Wednesday, July 31, 2013

Membaca buku Hamka, Kenang-Kenangan Hidup

Pada tahun 1950-an dahulu, ketika saya mula membaca buku-buku Indonesia, pembacaan saya lebih tertumpu kepada buku-buku novel, cerpen, sajak dan esei. Saya tidak begitu berminat membaca buku-buku biografi dan autobiografi, walaupun saya ada juga membelinya sebuah dua. Oleh itu, buku autobiogrfi Hamka, Kenang-Kenangan Hidup, yang diterbitkan dalam empat jilid, telah saya abaikan begitu saja. Pada tahun 2009, buku Hamka, Kenang-Kenangan Hidup itu telah diterbitkan oleh Pustaka Dini, Kuala Lumpur dalam satu jilid tebal, iaitu setebal 700 halaman, dan saya telah membelinya. Bagaimanapun, buku itu tidaklah saya baca secara keseluruhannya dengan serta merta . Hanya dalam bulan Julai 2013 ini saya cuba membaca buku tebal itu dari mula sampai akhir. Rupanya buku Hamka yang berkenaan memang sangat menarik. Saya telah baca Bahagian Pertama, tentang pengalaman beliau masa kecil, Bahagian Dua tentang pengalaman beliau sebagai pendakwah dan pengarang, dan Bahagian Tiga tentang pengalaman beliau pada masa Jepun. Sekarang saya sekarang membaca Bahagian Empat, iaitu tentang pengalaman beliau pada zaman kemerdekaan.

Saturday, July 27, 2013

Mengapa saya dibinkan dengan Lamry dan bukan Ramli?

Barangkali selain daripada nama ayah saya yanag  ditulis sebagai Lamry dalam surat beranak saya, hampir tidak ada atau sangat sedikit orang lain yang bernama Lamri. Saya teringat satu masa dahulu ada seorang pegawai tinggai kerajaan di Sabah bernama Lamri. Baru-baru ini saya bertemu dengan  seorang teman wanita di facebook  yang nama bapanya bernama Lamri (Suhada binti Lamri). Itu sahaja nama orang bernama Lamri yang saya temui.

Bagaimanapun, nama bapa sebenarnya ialah Ramli, dan adik-adik saya semuanya  dibinkan dengan "Ramli"; hanya saya seorang  yang  dibinkan dengan   Lamry (Tak tahu mengapa ejaannya Lamry dan bukan Lamri).

Saya dibinkan dengan Lamry dan bukan Ramli, mungkin kerana masa melaporkan kelahiran saya dahulu, bapa saya memberitahu pegawai polis  yang mencatatkan laporan itu bahawa namanya ialah Lamrik dan bukan Ramli.  Ini kerana ayah saya adalah orang Banjar dan di kalangan orang Banjar memang biasa nama Ramli itu diterbalikkan menjadi Lamrik.

Oleh kerana ayah saya melaporkan namanya Lamrik, maka pegawai polis berkenaan menulis dalam surat beranak saya bahawa saya  dibinkan dengan  Lamry dan bukan   Ramli. Yang aneh sedikit dia menggunakan ejaan Lamry dan bukan Lamri.

Sejak itu  nama saya dalam pendaftaran sekolah, dalam kad pengenalan, buku simpanan bank dan pasport antarabangsa dll semuanya dicatatkan "bin Lamry".

Nama Lamry ini tentu agak janggal.  Pada masa saya di bangku sekolah  rendah dahulu ada guru   saya yang bertanya mengapa   saya dibinkan dengan  Lamry,  kerana  dia tahu nama bapa saya ialah Ramli.

Setengah-setengah pihak yang berhubung dengan saya, kadang-kadan mengubah nama  ayah  saya menjadi Lambri (mereka tambah huruf b). Mereka tak yakin nama ayah saya ialah Lamry.

Sesetengah kawan pula ada yang bergurau dengan mengatakan saya anak Sang Lamri (nama binatang).

Pada masa dahulu, saya ada kalanya merasa tidak selesa  dengan nama bin Lamry ini. Tapi oleh kerana untuk mengubah nama saya dalam pelbagai dokumen agak rumit, nama itu saya biarkan sahaja. Sekarang sudah biasa, dan nama itu pun mungkin ada keistimewaannya, kerana keganjilannya. Jadi saya biarkan sahaja.

Hanya ada kalanya dalam keadaan tertentu, misalnya ketika saya hendak menuntut tanah/harta  pusaka, saya terpaksa membuat surat sumpah bahawa  saya anak Ramli. Jadi saya boleh juga dibinkan dengan Ramli, di samping  bin Lamry dalam kad pengenalan dan dalam dokumen lain.





Friday, July 26, 2013

Berakhirnya hubungan saya dengan Tan Sri Prof. Kamal Hasan

Saya membeli rumah  Dr.Haron Din di Taman Bangi, Jalan Reko, Kajang pada tahun 1983 setelah saya gagal membeli rumah di Bandar Baru Bangi, yang ketika itu masih lagi kekurangan rumah,dan tidak ada rumah yang sesuai untuk saya beli. Akan tetapi, ada sebab lain mengapa saya membeli rumah yang hendak dijual oleh Dr. Haron Din ketika itu.

Antara sebabnya  ialah di Taman Bangi ramai pensyarah UKM yang akan menjadi jiran saya, khasnya pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam, dan salah seorang daripada   mereka  ialah Dr. Kamal Hassan (sekarang Tan Sri, Profesor) yang ketika itu masih bekerja di UKM, sebelum beliau pindah Ke UIA.

Perhubungan saya dengan Dr.Kamal sebenarnya agak rapat di sekitar tahun 1980-1981. Kami sering berjumpa dan berbual-bual hampir tiap-tiap hari di UKM. Topik perbincangan kami banyak tertumpu kepada "sosiologi Islam" yang beliau dan saya ingin kembangkan pada masa itu. Beliau juga banyak menghadiahkan buku-buku yang beliau peroleh dari Kedutaan Iran, khasnya tulisan Ali Syariati yang sangat popular pada  masa itu.

Pada satu masa saya dan beliau sama-sama bersembahyang Jumaat di masjid Kajang. Beliau  biasanya  akan berjumpa dan berbual-bual dengan saya  di pinggir jalan di hadapan masjid itu selepas kami bersembahyang Jumaat  sebelum pulang. Hal ini berlaku beberapa bulan juga.

Bagaimanapun, beliau mula  menjauhkan diri  daripada saya kira-kira pada awal atau pertengahan tahun 1982.Kalau berjumpa selepas sembahyang Jumaat di masjid Kajang atau selepas bersembahyang tawarih di surau Seri Langat, beliau cepat-cepat beredar dan tidak berminat lagi untuk berbual panjang dengan saya, seperti sebelumnya.

Pada mulanya  saya tidak mengerti mengapa beliau berubah sikap demikian. Akan tetapi, agak lama kemudian,  saya  ketahui juga sebab-sebabnya, walaupun sebahagiannya adalah kerana salah faham.

Sebabnya ialah pada awal tahun 1982 itu saya mendaftar sebagai  calon Ph.D di Universiti Malaya,  di bawah bimbingan Dr. Syed  Husin Ali, yang memang dikenali ramai sebagai tokoh Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSMM) dan tentunya beliau adalah seorang sosialis.

Dr.Kamal Husin mungkin merasa tidak "sebulu" dengan seorang sosialis, apalagi seorang tokoh sosialis seperti Syed Husin. Jadi apabila saya membuat Ph.D di bawah Syed Husin, entah bagaimana Dr.Kamal menganggap saya telah dipengaruhi oleh  Syeda Husin dan mungkin di bawah telunjuk  seorang sosialis seperti Syed Husin. Dengan itu beliau menganggap saya tidak sealiran lagi dengan beliau  dan tidak perlu lagi beliau temui dan dampingi seperti sebelumnya.

Anggapan beliau bahawa saya telah  berada di bawah pengaruh dan telunjuk Syed Husin itu sebenarnya tidak benar, kerana Syed Husin tidak pernah mempengaruhi apalagi memaksakan pendapatnya kepada  para pelajarnya. Lagipun, sebagai seorang yang telah dewasa, saya tetap mempunyai sikap dan pendirian sendiri, walaupun saya membuat Ph.D di bawah bimbingan Syed Husin.

Bagaimanapun, saya tidak mengambil apa-apa langkah untuk menerangkan hal itu kepada Dr.Kamal, setelah mendapati beliau berubah sikap seperti itu.

Sejak itu, perhubungan kami  terus renggang, walaupun beliau masih tinggal di Taman Bangi, setaman dengan saya. Apatah  lagi kemudian beliau  telah menjadi Rektor UIA yang statusnya sudah lebih tinggi daripada saya, dan telah menjadi seorang yang lebih sibuk pula.

 Kalau saya, sekali sekala,   mengadakan kenduri tahlil  misalnya, beliau tidak pernah  lagi datang ke rumah saya . Yang datang biasanya hanya isterinya, mungkin sebagai wakil, kerana isterinya masih berkawan dengan  isteri saya .

Saya biasanya masih berkunjung ke rumah beliau, tapi hanya  setahun sekali, ketika  beliau mengadakan rumah terbuka pada masa hari raya.  Dalam perjumpaan di rumah terbuka itu, di kalangan pengunjung yang ramai, kami hanya dapat bertegur sapa dan bercakap sepatah dua sahaja.

Apabila beliau berpindah ke Bandar Baru Bangi, iaitu ke Taman Mutiara Bangi tempat beliau tinggal sekarang, perhubungan kami boleh dikatakan sudah terputus. Kami tidak pernah lagi berkunjung  ke rumah masing-masing, dan berjumpa di mana-mana pun, kalau ada,  boleh dikatakan tersangat jarang.

Bagaimanapun, dalam beberapa tahun kebelakangan, beliau masih menjemput saya dan isteri, ketika beliau mengadakan  resipsi perkahwinan  anak-anak beliau. Ketika itulah saya dan isteri berkunjung ke rumah beliau, walaupun  tentunya tidaklah tiap-tiap tahun.

Dalam satu perjumpaan secara kebetulan, saya tidak ingat lagi di mana, tapi di rumah seorang kawan,  saya pernah menawarkan diri untuk menulis biografi beliau, kerana kerja "utama" saya sekarang  memang menulis biografi tokoh. Akan tetapi,  beliau tidak dapat menerimanya, kerana katanya perjalanan hidup beliau mungkin masih panjang, dan beliau juga masih ragu-ragu adakah kisah-kisah dan pengalaman beliau pada zaman muda sesuai  didedahkan kepada umum.

Kira-kira  dua  tahun yang lalu, beliau mengadakan  resipsi perkahwinan untuk anak beliau yang bongsu di satu hotel besar di Jalan Puchong. Kerana sebab-sebab  yang tidak dapat dielakkan, saya tidak dapat hadir. Selepas  itu  saya tidak pernah lagi berjumpa dengan beliau. Perhubungan kami sudah berakhir,  walaupun tempat tinggal kami, Kajang dan Bandar Baru Bangi, sebenarnya tidaklah berjauhan  sangat.

Thursday, July 25, 2013

Hutan tebal di depan rumah

Taman Bangi yang terletak di Jalan Reko ialah salah sebuah taman perumahan yang  terawal dibina  berhampiran dengan pekan Kajang. Walaupun namanya Taman Bangi, taman ini lebih dekat dengan pekan Kajang daripada Bandar Baru Bangi atau kampung Bangi lama. Ia diberi nama Taman Bangi mungkin mengambil sempena nama Bandar Baru Bangi yang dibuka kira-kira serentak dengan pembukaan taman ini.

Taman yang mula diduduki pada tahun 1978 ini mengandungi 24 buah rumah kembar dua (Semi-D) dan rumah teres dua tingkat. Pada  mulanya kira-kira dua pertiga daripada penduduk taman ini ialah orang Melayu dan kebanyakannya pensyarah UKM Bangi yang baru dibuka pada masa itu.

Akan tetapi, kini sebahagian besar penduduk taman ini telah berpindah ke tempat lain, umumnya membuat banglo besar di atas tanah mereka sendiri, ataupun telah meninggal dunia. Jadi kini penduduk Melayu hanya tinggal  kira-kira satu pertiga, manakala dua pertiga lagi ialah penduduk bukan Melayu.

Saya membeli  rumah teres dua tingkat  di taman ini dari pemilik asalnya Dr. Haron Din,  pensyarah UKM, tokoh perubatan Islam dan pendakwah yang terkenal, dan berpindah  ke taman ini pada tahun 1983. Sebelum itu saya tinggal di Taman Hew Thai, Semenyih, yang salah seorang jiran saya ialah Dr.Sidek Fadzil,  yang ketika itu juga pensyarah UKM.

Ketika saya mula-mula  berpindah ke Taman Bangi ini, di  seberang jalan  yang berhadapan dengan rumah saya masih ada hutan tebal yang banyak mengandungi pokok-pokok besar. Ada juga pokok rotan di celah-celah pokok besar itu. Hutan tebal itu terletak  di lot tanah yang dikatakan dipunyai oleh seorang ceti yang sudah balik ke India. Jadi tanah itu terbiar selama berpuluh tahun sehingga menjadi hutan tebal.

Di hutan itu ada kera yang bergayutan dari pokok ke pokok dan ada juga burung wak-wak yang sering berbunyi pada waktu malam. Tetapi tidak ada sesiapa  yang  berusaha untuk menangkap burung  wak-wak itu, dan tidak sesiapa  juga yang mengganggu monyet-monyet  itu, yang menjadikan hutan itu sebagai tempat tinggalnya.

Hutan itu terus wujud lebih 10 tahun selama saya tinggal di Taman Bangi. Saya tidak merasa terganggu  dengan kewujudan hutan itu, malah merasa senang melihat  pemandangan yang menghijau, melihat monyet  dan sekali-kali melihat burung wak-wak yang berjalan keluar di pinggir hutan itu.

Akan tetapi sekarang hutan itu sudah tidak ada lagi. Ia dibersihkan beberapa tahun lalu. Di bahagian belakangnya yang betul-betul  berada di hadapan rumah saya telah dibina sebuah kilang yang agak besar dan panjang. Di bahagan tengahnya pula, arah ke Jalan Reko, telah dibina sebuah  gereja dan asrama pelajar  yang dibina oleh sebuah badan Kristian dari luar negeri.

Jadi saya apabila saya  membuka pintu dan tingkap rumah saya pada waktu pagi , yang akan kelihatan ialah sebuah kilang yang agak panjang.Kilang itu tidak mempunyai pekerja yang ramai,  dan ada kalanya kelihatan sibuk memunggah barang-barang  ke dalam kontena. Akan tetapi,  saya dan jiran-jiran itu tidak tahu kilang itu kilang apa. Kami tidak pernah berkomunikasi dengan pekerja kilang itu, kecuali dengan seorang jaga di kilang itu, yang sering  menegur saya  jika saya berjalan berhampiran dengan kilang itu. Memang aneh, tapi itulah kenyataannya.



Sunday, July 21, 2013

Sudut Perpustakaan di Surau At-Taqwa, Seri Langat, Kajang

Tidak semua masjid mempunyai perpustakaan, apalagi surau. Akan tetapi tidak demikian Surau At-Taqwa di Taman Seri Langat, Hulu Langat yang terletak kira-kira 2km setengah dari bandar Kajang.

Surau Al-Taqwa dibina lebih   daripada 20 tahun yang lalu dengan  wang  derma daripada orang ramai. Ia telah dibesarkan  dan dibaiki beberapa kali  dengan wang derma daripada orang ramai juga.

Surau ini mungkin salah satu atau satu-satunya  surau di daerah Hulu Langat yang  masih merupakan surau kayu; bukan surau batu.

Surau ini boleh menampung sehingga 100 orang jemaah untuk sembahyang berjemaah lima waktu, sembahyang tarawih dan sembahyang sunat Aidilfitri dan Aidiladha, walaupun orang yang bersembahyang berjemaah pada waktu maghrib dan isya biasanya  hanya di sekitar  10 hingga 15 orang (tidak termasuk pelajar tahfiz yang berada di bawah pentadbiran jawatankuasa surau ini).

Dengan inisiatif Pengerusi surau ini, En.Kusni satu kumpulan buku-buku  agama telah di letakkan di surau ini, yang boleh dianggap sebagai sudut perpustakaan di surau ini beberapa tahun yang lalu.Hampir semua buku itu adalah buku En.Kusni  sendiri.

Sekarang buku itu telah dikurangkan, mungkin disimpan oleh En.Kusni di perpustakaannya sendiri. Akan tetapi, beberapa jilid Tafsir Quran oleh Hamka masih ada, begitu juga beberapa buah buku tebal penerbitan Jemaah Tablig, di samping kumpulan Quran, Yasin dan buku-buku lain.

Buku-buku Jemaah Tablig itu biasanya dibaca pada bahagian-bahagian tertentu selepas sembahyang Isya, sebagai tazkirah ringkas.

Jemaah surau yang datang awal sebelum sembahyang  Magrib atau Isya  tentunya boleh memanfaatkan sudut perpusatakaan  ini dengan membaca mana-mana buku tersebut.

Friday, July 19, 2013

Za'ba 1927: antifeudal, tapi propenjajah?

Pada awal tahun 1985 saya membeli buku Pendita Za'ba Dalam Kenangan tulisan Abdullah Hussain dan Khalid Hussain yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1974. Entah mengapa, setelah saya baca beberapa halaman, saya tidak meneruskan membaca buku tersebut. Buku tersebut saya simpan saja selama 28 tahun.

Baru-baru ini saya terlihat buku tersebut di rak buku saya dan timbul minat untuk membacanya. Jadi buku tersebut  saya baca sampai habis.

Saya dapati Riwayat Hidup Za'ba yang dimuatkan dalam Bab 2 buku tersebut sangat menarik. Tapi saya tidak tahu mengapa bab yang begitu panjang, dari halaman 16 hingga 184, langsung tidak mempunyai tajuk kecil!

Tujuh artikel penting Za'ba, empat dalam bahasa Melayu dan tiga dalam bahasa Inggeris,  isinya juga sangat menarik.  Tapi bahasa Melayu lama yang digunakan oleh Za'ba  pada tahun 1927 memang tidak menarik. Begitu rupanya bahasa Melayu lama, yang sudah sangat berbeza dengan bahasa Melayu moden, yang digunakan oleh penulis semasa.

Jika bahasa Za'ba dibandingkan dengan bahasa Hamka, tentulah bahasa Hamka yang mudah dan jernih lebih menarik.

Tentang empat artikel penting Za'ba dalam bahasa Melayu, pemikiraan Za'ba  dalam artikel itu sebahagiannya masih relevan dengan kehidupan orang Melayu masa kini. Za'ba sangat menekankan supaya orang Melayu bergantung kepada  diri sendiri  (berdikari) dan tidak bergantung kepada kerajaan atau orang lain, kalau mahu maju. Orang Melayu disarankannya  supaya bekerja  sama dengan menubuhkan  badan atau organisasi sukarela yang boleh mengumpul wang untuk membantu anak-anak  Melayu belajar setinggi-tingginya. Bagi Za'ba  orang Melayu bukan saja miskin dari segi wang, tapi juga miskin dari segi pengetahuan dan perangai yang  baik. Jadi ketiga-tiga aspek kemiskinan itu mesti diatasi sekali gus.

Dengan membaca artikel Za'ba itu, saya mendapat kesan bahawa  dalam beberapa aspek yang penting,  pemikiran Za'ba agak mirip dengan  pemikiran Munshi Abdullah.  Khususnya Za'ba menganggap sikap dan perangai buruk orang Melayu yang pemalas dan tidak progresif adalah berpunca dari pengalaman mereka hidup beratus tahun di bawah sistem feudal yang menindas rakyat biasa.Sikap dan perangai buruk yang telah terbina dalam masa beratus  tahun itu  memang sukar  untuk diubah.

Bagaimanapun, satu perkara yang menarik juga,  walaupun tidak dihuraikannya dengan panjang lebar, seperti Munshi Abdullah, pada tahun 1927, ketika  dia menulis artikelnya itu, Za'ba adalah seorang yang probarat dan propenjajah. Hal ini  tentu tidak menghairankan, kerana pada tahun 1920-an itu orang Melayu belum ada  hasrat dan semangat untuk merdeka. Mereka masih menganggap orang Inggeris sebagai penaung, yang dengan undang-undang dan peraturan baru  yang dibawanya, telah  membawa kestabilan, kemajuan dan  kemakmuraan kepada negeri-negeri Melayu. Jadi pada tahun 1927 itu Za'ba juga dipengaruhi oleh pemikiran umum pada masa itu.

Hanya pada tahun 1946, apabila Inggeris menubuhkan Malayan Union, Za'ba  dipengaruhi  pula oleh keadaan  dan suasana  anti-Inggeris pada masa itu, walaupun belum pasti sudah ada hasrat untuk merdeka atau belum. Jadi Za'ba turut mempelopori penubuhan UMNO yang mempelopori penentangan terhadap  gagasan  Malayan Union pada peringkat awalnya.

Thursday, July 18, 2013

Pekan Rekoh yang sudah lenyap

Jika kita bertolak dari Kajang menuju UKM, sebelum sampai ke UKM, kita akan berjumpa satu anak sungai kecil bernama Sungai Rekoh. Saya rasa itu sajalah nama Rekoh yang masih tinggal, dan itu bukti bahawa pada satu  masa dahulu di tempat itu dan  berhampiran dengannya ada tempat bernama Rekoh.

Mengikut laporan Swettenham yang membuat lawatan ke  tempat itu pada  tahun 1875, pada masa itu Rekoh mempunyai penduduk tidak lebih daripada seratus orang yang terdiri daripada orang Melayu, Bugis, Cina dan Korinci. Mereka berada di bawah seorang ketua  kampung Bugis (orang Bugis)  yang dilantik oleh pembesar Sungai Ujong. Bagaimanapun, ketua kampung itu mungkin tidak disukai oleh penduduk tempat itu. Dia kemudian berpindah ke Singapura.

Mengikut laporan Swettenham seterusnya, "  The village 'had the appearance of having been once a very prosperous place. There  are plenty of  substantial shops  and houses built of plank and mud, as good native houses as I have seen anywhere, the Sungai Ujong style but better than houses there...a first Bazaar for houses that ia badly off for water.'

Sebelum itu, dikatakan ada orang Amerika yang telah membuka lombong bijih di Sungai Tangkas yang letaknya tidak jauh dari Rekoh dengan pengikutnya kira-kira 60 orang  Orang Hitam. Akan tetapi  mereka telah diserang oleh penduduk tempatan. Tiga orang orang Amerika dan  setengah dozen buruh telah dibunuh dan  rumah mereka telah dibakar. Pelombong yang lain berpindah untuk  sementara ke Bagan Terendah, sebelum meneruskan usaha melombong di Kuala Langat.

Pada November 1882  pusat utama di Hulu Langat  ialah Rekoh yang mempunyai  empat buah kedai Cina dan 20 kedai Melayu, dan Kajang  dengan 3 atau 4 buah kedai Cina dan 30 buah kedai Melayu. Kira-kira 900 orang pula  bekerja di lombong bijih berhampiran Rekoh (mungkin di kampung Sungai Tangkas yang masih wujud pada masa kini).

Bagaimanapun selepas itu, Kajang lebih diberi perhatian dan dijadikan pusat pentadbiran daerah. Sekolah Inggeris dan Melayu dibina di Kajang, bukan di Rekoh. Begitu juga hospital dan pejabat-pejabat kerajaan yang lain.

Rekoh akhirnya mengalami kemerosotan dan "lenyap". Sekarang tidak ada lagi pekan Rekoh, dan mungkin banyak orang yang tidak tahu bahawa pada satu masa dahulu ada pekan(?) bernama Rekoh.

Tuesday, July 16, 2013

Tahlil panjang di surau Seri Langat, Kajang.

Sejak 9/7/2013 yang lalu saya dan isteri bersembahyang tarawih pada tiap-tiap malam di surau Taman Seri Langat, Kajang, iaitu surau yang paling hampir dengan rumah kami. Kecuali pada malam Isnin kami bersembahyang tarawih bersama anak, menantu dan cucu yang datang berkumpul di rumah kami.

Jemaah yang bersembahyang tarawih di surau Seri Langat ini tidak ramai; hanya antara 40 hingga 50 orang sahaja. 14 orang daripadanya ialah pelajar tahfiz yang berada di bawah pentadbiran surau ini. Selain   daripada itu terdapat kira-kira 10 orang India/Bangla dan Indonesia.

Pada  kali ini imam  tetap ialah dua orang pelajar tahfiz yang berkenaan. Bacaannya boleh tahan. Ayat yang dibaca pun tidak panjang berjela-jela, walaupun mereka pelajar tahfiz.

Seperti pada tahun-tahun sebelumnya, kami melaksanakan sembahyang tarawih lapan rakaat dengan sembahyang witir tiga rakaat. Tidak ada tazkirah selepas sembahyang tarawih. Jadi boleh selesai pada pukul 10.00.

Bagaimanapun, selepas  semmbayang witir, ada tahlil. Tapi kira-kira separuh atau lebih separuh daripada jemaah pulang selepas sembahyang witir. Mereka tidak mahu menunggu tahlil yang panjang berjela-jela.

Jika menunggu tahlil  kami kena pulang pada  pukul 10.30  atau lebih. Nampaknya banyak yang tidak mahu.

Tidakkah tahlil itu boleh diringkaskan?