Monday, October 8, 2012

Nama Lorong Haji Taib patut dikekalkan

Kita patut berbangga kerana  ada beberapa batang  jalan pendek di kawasan  Chow Kit yang diberi nama Lorong Haji Taib.

Kalau tidak salah, Haji Taib ialah nama seorang pemimpin  Melayu, mungkin dari keturunan Mandailing,  yang tinggal di kawasan itu  sebelum Perang Dunia Kedua dahulu.

Malangnya, sejak tahun 1960-an dahulu, atau lebih awal daripada itu,  kawasan itu sudah menjadi kawasan maksiat. Di sekitar  tahun 1960-an itu di kawasan itu ada kawasan pelacuran kelas rendah yang dikenali sebagai "Belakang Mati".

Kini, walaupun kawasan pelacuran itu sudah tidak ada, tetapi imejnya sebagai kawasan maksiat masih belum hilang, kerana  di situ masih berkeliaran pondan, pengemis, penyeluk saku dan lain-lain.

Oleh itu, ada pihak yang mencadangkan supaya nama Lorong Haji Taib itu ditukar dengan nama lain, kerana  agaknya nama orang yang dihormati dianggap  tidak sesuai dijadikan nama jalan di tempat  maksiat itu.

Bagaimanapun, saya tidak bersetuju dengan cadangan yang demikian. Bukan salah beliau, jika kawasan itu menjadi kawasan  maksiat. Jasa dan nama beliau tidak wajar dilupakan dan dihilangkan semata-mata kerana kawasan itu telah menjadi kawasan maksiat.

Sebenarnya adalah tugas kita, dan tentunya pihak yang berkuasa juga untuk membersihkan kawasan itu supaya tidak terus menjadi kawasan maksiat.

Dan nama Haji Taib wajar dikekalkan sebagai nama beberapa  batang jalan di kawasan itu untuk mengenang jasanya, dan untuk menunjukkan  bahawa pada satu  masa dahulu kawasan itu sebenarnya adalah kawasan penempatan orang Melayu!

Thursday, August 30, 2012

Taukeh Cina lebih dulu datang

Kurang 5 minit pukul 10 saya pergi ke sebuah  pasar saya di Taman Kajang Utama yang  pemiliknya dan pengurusnya  ialah orang Cina.

Taukeh berkenaan atau pengurus pasar raya itu sedang membuka pintu pasar raya.

Saya dan beberapa orang lain masuk ke pasar raya itu kira-kira pukul  10.00 pagi.

Lebih sedikit  pukul 10 saya pergi ke kaunter pembayaran dengan dua barang yang saya beli. Akan tetapi, juru wang belum datang. Saya diminta menunggu.

Beberapa minit kemudian,  mungkin lebih  5minit, baru juruwang datang. Dia seorang wanita Melayu.

Nampaknya taukeh  Cina lebih dahulu datang daripada pekerja Melayu.

Wednesday, August 29, 2012

Bangku buruk di Pejabat Pos

Beberapa hari yang lalu saya pergi ke Pejabat Pos di Hentian Kajang. Saya pergi sebelum pukul 8.30 pagi. Jadi masih ada lot parking di kawasan tersebut.

Beberapa tahun yang lalu, Hentian Kajang yang menempatkan Pejabat Pos tersebut masih agak lengang dan sunyi. Dan Pejabat Pos tersebut adalah tempat yang paling mudah untuk  saya membayar bil dan lain-lain.

Akan tetapi kini, Hentian Kajang yang menempatkan juga Jabatan Pendaftaran, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Imegresen dll sudah begitu sibuk. Nak parking kereta pun sudah susah.

Oleh kerana saya datang pagi, Pejabat Pos masih lengang dan saya  cepat mendapat layanan.

Akan tetapi, yang saya agak musykil, bangku tempat duduk pelanggan  nampaknya sudah begitu buruk. Patut benar bangku itu diganti dengan yang baru.

Di samping itu, walaupun Pejabat Pos dibuka pukul 8.30 dan kakitangannya pun sudah datang pada masa itu, tetapi mereka hanya mula melayan pelanggan kira-kira pukul 8.45. Saya tidak tahu mengapa.

Saturday, April 7, 2012

Siapakah yang membuka pekan Kajang?

Siapakah yang membuka pekan Kajang?
Mengikut cerita lisan, Kajang telah diteroka oleh orang Asli dari suku Temuan sejak tahun 1580-an lagi. Akan tetapi, mereka mungkin bermukim di situ hanya untuk sementara, dan kemudian berpindah ke kawasan lain atau ke kawasan hutan yang lain. Kajang yang pada mulanya merupakan kawasan hutan, mungkin menjadi hutan semula setelah mereka tinggalkan.
Ada juga sumber yang menyatakan bahawa Kajang dibuka oleh Encik Lili yang juga dikenali sebagai Toh Lili. Toh Lili dikatakan datang dari Riau pada tahun 1776 dan telah diambil oleh Sultan Mohamad sebagai salah seorang pengikutnya.Beliau dengan 6 orang rakannya membuka tanah untuk bertanam padi di Bukit Sungai Merbau (nama asal(?) yang kini dikenali sebagai Kajang.Beliau juga dibenarkan membuka lombong di Sungai Merbau. Beliau dilantik oleh Sultan sebagai Datuk Bandar Kajang yang mempunyai kuasa memerintah kawasan Sabak Dua hingga hilir Sungai Subang. Tapi tidak diketahui riwayat hidupnya dan keturunannya selepas itu.
Pada tahun 1800-an sekumpulan orang Mandailing dari Sumatera telah sampai ke Kajang. Mereka datang dengan tongkang dan sampai ke Kajang melalui kuala Sungai Langat. Ketua mereka ialah Raja Berayun, keturunan raja Mandailing, bersama anaknya yang bernama Raja Alang. Mereka menetap di satu kawasan yang kini di kenali sebagai Jalan Mandailing. Jadi mereka boleh juga dianggap sebagai orang yang membuka pekan Kajang.
Sebahagian pengikut mereka kemudian meneroka kawasan lain dan bertanam padi di tempat yang kini dikenali sebagai Kampung Paya Batu 14 (tidak jauh dari Jalan Mandailing sekarang).
Raja Alang kemudian dilantik sebagai ketua di kawasan itu. Sejak itulah kawasan itu diberi nama Kajang, kerana di situlah mereka mula-mula berpondok (membuat pondok) atau "berkajang".
Akan tetapi, Raja Alang tidak terus menetap di Kajang. Beliau kemudian berpindah ke Kuala Lumpur . Beliau pernah tinggal di alamat No.13 Jalan Raja Laut, dekat kawasan Chow Kit yang pada satu masa dahulu merupakan kampung orang Mandailing.
Raja Alang dikatakan merupakan seorang kaya di Selangor pada zamannya, kerana pernah dikurniakan tanah oleh Sultan Abdul Samad di Kuala Langat. Di samping itu, dia juga mempunyai ladang getah yang diberi nama Estet Raja Alang (tidak diketahui di mana atau di derah mana).
Raja Alang pernah membina sebuah masjid pada awal tahun 1900-an di pekan Beranang, Hulu Langat. Masjid yang diberi nama Masjid Raja Alang itu masih wujud sampai sekarang.
Raja Alang meninggal dunia pada 11 Disember 1927 dan dikebumikan di tanah perkuburan Jalan Ampang. Namanya kini diabadikan sebagai nama jalan , iaitu Jalan Raja Alang di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Dia mempunyai cucu cicit yang ramai, yang mengetahui sedikit sebanyak riwayat hidupnya.
Kini Jalan Mandailing di pekan Kajang wujud sebagai bukti, bahawa satu masa dahulu, orang Mandailing yang diketuai oleh Raja Berayun dan Raja Alang pernah membuka tempat itu, membuat kampung di situ dan mungkin juga membuka kedai atau menjalankan perniagaan di situ.

Monday, February 20, 2012

Kampung Melayu di Kuala Lumpur yang hanya tinggal kenangan

Barangkali masih ada orang tua Melayu yang ingat, bahawa satu masa dahulu, mungkin di sekitar tahun 1920-an dan 1930-an (?) atau lebih awal sedikit dari itu, masih ada kampung Melayu di kawasan pusat bandar Kuala Lumpur . Antaranya kampung Mandailing di kawasan Chow Kit, Kampung Rawa di Jalan Melayu dan Jalan Masjid India dan Kampung Jawa di sekitar Jalan Tun Perak.

Malangnya kini kampung-kampung itu sudah tiada lagi.

Sebagai tanda kawasan itu dulunya adalah kampung Melayu, maka kini ada beberapa jalan yang menunjukkan nama Melayu atau nama orang Melayu, khasnya Jalan Melayu di kawasan yang dulunya ialah kampung Rawa, dan Lorong Haji Taib 1-4 serta Jalan Haji Husin di kawasan Chow Kit.

Jalan Tun Perak sekarang yang dulunya terletak di kawasan kampung Jawa pernah diberi nama Jalan Jawa. Tapi nama Jalan Jawa sudah ditukar dan sudah tinggal sejarah.

Orang Melayu nampaknya hanya boleh bertahan di kawasan perkampungan itu ketika kawasan itu masih merupakan kawasan pertanian.

Apabila kawasan itu bertukar menjadi pusat perniagaan, dan mereka mesti menyesuaikan diri dengan ekonomi kewangan, mereka tidak dapat lagi bertahan di situ. Mereka menjual tanah mereka kepada orang Cina dan India yang pandai berniaga dan sudah biasa hidup dengan ekonomi wang, dan berpindah ke kawasan kampung seperti Gombak dan Ulu Kelang atau kawasan lain.

Dengan itu, lenyaplah kampung Melayu dari pusat bandar Kuala Lumpur. Dan kini hanya tinggal kenangan.

Sunday, February 19, 2012

Sutan Puasa dan pembukaan Kuala Lumpur

Sebagaimana yang diungkapkan oleh Prof. Khoo Kay Kim ( Utusan Malaysia, 18/2/2012) sebelum aktiviti perlombongan bijih dijalankan di Kuala Lumpur, orang-orang Mandailing telah membina penempatan di sekitar Sungai Gombak dan Sungai Klang, atau barangkali lebih tepat di pertemuan Sungai Gombak dan Sungai Klang.

Jadi Sutan Puasa yang berasal dari Sumatera dan menjadi ketua orang-orang Mandailing itu boleh dianggap sebagai orang yang mengetuai pembukaan Kuala Lumpur.

Di sekitar kawasan itu orang-orang Mandailing menjalankan aktiviti pertanian dan perdagangan.

Mengikut Prof.Khoo Kay Kim seterusnya, Sutan Puasa itu sendiri yang menjemput dua orang Cina, Hiu Siew dan rakannya Ah Sze Keledek dari Sungai Ujung berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengembangkan perniagaan.

Hiu Siew kemudiannya dilantik menjadi Kapitan Cina Kuala Lumpur yang pertama dengan sokongan Sutan Puasa yang merupakan orang kaya Mandailing ketika itu.

Malah pelantikan Yap Ah Loi sebagai Kapitan Cina Kuala Lumpur ketiga turut mendapat sokongan daripada Sutan Puasa, walaupun di kalangan orang Cina ada yang menentang pelantikan itu.

Menjelang akhir hayatnya Sutan Puasa dikatakan menetap di Kampung Rawa (Jalan Melayu sekarang) sebelum berpindah ke sebuah perkampungan Mandailing di Jalan Chow Kit.

Sutan Puasa dikatakan meninggal dunia pada tahun 1905 dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Jalan Ampang.

Perkampungan Mandailing di Jalan Chow Kit itu agaknya terus wujud sehingga tahun 1940-an atau beberapa tahun selepas itu.

Seorang anak saudara Sutan Puasa yang bernama Sutan Mengatas atau Jaafar Sutan Sinombar mempunyai sebuah rumah yang agak besar di alamat No.41, Jalan Chow Kit pada tahun 1926.

Kini di sekitar Jalan Chow Kit ada empat batang jalan yang bernama Lorong Haji Taib 1,2, 3 dan 4. Saya belum mendapat maklumat yang jelas siapa Haji Taib. Akan tetapi, saya kira beliau adalah ketua atau salah seorang ketua orang Mandailing di kawasan itu pada masa yang lalu.

Friday, February 17, 2012

Dr. Asri sindir Hasan Ali?



Dalam akhbar Sinar Harian hari ini (17/2/2012) terdapat artikel Dr.Asri yang bertajuk " Agama Sering Menjadi Mangsa".

Di bahagian akhir artikel itu, beliau menulis begini:

"Saya juga lucu apabila ada seseorang berceramah tentang perjuangan murninya setelah dia dipecat ialah membela Islam, Melayu dan raja. Sedangkan Melayu tidak semestinya selari dengan Islam, demikian juga raja. Jika Islam itu diyakini syumul, membela Islam bererti terbela segala bangsa, raja dan rakyat. Namun, apabila Islam dipergunakan, bahasa Islam dinodai untuk tujuan tersendiri, hanya satu bangsa diperjuangkan dan raja sahaja yang dibela. Bagaimana dengan rakyat bawahan seperti kita? Demikian agama sering menjadi mangsa".




Meskipun Dr.Asri tidak menyatakan siapa yang dimaksudkannya, kita tahu orang yang berkenaan tidak lain daripada Hasan Ali.

Tuesday, February 14, 2012

Membaca memoir Syed Husin Ali

Saya mempunyai hubungan istimewa dengan Syed Husin, kerana saya adalah salah seorang yang membuat Ph.D di bawah seliaan beliau dari tahun 1982-1988. Tesis Ph.d saya yang kemudiannya diterbitkan oleh DBP dengan tajuk Paya Jejawi: Satu Kajian Antropologi Politik mendapat pujian daripada beliau dan kedua-dua pemeriksa luar dan mendapat hadiah sebagai tesis terbaik di UM pada tahun 1989.

Beliau ada menjemput saya menghadiri pelancaran buku beliau Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali oleh Anwar Ibrahim di Shah Alam tidak lama dahulu. Akan tetapi, saya tidak hadir kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Saya baru saja mengambil buku beliau daripada En.Chong Ton Sin di pejabat penerbitan SIRD di Petaling Jaya pada 11 Februari 2012 yang lalu, dan kini sedang membacanya.

Friday, January 27, 2012

Dari mana asal nama Jalan Reko?

JIka kita ke UKM melalui bandar Kajang, biasanya kita akan melalui sebatang jalan sepanjang kira-kira 10 km yang menghubungkan bandar Kajang dengan UKM. Jalan ini bernama Jalan Reko.

Saya tidak tahu sejak bila jalan ini bernama Jalan Reko, dan dari mana asal perkataan Reko itu.

Saya pernah bertanya kepada seorang bekas guru di Kajang yang mengetahui sebanyak sedikit sejarah pekan ini, dari manakah asal perkataan Reko?

Dia mengatakan nama Reko itu berasal dari nama orang; mungkin nama Mat Salleh. Tapi jawapannya tidak meyakinkan saya.

Bila saya baca buku A History of Selangor 1766-1939 oleh J.M. Gullick, saya mendapat maklumat bahawa pada akhir abad ke-19 yang lalu, di hujung Jalan Reko, berhampiran dengan setesyen komuter Bandar Baru Bangi dan UKM yang ada sekarang, ada sebuah pekan kecil bernama Rekoh.

Nama Rekoh ini ada dalam peta daerah Ulu Langat (sekarang Hulu Langat) abad ke-19. Sebuah sungai kecil berhampiran dengan UKM dan berhampiran dengan bekas tapak pekan Rekoh sehingga sekarang masih bernama Sungai Rekoh.

Oleh itu, saya agak yakin bahawa nama Reko itu berasal dari Rekoh, dan nama jalan itu sepatutnya ialah Jalan Rekoh; bukan Jalan Reko.

Saya tidak tahu siapa yang telah menetapkan Jalan Reko sebagai nama jalan yang berkenaan dan bukan Jalan Rekoh.

Bagaimanapun, dalam hal ini kita mungkin boleh mengatakan bahawa kesilapan telah berlaku. Adakah masih mungkin kita mengubah Jalan Reko menjadi Jalan Rekoh?

Tuesday, January 24, 2012

Pensyarah UNLAM berjaya mendapat Ph.D dari UKM

Baharu-baharu ini seorang dosen UNLAM yang mengambil Ph.D di UKM telah menjalani viva voice dan telah dinyatakan lulus.

Beliau mengambil masa yang agak lama untuk menyelesaikan program Ph.D-nya. Ini menguatkan persepsi di kalangan teman-teman di Kalsel dan juga di Indonesia bahawa mengambil Ph.D di UKM adalah sukar.

Kerana adanya persepsi seperti itu, banyaklah orang-orang dari Indonesia yang ingin mengambil master atau Ph. D di Malaysia pergi ke universiti lain, dan tidak ke UKM.

Saya tidak tahu sama ada persepsi itu betul atau tidak. Mungkin juga mereka yang berkenaan tidak dapat memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak UKM, selain memang ada masalah dari segi penyeliaan.

Bagaimanapun, kepada pensyarah UNLAM yang berkenaan saya ucapkan tahniah (selamat). Pahit manis mengambil Ph.D di UKM tentu merupakan pengalaman yang ada juga manfaatnya.

Golongan kiri bukan pejuang kemerdekaan?

Meskipun tidak mengejutkan, tetapi agak terasa aneh juga apabila Prof.Khoo Kay Kim, seorang profesor sejarah yang terkenal dari Universiti Malaya menyatakan baru-baru ini bahawa golongan kiri bukan pejuang kemerdekaan.

Kebetulan beberapa tahun yang lalu saya ada menulis buku yang menghuraikan peranan golongan kiri Melayu dalam perjuangan kemerdekaan. Adakah apa yang saya tulis itu salah?

Bagaimanapun, pendapat Prof.Khoo Kay Kim telah disanggah oleh Dr. S.Husin Ali, seorang mantan profesor, juga dari Universiti Malaya. Dan dari ulasan-ulasan terhadap tulisan S. Husin Ali dalam Malaysiakini saya dapati kebanyakan daripada penulisnya bersetuju dengan pendapat Dr. S. Husin Ali.

Saya rasa memang sudah merupakan fakta sejarah yang tidak dapat dimungkiri lagi bahawa golongan kiri adalah termasuk dalam golongan yang memperjuangkan kemerdekaan.

Tokoh-tokoh gerakan kiri seperti Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Muhammad, Mustapha Hussin dan Ahmad Boestamam sudah berjuang melalui Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhkan pada tahun 1938, jauh lebih awal daripada pemimpin-pemimpin UMNO yang baru ditubuhkan pada tahun 1946.

Perjuangan KMM kemudian dilanjutkan oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada tahun 1945. Antara tokohnya yang terpenting ialah Mokhtarudin Laso dan Dr.Burhanuddin, selain Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam.

PKMM dan parti kiri Melayu yang lain, seperti API, AWAS, BATAS dan GERAM yang bergabung sebagai PUTERA, kemudian bergabung pula dengan gabungan parti kiri bukan Melayu (PCMJA) untuk membentuk gabungan yang lebih besar yang dinamakan AMCJA pada tahun 1947.

AMCJA pernah membentuk Perlembagaan Rakyat yang tidak diterima oleh kerajaan penjajah Inggeris dan melancarkan Hartal.

Adakah golongan kiri bukan pejuang kemerdekaan?

Monday, January 23, 2012

Tukar nama Jalan Ampang kepada Jalan Sutan Puasa

Tahniah kepada Persatuan Halak Mandailing Malaysia (Mandailing Malaysia) yang akan mengadakan mesyuarat agungnya pada 28/1/2012 ini.

Orang keturunan Mandailing adalah antara pendatang dari Indonesia yang telah berjasa membuka dan memajukan banyak kampung dan bandar di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia pada pertengahan abad ke-19 yang lalu.

Meskipun kurang sekali dicatatkan dalam buku-buku sejarah, dan seolah-olah ingin dilupakan dari sejarah, seorang ketua orang Mandailing yang bernama Sutan Puasa sebenarnya turut memainkan peranan membuka dan memajukan Kuala Lumpur, khasnya kawasan Ampang.

Peranan Sutan Puasa membuka dan memajukan Kuala Lumpur ini saya rasa patut dikaji dengan lebih mendalam dan diberi pengiktirafan.

Sudah terlalu lama penulisan sejarah negeri Selangor memberi tumpuan yang berlebihan terhadap peranan orang Bugis.Kini sudah sampai masanya hal itu diluruskan.

Peranan yang tidak kurang pentingnya yang telah dimainkan oleh suku lain, termasuk suku Mandailing, dalam pembukaan dan pembangunan negeri Selangor mestilah diberi pengiktirafan.

Untuk mengiktiraf peranan dan sumbangan Sutan Puasa dalam pembukaan dan pembangunan Kuala Lumpur, saya ingin mencadangkan supaya salah satu daripada dua jalan utama di Kuala Lumpur, iaitu Jalan Ampang dan Jalan Gombak ditukar kepada Jalan Sutan Puasa, kerana Sutan Puasa pernah tinggal dan membangunkan kedua-dua tempat tersebut.

Mungkin cadangan ini merupakan cadangan yang tidak pernah difikirkan atau dibayangkan oleh sesiapa, dan mungkin tidaklah mudah untuk direalisasikan.

Akan tetapi, saya kira tidak ada salahnya jika orang Mandailing memberi perhatian dan memikirkannya, dan mencari jalan bagaimana hal itu boleh direalisasikan.

Sunday, January 22, 2012

Kampung Banjar

Di Perak, Selangor dan Johor banyak kampung yang dibuka oleh orang Banjar dan semua atau majoriti penduduknya kini masih terdiri daripada orang Banjar. Akan tetapi, sedikit sekali yang dinamakan Kampung Banjar.

Antara Kampung Banjar yang terkenal ialah Kampung Banjar dekat Teluk Intan, Perak.

Selain itu ada Kampung Banjar di Air Tawar, juga di Perak.

Di Kuala Lumpur dahulu ada sebuah kampung bernama Kampung Banjar, dekat Batu Cave. Mungkin kampung ini kampung setinggan, dan tidak diketahui sama ada masih wujud atau tidak.

Bagaimanapun, saya harap nama Kampung Banjar di mana saja akan dikekalkan untuk mengenang sejarah kampung itu sebagai kampung yang dibuka dan didiami atau pernah didiami oleh orang Banjar.

Dari Kampung Banjar Teluk Intan saya mengenal seorang penduduknya, seorang Banjar, yang pernah bekerja sebagai Penolong Pendaftar di UKM, iaitu En.Salleh Haji Yusof. En.Salleh kini sudah bersara dan tinggal di Kajang.

Pengiktirafan kepada orang Mandailing dan Sutan Puasa

Selangor adalah sebuah negeri yang kebanyakan penduduk bumiputeranya berasal dari Indonesia. Merekalah yang membuka dan memajukan negeri ini selewat-lewatnya sejak abad ke-18 yang lalu.

Antara pendatang dari Indonesia yang terawal datang ke Selangor ialah orang-orang Mandailing dari pulau Sumatera. Mereka berasal dari orang-orang Batak yang telah memeluk agama Islam.

Satu kumpulan orang-orang Mandailing ini diketuai oleh Sutan Puasa dan membuat penempatan di kawasan Ampang ketika Kuala Lumpur belum diteroka oleh orang lain. Dengan itu, Sutan Puasa boleh dianggap sebagai salah seorang, kalaupun bukan satu-satunya orang yang membuka Kuala Lumpur.

Akan tetapi, peranan Sutan Puasa ini seolah-olah tidak diiktiraf, kerana dalam buku-buku sejarah orang yang dianggap sebagai pembuka Kuala Lumpur ialah Raja Abdullah, seorang keturunan Bugis.

Memang dalam buku sejarah Selangor, peranan orang Bugis selalu ditonjolkan dan diberi keutamaan. Sebaliknya peranan pendatang awal yang lain, termasuk peranan orang Mandailing seolah-olah dianggap tidak penting dan ingin dilupakan begitu saja.

Saya kira sejarah Selangor yang terlalu membesar-besarkan peranan orang Bugis dan kurang mengiktiraf peranan suku-suku lain ini patut diluruskan kembali.

Selangor bukan dibangun oleh orang Bugis saja, tetapi juga oleh pendatang dari Indonesia yang lain, seperti orang Mandailing, Minangkabau, Jawa, Banjar dan lain-lain.

Oleh itu, sekiranya kita ingin memberi pengiktirafan kepada peranan orang Mandailing dan Sutan Puasa dalam pembukaan Kuala Lumpur, saya kira salah satu dari dua jalan utama di Kuala Lumpur, iaitu Jalan Ampang dan Jalan Gombak, patut ditukar kepada Jalan Sutan Puasa, kerana Sutan Puasa ialah orang yang membuka Ampang, dan kemudian pernah tinggal dan membangun Gombak beberapa tahun kemudian.

Saturday, January 21, 2012

Menjadi penguji tesis Ph.D Dr.Hastin Umi Anisah

Gambar saya dengan Dr.Hastin Umi Anisah di Universitas Brawijaya. Saya berkunjung ke universitas tersebut pada 20/10/2010 kerana menjadi salah seorang penguji tesis Ph.D beliau yang bertajuk "Peran Budaya Banjar dalam Meningkatkan Kinerja dan Keunggulan Bersaing Melalui Kewirausahaan Islami dan Strategi (Studi pada Industri Kecil Menengah Batu Mulia/Permata di Martapura Kalimantan Selatan).



Friday, January 20, 2012

Di Universitas Palangka Raya

Dengan dua orang pensyarah UNLAM ketika menghadiri Konferensi Antaruniversiti Se Borneo-Kalimantan Ke-6 (KABOKA 6) di Universitas Palangka Raya pada 23-24 Mei 2011.

Dalam konferensi itu saya telah membentangkan kertas kerja yang bertajuk " Perubahan sosial dan identiti dalam kalangan orang Banjar di perantauan, khasnya di Malaysia". Kertas kerja ini merupakan penulisan semula dari kertas kerja bertajuk " Orang Banjar di Malaysia: perubahan kebudayaan dan identiti", yang telah saya kemukakan sebagai kuliah tamu di Fakultas Ekonomi, Universitas Brawijaya pada 27 Oktober 2010.


Majlis perkahwinan: dari rumah ke dewan

Beberapa tahun yang lalu, ketika mengadakan majlis perkahwinan untuk anak-anak saya, saya mengadakannya di rumah sahaja. Saya tidak terfikir untuk mengadakannya di hotel atau di dewan-dewan tertentu.

Bagaimanapun, selepas itu semakin berkurangan jiran-jiran saya yang mengadakan majlis perkahwinan anak-anak mereka di rumah mereka. Kebanyakannya mengadakannya di dewan-dewan tertentu di UKM dan Putrajaya, di samping ada juga di restoran besar, seperti Restoran Sri Melayu, di Kuala Lumpur.

Seorang profesor terkenal pula mengadakan majlis jamuan untuk saudara mara dan "orang biasa" di rumahnya, tetapi mengadakan satu lagi majlis jamuan untuk jemputan istimewa, untuk Tan Sri, datuk-datuk dan orang besar, di satu dewan besar dan terkenal di Kuala Lumpur.

Ini barangkali satu perubahan yang biasa, seiring dengan perubahan status dan gaya hidup orang-orang yang telah bermobiliti ke kelas menengah tengah dan kelas menengah atas.

Bagaimanapun, pada hujung bulan ini dan awal bulan hadapan ada dua orang jiran saya yang akan mengadakan majlis perkahwinan anak mereka di rumah saja, walaupun salah seorang daripada mereka adalah seorang pengarah di sebuah jabatan kerajaan. Dia barangkali seorang yang bersikap sederhana.

Dengan itu, bolehlah saya pergi ke majlis perkahwinan yang berkenaan dengan berjalan kaki saja, kerana rumah mereka pun tidak jauh dari rumah saya.

Wednesday, January 18, 2012

Budak nakal dihantar ke sekolah tahfiz

Selepas bersekolah rendah selama 6 tahun, tidak semua murid sekolah di negara ini pandai membaca dan menulis dengan baik. Di samping itu, ada juga yang merupakan anak-anak yang nakal.

Maka apakah yang akan dilakukan oleh ibu bapa yang mempunyai anak yang demikian?

Sebahagian ibu bapa menghantar anak mereka yang demikian ke sekolah tahfiz. Dengan itu, anak mereka belajar di sekolah tahfiz sepenuh masa dan tidak melanjutkan pelajaran ke tingkatan satu.

Demikianlah sebuah sekolah tahfiz di Kajang baru-baru ini menerima beberapa orang murid yang demikian. Tidak dijangka pihak pengurusan sekolah tahfiz itu akan menghadapi masalah.

Kalau lembab atau tidak berapa pandai, boleh juga diajar membaca Quran secara perlahan-perlahan. Akan tetapi, ada juga di antara mereka yang merupakan budak yang nakal.

Misalnya, ada yang mandi berkubang dalam kolah surau, tempat orang mengambil wuduk. Ada juga yang pagi-pagi pergi memancing ikan di sungai berdekatan, sedangkan sungai itu dalam dan merbahaya.

Jadi apakah yang patut dilakukan?

Nampaknya terpaksalah pihak pengurusan tahfiz berkenaan menguruskan murid yang demikian dengan penuh kesabaran dan bijaksana.

Friday, January 13, 2012

Ulang tahun perkahwinan yang tidak diraikan

30 Disember 2011 adalah hari ulang tahun perkahwinan saya dan isteri saya, Maimunah yang ke-47. Alangkah berbahagianya kami kalau hari ulang tahun perkahwinan kami ini diraikan bersama-sama anak, menantu dan cucu.

Akan tetapi, sejak kami berkahwin pada tahun 1964, kami tidak pernah mengadakan apa-apa sambutan sempena ulang tahun perkahwinan kami. Dengan itu, anak-anak kami pun agaknya tidak menyedari pentingnya hari ulang tahun perkahwinan kami disambut dan diraikan.

Menjelang ulang tahun perkahwinan kami yang ke-40, tujuh tahun yang lalu, pernah terlintas di fikiran saya untuk menyambut hari ulang tahun kami itu bila sampai masanya. Akan tetapi, entah bagaimana, bila sampai masanya saya terlupa pula.

Kini hari ulang tahun perkahwinan kami yang ke-47 sudah pun berlalu. Saya pun tidak tahu sama ada anak dan menantu saya menyedarinya atau tidak.

Bagaimanapun, syukur alhamdulillah, Tuhan telah memanjangkan jodoh kami, mudah-mudahan hingga ke akhir hayat.

Thursday, January 12, 2012

Mengenang Almarhum Prof. H.M.Dahlan

Lima tahun yang lalu, pada 27 Oktober 2007, empat tahun selepas saya meninggalkan UKM pada tahun 2003, di UKM telah diadakan satu kolokium sehari kerana memperingati satu dasawarsa kepergian Almarhum Prof.H.M. Dahlan.

Kalau saya tahu tentu saya ingin hadir dan turut menyumbangkan kertas kerja dalam kolokium itu, kerana saya adalah orang pertama di UKM yang menulis tesis Sarjana Sastera di bawah bimbingan beliau (bersama-sama dengan Profesor Hairi Abdullah) pada tahun 1976-78, dan sayalah juga yang mengambilalih dua kursus utama beliau di Jabatan Antrapologi dan Sosiologi, Pengajian Kaum Tani dan Kaum Tani dan Komunikasi apabila beliau berpindah ke Fakulti Sains Pembangunan pada pertengahan tahun 1980-an.

Saya pernah mempunyai hubungan yang rapat dengan beliau dan tentunya banyak yang boleh saya perkatakan tentang beliau dan untuk mengenang beliau dalam kolokium itu.

Malangnya tidak ada sesiapa yang memberitahu saya tentang kolokium itu, mungkin kerana tidak ada yang ingat saya ialah pelajar siswazah pertama Profesor H.M. Dahlan, dan mungkin juga saya telah dilupakan setelah menjadi orang pencen!

Kini, setelah lima tahun berlalu, terbitlah buku yang berasal dari kertas kerja kolokium itu dengan tajuk Warisan Wacana Pembangunan: Kumpulan Esei Kenang-Kenangan H.M Dahlan.

Penerbitan buku ini rasanya lewat sekali, 15 tahun setelah Prof. H.M Dahlan berpulang kerahmatullah. Tapi tentunya baiklah ada daripada tidak ada.

Mudah-mudahan di UKM penerbitan buku ini akan memulakan satu tradisi yang biasa dilakukan di universiti lain, iaitu menerbitkan buku untuk memperingati mana-mana profesor yang akan atau telah bersara.

Saturday, January 7, 2012

Penduduk Bandar Baru Bangi tidak akan mati?

Sebuah taman perumahan yang kecil atau sederhana barangkali tidak memerlukan tanah perkuburan yang tersendiri. Akan tetapi, bagaimana dengan sebuah bandar baru yang besar seperti Bandar Baru Bangi (BBB)?

BBB yang mula-mula wujud sebagai kawasan kediaman dan kawasan kilang, kini telah mempunyai infrastruktur yang lengkap -- dari masjid, sekolah, bank, balai polis, balai bomba, padang golf, hotel, pasar raya, stadium, pusat perubatan dan pusat kesihatan, hinggalah kepada pusat komersal yang banyak dan pelbagai.

Akan tetapi, walaupun BBB sudah berusia kira-kira empat dekad, dan sudah mempunyai infrastruktur yang begitu lengkap, ia masih belum mempunyai tanah perkuburannya sendiri, sedangkan kawasan tanah di bandar itu sudah hampir penuh.

Rupanya dalam perancangan dan pembinaan bandar itu, tanah perkuburan langsung tidak diambil kira dan tidak dipentingkan. Agaknya tidak pernah difikirkan bahawa semua penduduk BBB pada akhirnya akan mati dan memerlukan tanah perkuburannya sendiri.

Bilakah para perancang bandar kita akan memikirkan pentingnya tanah perkuburan ini apabila mereka merancangkan pembinaan bandar baru yang besar seperti BBB?

Friday, January 6, 2012

Taman Bangi, tempat Dr. Haron Din mengubat orang

Nama Taman Bangi kadang-kadang mengelirukan. Ada yang menyangka taman ini terletak di Bangi atau di Bandar Baru Bangi. Sebenarnya taman ini terletak di Kajang, kira-kira 2 km dari bandar Kajang. Ia terletak di Jalan Reko, iaitu jalan sepanjang 10 km yang menghubungkan bandar Kajang dengan UKM.

Taman Bangi adalah sebuah taman kecil. Ia hanya mengandungi 48 buah rumah: 24 buah rumah kembar-dua (Semi-D) di bahagian hadapan, dan 24 buah rumah teres dua tingkat di bahagian belakangnya.

Taman ini siap dibina dan mula diduduki pada tahun 1978 dan merupakan sebuah taman lama di pekan Kajang. Kira-kira dua pertiga penduduk asalnya ialah orang Melayu.

Oleh kerana pembinaan taman ini hampir serentak dengan pembukaan UKM di Bandar Baru Bangi yang hanya kira-kira 8 km dari taman ini, maka pada mulanya kebanyakan penduduk taman ini terdiri daripada pensyarah UKM. Dua orang bekas pensyarah UKM yang pernah tinggal di taman ialah Tan Sri Prof.Kamal Hassan dan Dato' Dr.Haron Din.

Ketika itu Dr. Haron Din sudah mula mengubat pesakit mengikut kaedah rawatan Islam. Orang yang berubat dengan beliau ramai sekali. Maka sehingga beliau berpindah ke Bandar Baru Bangi pada tahun 1983, taman ini telah menjadi tumpuan orang-orang yang hendak berubat dengan Dr.Haron Din.

Bagaimanapun, mulai akhir tahun 1980-an sebahagian pensyarah UKM yang merupakan penduduk asal taman ini telah berpindah ke tempat lain. Mereka umumnya telah ada tanah di tempat lain. Jadi kini mereka umumnya tinggal di rumah banglo yang mereka bina di atas tanah tersebut.

Setelah lebih 20 tahun berlalu, penduduk Melayu di taman ini hanya tinggal kira-kira 20 orang, termasuk orang yang baru datang menyewa di taman ini. Sebahagian penduduk asal, yang tidak berpindah, telah meninggal dunia.

Penduduk yang tinggal kebanyakannya adalah orang tua, termasuk saya yang telah bersara dari UKM pada tahun 2003. Jiran sebelah rumah saya ialah Tuan Haji Wan Ab.Rahman bin Ab.Latif, bekas pensyarah sains politik UKM. Seorang lagi jiran saya, yang sama-sama tinggal di rumah teres dua tingkat ialah Dato' Ahmad Sofian, seorang pegawai tinggi polis yang kini bertugas di Sarawak, tetapi sering pulang ke sini, kerana isteri dan anaknya menetap di taman ini.

Wednesday, January 4, 2012

Madrasah Tahfiz Al-Quran Taman Seri Langat, Kajang

Nama rasmi sekolah tahfiz di Taman Seri Langat, Kajang ialah Madrasah Tahfiz Al-Quran, walaupun muridnya tidak pernah melebihi 30 orang.

Selama bertahun-tahun madrasah ini mengenakan yuran yang sangat rendah. Pada tahun 2011 yuran madrasah ini hanya RM150 sebulan.

Yuran sebanyak RM150 itu sebenarnya hanya cukup untuk belanja makan para pelajarnya. Gaji guru terpaksa didapatkan dari sumber lain.

Mujurlah selama bertahun-tahun ada penderma atau penyumbang tetap untuk membayar gaji guru, yang biasanya dalam lingkungan RM1,300 sebulan.

Jadi madrasah ini dapat bertahan kerana adanya derma dan sumbangan daripada masyarakat, walaupun ada kalanya muridnya kurang daripada 10 orang.

Sekarang madrasah ini masih memerlukan tambahan murid.