejimen ke-10. Keberaniannya dan kehebatannya dalam  perjuangannya  bersama Rejimen ke-10 itu memang menjadi sebutan banyak orang yang mengenalinya.

Salah seorang pejuang dari Temerloh yang pernah bercerita  kepada saya tentang Manap Jepun ialah  allahyarham Abu Samah Mohd.Amin,   bekas  pemimpin API dari Lubuk Kawah,  yang pernah menjadi ketua tentera PKM bagi kawasan (wilayah)  Pahang Timur.  Manap Jepun adalah orang bawahnya.

Setelah meninggalkan perjuangan  bersenjata Abu Samah  bergiat dalam PSRM dan pernah menjadi calon PSRM di Temerloh dalam 4 kali pilihan raya. Dia hampir menang dalam pilihan raya tahun 1959.

Saya bercadang untuk menulis biografi Manap Jepun sekiranya mendapat bahan yang mencukupi.