Wednesday, October 29, 2014

Nasib setinggan Melayu di Kuala Lumpur dan Selangor

Dalam tahun 1970-an dan 1980-an dahulu banyak sekali setinggan Melayu di Kuala Lumpur. dan Selangor.Kebanyakannya ialah orang-orang  kampung yang berpindah ke bandar kerana dorongan DEB yang mahu membandarkan orang-orang Melayu. Mereka membuka tanah kerajaan yang  ketika itu  masih  merupakan tanah kosong atau  kawasan hutan.

Sebahagian daripada mereka ada yang  bernasib baik. Mereka diberi hak milik  tanah yang mereka duduki. Dengan itu, mereka menduduki perkampungan itu sebagai  penduduk tetap dan bukan lagi sebagai setinggan. Akan tetapi,   lebih ramai yang tidak  mendapat hak milik tanah  yang mereka diami, dan terus tinggal di situ sebagai setinggan.

Walaupun mereka tinggal di sesebuah perkampungan sebagai setinggan, tetapi secara beransur-ansur kampung mereka  diberi kemudahan air paip dan  api letrik. Jadi agak selesa juga mereka tinggal di situ.

Namun, nasib setinggan tidak selalu cerah. Dari semasa ke semasa ada tanah yang mereka duduki diambil oleh kerajaan atau  dibeli oleh pihak swasta. Mereka terpaksa berpindah  atau dipaksa berpindah,  tapi pada mulanya selalu diberi pampasan yang berpatutan.

Pada  masa Khir Toyo menjadi Selangor,  kerajaan negeri menjalankan dasar "setinggan sifar". Kawasan setinggan semakin banyak yang  dibeli oleh pihak swasta. Maka banyaklah  setinggan yang dipaksa berpindah ke rumah murah yang dibina  oleh kerajaan. Namun, nasib mereka  masih agak baik,  kerana  mereka umumnya diberi pampasan dan dapat tinggal di rumah yang agak murah.

Sekarang kampung setinggan di Selangor dan Kuala Lumpur   sudah hampir habis, khasnya yang besar-besar. Jika letaknya di pusat bandar, sudah tentu kawasan itu dibeli  dan akan dimajukan oleh pemodal besar.

Tidak ada sesiapa yang boleh mempertahankan kedudukan  setinggan di situ, kerana  mereka bukan pemilik sah tanah yang mereka diami. Mereka terpaksa atau dipaksa pindah oleh pihak yang berkuasa, kerana pihak yang berkuasa adalah penganut dasar pembangunan ala kapitalis. Di bawah dasar itu, kawasan yang berharga di pusat bandar mesti dibangunkan oleh pemodal yang mampu  mendirikan bangunan pencakar langit   dan bukan lagi dipenuhi dengan rumah setinggan.

Inilah nasib setinggan di Kampung Chubadak Tambahan  yang  terpaksa berpindah dari kampung yang mereka teroka dan mereka  diami selama lebih 40 tahun!

Tuesday, October 28, 2014

Pendatang dari Indonesia: Jangan Datang Secara Haram

Oleh kerana  pada zaman penjajahan dahulu,  orang-orang dari Indonesia bebas merantau ke  Tanah Melayu tanpa apa-apa  sekatan,  maka dalam tahun-tahun-tahun  kebelakangn ini banyak sekali orang dari Indonesia  yang datang ke negara ini tanpa melalui saluran yang sah.

Mereka tahu di Indonesia dan  di Malaysia kini ada undang-undang imigresen  yang  memestikan mereka  datang ke negara ini melalui saluran yang sah. Akan tetapi,  mereka telah melanggar undang-undang itu dengan masuk secara haram.

Biasanya mereka  masuk melalui jalan laut dengan menaiki tongkang atau motorbot, dan mendarat di tempat-tempat  tertentu di Johor, Selangor dan  negeri lain, yang  sudah menjadi pengkalan untuk  pendaratan  secara haram.

Di Indonesia dan di Malaysia ada orang-orang yang dipanggil Tekong yang menolong menguruskan kemasukan mereka ke negara ini.

Kemasukan orang-orang dari Indonesia  secara haram ini boleh dianggap sebagai lanjutan dari tradisi merantau yang bebas, yang tidak ada apa-apa sekatan, yang boleh dilakukan oleh orang-orang  dari Indonesia pada masa yang lalu.

Namun,  kini keadaan sudah berubah. Indonesia dan Malaysia sudah menjadi negara merdeka yang  terpisah, yang mempunyai undang-undang imigresen masing-masing.  Jadi mereka tidak lagi bebas datang ke negara ini seperti  yang boleh dilakukan pada zaman pra-merdeka.

Oleh yang demikian, wajarlah orang-orang dari Indonesia datang ke negara ini secara legal atau mengikut undang-undang dan saluran yang sah. Jika mereka  datang secara haram,mereka dipanggil pendatang haram  dan boleh ditangkap dan dipenjarakan  atau dikurung di tempat tahanan sebelum dihantar pulang ke Indonesia,

Kampung Chubadak Tambahan: Perjuangan yang Sudah Terlambat

Saya bersimpati dengan nasib penduduk Kampung Chubadak Tambahan yang dipaksa keluar dari kampung mereka, kerana tanah yang mereka diami  sudah dibeli oleh pemaju/pemodal/kapitalis.

Perjuangan orang-orang yang ingin membela nasib  mereka adalah baik sekali. Akan tetapi, perjuangan itu sudah terlambat.

Penduduk Kampung Chubadak Tambahan  sudah bertahun-tahun tinggal  di kampung itu sebagai setinggan.

Sepatutnya mereka meminta kepada kerajaan atau pihak-pihak yang ingin menolong mereka  meminta kepada  kerajaan supaya tanah di kampung  itu dibahagi-bahagikan kepada mereka sebelum tanah itu dibeli oleh pihak pemaju/pemodal.kapitalis.

Jika dilihat dari perspektif yang lain pula, mungkin tidak lojik sebuah kampung setinggan dikekalkan wujud berdampingan dengan bangunan  pencakar langit yang besar, canggih dan moden.

Kampung  setinggan itu mesti dirobohkan dan penduduknya mesti dipindahkan ke rumah lain yang lebih bagus.

Memang mereka telah menjadi korban pembangunan.

Akan tetapi, apabila mereka sanggup menjadi setinggan, mereka memang tidak boleh berharap untuk tinggal di satu selama-lamanya,kecuali jika mereka berjaya mendapatkan hak milik tanah di tempat itu. Cepat atau lambat  mereka mesti juga meninggalkan kampung setinggan tersebut.






Perjuangan Anwar sudah berjaya

Melihat apa yang berlaku di Universiti Malaya pada 27 Oktober 2014 jelas pengaruh dan karisma Anwar di kalangan anak-anak muda Melayu masih ada.

Anwar akan  terus disanjung oleh mereka, walau apapun keputusan mahkamah pada 28 Oktober 2014.

Walau bagaimanapun,  perjuangan rakyat dan perjuangan  reformasi perlu diteruskan sama ada Anwar dipenjarakan atau tidak. Sedikit sebanyak perjuangan  reformasi yang dilancarkan oleh Anwar sebenarnya sudah berjaya,  walaupun ditakdirkan dia tidak berjaya menjadi PM.

Sekarang  PKR yang dilahirkan oleh Anwar sudah berjaya memerintah beberapa buah negeri. Pakatan ini mesti dikekalkan, diperkuatkan dan diteruskan supaya akhirnya boleh menjadi alternatif kepada BN.

Sunday, October 26, 2014

Keturunan orang dari Indonesia bukan pendatang

Sebelum Indonesia dijajah  oleh Belanda dan Malaysia dijajah oleh Inggeris,  kawasan kedua-dua negara ini disebut Nusantara atau Alam Melayu. Penduduknya  adalah bangsa serumpun, iaitu rumpun Melayu, walaupun mereka terbahagi kepada pelbagai bangsa.

Di Alam Melayu pernah wujud kerajaan besar, seperti Palembang di Sumatera dan Majapahit di  Jawa. Akan tetapi Palembang dan Majapahit adalah sebahagian daripada Nusantara atau Alam Melayu.

Jadi jika penduduk Alam Melayu berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau dari satu pulau ke satu pulau pada masa dahulu, misalnya jika orang dari Pulau Sumatera berpindah ke Tanah Melayu ( ke negeri Melaka atau Negeri Sembilan, misalnya) mereka masih  bermobiliti dalam satu wilayah budaya yang sama. Tidak timbul mereka menjadi pendatang jika mereka berbuat demikian.

Sekarang memang  telah wujud dua negara -- Indonesia dan Malaysia. Dan penduduk kedua-dua negara sudah tidak bebas lagi  berkunjung ke negara lain seperti dahulu. Dengan itu,  orang Jawa, Madura atau Bugis dari Indonesia boleh disebut pendatang jika mereka berhijrah ke Malaysia pada masa kini.

Akan tetapi, tidak demikian halnya orang-orang dari Indonesia  yang berpindah ke Malaysia pada masa dahulu,  iaitu sebelum wujudnya negara Indonesia dan Malaysia.  Mereka bukan pendatang, kerana mereka berpindah  di wilayah budaya Alam Melayu  atau Nusantara yang merupakan tanah air mereka ,sebelum  wujudnya  negara Indonesia dan Malaysia.

Dengan demikian, anak cucu mereka,  atau keturunan orang-orang yang berhijrah dari Indonesia sebelum wujudnya negara Indonesia pada tahun 1945 bukanlah pendatang. Mereka  keturunan rumpun Melayu yang berpindah di tanah air mereka  sendiri, Nusantara atau Alam Melayu.

Thursday, October 23, 2014

Mengapa orang Indonesia tidak suka dipanggil Indon?

Saya tidak tahu sejak bila orang Indonesia yang tinggal di negara ini dipanggil Indon. Akan tetapi, tentulah selepas tahun 1970-an, iaitu selepas orang-orang dari Indonesia datang  beramai-ramai untuk bekerja di negara ini.

Panggilan Indon itu saya kira lahir secara alamiah, sama seperti orang Melayu memanggil orang yang datang dari Bangladesh  dengan panggilan Bangla. Saya kira panggilan Indon itu  tidak bermaksud untuk menghina atau merendah-rendahkan orang yang berasal dari Indonesia.

Saya faham banyak orang Indonesia, khasnya golongan  yang terpelajar, tidak suka dengan panggilan Indon itu. Akan tetapi, setakat ini sebab mereka tidak suka itu tidaklah jelas. Mungkin mereka menganggp panggilan itu sebagai panggilan yang menghina atau merendahkan orang Indonesia, sedangkan hal itu tidaklah benar.

Yang lebih benar saya kira orang Indonesia terpelajar itu tidak suka orang Indonesia datang ke negara ini untuk bekerja sebagi kuli  atau pekerjaan yang rendah statusnya. Dan kerana itulah mereka merasakan panggilan  Indon itu sebagai panggilan yang menghina atau merendahkan mereka.

Akan tetapi, jika mereka tidak suka orang Indonesia datang ke negara  ini untuk bekerja sebagai kuli, Indonesia harus menyediakan pekerjaan yang cukup untuk rakyatnya. Hanya dengan begitu, orang Indonesia tidak lagi datang bekerja  sebagai kuli di negara ini, dan  dengan  demikian panggilan Indon itu  juga akan hilang dengan sendirinya.

Pasar Raja Bot, bukan Pasar Chow Kit

Pasar Chow Kit di Kuala Lumpur sebenarnya tidak terletak di Jalan Chow Kit,  walaupun ia berhampiran dengan jalan tersebut. Ia terletak di Jalan Raja Bot dan berhampiran dengan Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Pada awal tahun 1970-an saya pernah tinggal di hujung Jalan Raja Bot, berhampiran dengan Sungai Bonus. Pasar Chow Kit  menjadi  tempat saya membeli ikan, sayur dan buah-buahan, kerana harga barang di pasar itu memang  agak  murah. Keadaan ini agaknya  berlanjutan sehingga tahun 1980-an, setelah saya  berpindah ke Semenyih.

Pada masa ini harga barang-barang di pasar itu tidaklah murah lagi. Namun pasar itu masih menjadi tumpuan orang-orang Melayu  yang tinggal di Kampung Baru  dan kawasan sekitarnya.

Bagaimanapun, kerana ia terletak di Jalan Raja Bot dan  bukan di Jalan Chow Kit, nama pasar itu patutlah ditukar kepada Pasar Raja Bot.

Wednesday, October 22, 2014

Orang Melayu bukan pendatang

Dalam tulisan terdahulu saya sudah  tegaskan bahawa orang Melayu bukan  pendatang di negara ini, walaupun datuk nenek mereka dahulu  berhijrah dari negara yang kini dikenali sebagai Indonesia. Sebabnya ialah sebelum Indonesia  wujud sebagai negara yang merdeka pada tahun 1945, negara Indonesia dan Malaysia belum wujud sebagai negara yang berasingan.  Yang wujud pada masa itu adalah sebuah wilayah budaya yang dikenali sebagai Alam Melayu atau Nusantara, walaupun telah dibelahbagikan oleh penjajah Inggeris dan Belanda. Namun, penduduk Alam Melayu adalah satu bangsa serumpun, iaitu Rumpun Melayu. Jadi jika orang Minangkabu, Jawa atau Bugis berhijrah ke Tanah Melayu, mereka adalah berpindah dalam satu wilayah budaya yang sama, samalah seperti orang Cina yang berpindah dari Shanghai ke Taiwan, atau orang India berpindah dari Madras ke Bombay.

Yang lebih penting lagi adalah sejak abad ke-15 orang-orang   dari Rumpun Melayu, yang berasal dari  kepulauan lain di Alam Melayu itu, sama ada orang "Melayu", Minangkabau atau Bugis,   telah membentuk   satu struktur politik yang mantap,  dan  telah menjadi raja  atau  pemerintah di Melaka, Pahang, Johor, Perak dan lain-lain. Dengan itu, di Tanah Melayu yang terdiri daripada beberapa  negeri itu telah wujud "negeri Melayu" dengan raja dan pemerintah  Melayu.

Dalam hubungan ini,perlu dijelaskan bahawa Orang Asli memang penduduk asal negeri ini. Akan tetapi, mereka tidak pernah  membentuk suatu struktur politik yang boleh dianggap sebagai sebuah negeri, Tidak ada di antara mereka yang menjadi Raja atau Sultan. Tetapi  sebaliknya mereka telah menjadi rakyat kepada  raja-raja Melayu.

Orang Cina dan India memang jelas datang dari negara atau wilayah budaya yang lain di luar Alam Melayu. Mereka bukan bangsa serumpun dengan bangsa Melayu. Oleh itu, merekalah pendatang, dan bukan bangsa Melayu.


Siapa Pendatang? (2)

Ketika orang Cina dan India datang ke Tanah Melayu dan Singapura (atau disebut juga Malaya ketika itu ) pada abad ke-19, di negara ini sudah ada sistem politik Melayu  yang mantap, sudah ada raja dan pemerintah Melayu.

Negara ini juga dikenali sebagai Tanah Melayu atau negeri Melayu.

Apabila orang-orang dari seberang (dari Sumatera, Jawa, Kalimantan dll)  datang ke  Tanah Melayu, mereka diterima oleh Inggeris yang menjajah Tanah Melayu pada masa itu  sebagai sebahagian orang Melayu, dan orang-orang itu diterima oleh raja-raja Melayu sebagai rakyat negeri mereka. Sebabnya mereka datang dari wilayah budaya yang sama, iaitu Alam Melayu atau Nusantara, dan mereka memang merupakan satu bangsa yang dianggap serumpun.

Orang-orang Cina dan India pula pada masa itu  datang ke Tanah Melayu untuk mencari makan, dan mereka pada  umumnya memang belum  mahu menjadi penduduk tetap di negara ini.

Sebagai pendatang, mereka  tentu mengiktiraf kedudukan dan kedaulatan raja-raja Melayu, walaupun mereka bukan rakyat raja-raja berkenaan. Ketika itu orang Melayulah yang  menjadi tuan dan raja yang disembah oleh semua penduduk negara ini, termasuk orang-orang yang datang dari luar Alam Melayu.

Oleh itu jika orang-orang yang datang dari luar Alam Melayu itu  dianggap sebagai pendatang, maka itu memang merupakan fakta sejarah yang tidak perlu dinafikan atau dimungkiri.

Siapa pendatang?

Sekarang istilah pendatang digunakan untuk  merujuk kepada orang-orang yang datang dari Indonesia dan negara lain  dalam tahun-tahun kebelakangan ini (khasnya sejak tahun 1970-an).

Ada yang datang secara illegal. Maka kita namakan mereka "pendatang haram" atau dihaluskan menjadi "pendatang tanpa izin".

Adakah orang-orang dari Indonesia yang datang ke Malaysia  pada tahun-tahun yang lebih awal, (sejak abad ke-16 hingga awal abad ke-20),  boleh dipanggil pendatang juga?

Pada pendapat saya istilah  pendatang itu tidak tepat dan tidak sesuai digunakan untuk merujuk kepada mereka.

Dari segi sejarah, sebelum tahun 1945, negara Indonesia dan Malaysia belum wujud sebagai negara yang berasingan.  Indonesia dan Malaysia  pada masa itu adalah satu wilayah budaya yang disebut Alam Melayu  atau Nusantara, walaupun dijajah oleh penjajah yang berlainan. Penduduknya adalah satu bangsa serumpun.

Jadi jika orang dari Jawa, Bugis atau Minang berhijrah ke Tanah Melayu, mereka berhijrah dalam satu wilayah  budaya yang sama. Samalah seperti orang Cina berhijrah dari Shanghai ke Taiwan, atau orang India berpindah dari  Madras ke Bombay.

Oleh itu,  orang  dari Indonesia yang datang ke Malaysia pada masa itu bukan "pendatang". Mereka penduduk Alam Melayu yang berpindah dalam satu wilayah budaya yang sama dan merupakan bangsa serumpun.  Pendatang pada masa itu ialah orang-orang yang datang dari luar Alam Melayu

Kebetulan orang-orang yang berhijrah dari Indonesia itu  (seperti Bugis dan Minangkabau) telah menjadi raja atau pemerintah di negara ini. Mereka diiktiraf sebagai raja atau pemerintah oleh orang-orang yang datang dari  negara Cina dan India dan oleh   pendatang dari Barat juga.

Dengan itu, orang Melayu  di Malaysia  sekarang bukan pendatang atau keturunan pendatang, walaupun datuk nenek mereka datang dari negara yang sekarang  disebut Indonesia. Sebaliknya mereka adalah tuan  dan raja negara ini, sejak dulu hingga sekarang.








Tuesday, October 21, 2014

Apa hubungan kempen menyentuh anjing dengan Islam Liberal?

Saya memang tidak berminat dengan  anjing. Apalagi di sekitar rumah saya banyak anjing liar atau anjing tidak bertuan yang berkeliaran dan  berak  bersepah-sepah di sana sini. Ketika saya hendak pergi ke surau dengan berjalan kaki pula,kadang-kadang ada anjing liar itu yang menyalak ke arah  saya,  walaupun dia tidak berani mendekat.

Oleh itu, apabila baru-baru ini ada kempen yang dilancarkan oleh puak-puak tertentu untuk  menggalakkan orang ramai menyentuh anjing sudah tentu saya juga tidak berminat.

Bagaimanapun, saya berminat dengan isu ini apabila kemudian banyak pula komen dan tanggapan  daripada tokoh-tokoh  dan pihak yang  berkuasa agama. Komen mereka umumnya  tentu saja sangat negatif. Mengikut mazhab Shafie yang menjadi pegangan mereka, menyentuh anjing adalah haram dan pihak-pihak yang menganjurkan kempen itu haruslah  bertaubat.

Di samping itu, ada juga yang mengaitkan kempen  menyentuh anjing itu dengan agenda golongan yang dikatakan  mahu menyebarkan fahaman Islam liberal dan pluralisme  di negara ini. Entah betul entah tidak, hal itu perlu penelitian dan penyiasatan lebih lanjut.

Setakat ini, di negara kita,setahu saya,  tidak ada orang-orang yang mengaku sebagai Islam liberal. Ini barangkali kerana di negara kita  Islam liberal dianggap "sesat"   dan masih ditakuti seperti hantu.

Bagaimanapun,  saya kira  selagi ulama kira bersikap jumud dan tertutup, dan hanya berpegang kepada Mazhab Shafie, penentangan daripada pihak-pihak yang tidak bersetuju  dengan hal itu akan   tetap ada  dan sentiasa  ada. Dan Islam Liberal adalah "fahaman tandingan" kepada fahaman agama yang jumud dan tertutup itu.

Monday, October 20, 2014

Takziah atas berpulangnya Prof.Emeritus Pendita Ismail Hussain.

Saya  mendapat tahu Prof.Emeritus Pendita Ismail Hussain berpulang ke rahmatullah malam ini.

Beliau sebenarnya  tidak mengenali saya, kerana kami tidak pernah berkenalan  secara dekat. Bagaimanapun, ada dua perkara mengenai beliau yang berkaitan dengan saya, yang selalu dalam ingatan saya.

Pertama, ketika manuskrif buku saya  Paya Jejawi sedang dipertimbangkan oleh DBP untuk diterbitkan, beliau menjadi Pengerusi Jawatankuasa Penerbitan, dan saya difahamkan  beliaulah yang menyokong kuat supaya buku itu diterbitkan.

Kedua, saya tidak menjadi anggota mana-mana persatuan penulis, tetapi pada masa yang lalu berminat menghadiri Hari Sastera anjuran GAPENA yang dipimpin oleh beliau. Sebagai orang yang tidak menjadi anggota mana-mana persatuan penulis, saya  tentu tidak dijemput menyertai Hari Sastera tersebut. Bagaimanapun, apabila saya meminta untuk menyertai Hari Sastera yang diadakan di Pahang dan Melaka pada tahun 1990-an dahulu, beliau sendirilah yang menjawab surat saya, dan bukan Setiausaha GAPENA. Beliau mengalu-alukan saya menjadi peserta aktif.

Kepada keluarga beliau,  saya mengucapkan takziah atas  kepulangan beliau ke rahmatullah. Semoga roh  beliau dirahmati Allah dan di tempatkan di sisi orang-orang yang salleh.

Wednesday, October 8, 2014

Mengapa takut tokoh Islam Liberal datang?

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menentang keras kehadiran  Ulil Abshar Abdillah, tokoh Islam Liberal dari Indonesia  pada  18/10/2014 yang  akan datang.  Alasannya  " tidak sesuai dan  kelihatan mencabar autoriti agama".

Alasan PUM ini sebenarnya naif sekali.  Mungkin anda tidak bersetuju dengan fahaman dan gerakan Islam Liberal yang didukung oleh Ulil.  Akan tetapi, apakah anda  tidak mampu berhadapan dan berdebat dengannya?

Jika fahaman Islam Liberal itu salah, inilah peluang anda mendedahkan  kesalahan itu. Jadi mengapa takut Ulil datang?

Pemimpin PAS tidak perlu dari golongan ulama

Kalau tidak salah, pemimpin PAS yang awal bukanlah dari kalangan ulama. Misalnya Dr.Burhanuddin dan Datuk Asri yang pernah menjadi presiden PAS dalam masa yang panjang bukanlah dari kalangan ulama.

PAS hanya mulai dipimpin oleh ulama apabila Haji Hadi Awang menjadi presiden PAS pada tahun 1980-an. Ini ialah kerana pengaruh revolusi Iran.

Iran memang dipimpin oleh ulama. Akan tetapi, ulama Iran bukan  tahu ilmu agama saja seperti  ulama di Malaysia. Ulama mereka tahu  ilmu falsafah, ekonomi, sains sosial dan lain-lain.Oleh itu mereka layak menjadi Presiden atau Perdana Menteri.

PAS memang boleh dipimpin oleh ulama. Akan tetapi, apakah ertinya jika pemimpin ulama tidak layak memegang jawatan Perdana Menteri?

Oleh itu pemimpin PAS mungkin tidak  perlu dari golongan ulama. Sesiapa yang berkelayakan boleh memimpin parti itu, asalkan dia seorang yang berkebolehan dan berkalibar untuk menjadi Perdana Menteri.

Monday, October 6, 2014

Apa salahnya Pesta Arak?

Tentu tidak banyak, malah mungkin hampir tidak ada orang Melayu/Islam yang bersetuju Pesta Arak diadakan di negara ini.

BH hari (7/10/2014) menyiarkan penentangan  orang-orang Melayu dari pelbagai golongan -- dari Timbalan Mufti, Bekas Menteri hinggalah pensyarah universiti  -- yang menyatakan penentangan mereka dengan pelbagai alasan.

Akan tetapi, anehnya seorang pemimpin PAS, MP Shah  Alam, Khalid Samad telah mempertahankan pesta arak tersebut.

Mengikut Khalid,  penganjuran  pesta araj itu  tidak  salah jika ia diadakan di kawasan yang majoriti penduduknya orang bukan Islam.

Mengikut Khalid seterusnya, "...Perkara  sebegini  tidak boleh dihalang kerana  Malaysia sebuah negara majmuk  dan ia dianjurkan untuk orang bukan Islam".

Kebetulan pesta arak itu sudah pun bermula  pada 24 September yang lalu, dan kemuncaknya ialah pada hari Jumaat ini (10/10/2014). Siapakah yang akan membatalkannya?




Sunday, October 5, 2014

Haji Hadi sudah patut mengundurkan diri

Berita Harian hari ini (6/10/2014) memuatkan pendedahan anak Nik Aziz, Nik Mohamad Abduh bahawa kononnya ada  komplot luar, iaitu gerakan  musuh Islam antarabangsa untuk menjatuhkan   Haji  Hadi dan  Majlis Syura Ulama.

Saya tidak tahu adakah berita itu begitu penting sehingga dijadikan berita utama. Dan yang lebih penting lagi adakah  apa yang didedahkan oleh Nik Mohamad Abduh itu  sesuatu yang benar?

Bagaimanapun, Nik  Mohamad Abduh tentu perlu membuktikan hal itu dan bukan sekadar mengemukakan dakwaan sahaja.

Bagi saya, sama ada hal itu benar atau  tidak,  Haji Hadi sebenarnya sudah terlalu lama menjadi pemimpin PAS dan dalam masa  yang akhir-akhir ini tidak menunjukkan prestasi yang meyakinkan.  Oleh itu, sama ada,  ada komplot untuk menjatuhkanya  atau tidak, beliau sepatutnya sudah patut mengundurkan diri  daripada pucuk pimpinan PAS. Biarlah pemimpin muda yang lebih  berwibawa mengambil alih tempat beliau.

Tentang Majlis Syura Ulama pula, kita pun tidak melihat  mereka merupakan orang-orang yang berwibawa. Mereka barangkali ulama, tapi bukanlah ulama yang faham sangat tentang politik. Oleh itu kadang-kadang pendirian mereka pun kelihatan songsang dan tidak sesuai dengan keadaan politik semasa.

Malah, sama ada  usaha untuk melemahkan kedudukan mereka ada  atau tidak, mereka pun  sebenarnya tidak mampu memperkuatkan PAS.

Mengapa UM dan UKM menarik diri dari pencalonan kedudukan universiti?

Setakat ini saya tidak tahu apakah alasan pentadbiran UM dan UKM  menarik diri dari pencalonan kedudukan universiti  Times Higher Education.

Akan tetapi, seperti Lim Kit Siang, saya berpendapat tindakan pentadbiran UM dan UKM itu tidak wajar, dan hanya menunjukkan ketidakmampuan kedua-dua universiti itu bertanding di peringkat  antarabangsa.

Dalam masa terdekat mungkin kedua-dua universiti itu  memang sukar  untuk mendapat  kedudukan  dalam 100 universiti terbaik di dunia. Akan  tetapi, apakah masalahnya?

Saya kira, yang penting  adalah  kedua-dua universiti itu harus  berusaha memperbaiki kedudukannya sehingga mencapai kedudukan yang lebih baik dan lebih tinggi dari masa ke masa, dan bukan mengaku kalah atau mencari alasan yang bodoh dan dicari-cari!

Nak mansuhkan SJKC cadangan karut

Sebuah bahagian UMNO di Selangor mencadangkan supaya  Perhimpunan Agung UMNO 2014 membincangkan   sama ada SJKC perlu diterus atau dimansuhkan.

Cadangan ini sebenarnya cadangan karut.

Kalau nak mansuhkan SJKC  sepatutnya tahun 1970 dulu, bukan sekarang.

Sekarang mana kerajaan BN ada kemampuan nak mansuhkan  SJKC. Kalau  kerajaan BN   nak cuba mansuhkan SJKC, bererti kerajaan BN  nak gulung tikar!

Wednesday, October 1, 2014

MB yang tak mahu gaji besar

Pada masa  Khalid menjadi MB  Selangor, gaji MB, EXCO, Speaker, Timbalan Speaker dan ADUN telah dinaikkkan.

Yang kelihatan paling tinggi agaknya gaji  MB,  EXCO, Speaker danTimbalan Speaker iaitu gaji MB dinaikkan dari  RM14,175.15 kepada  RM29,250;  gaji EXCO  dari  RM6,109.29 kepada RM22,500; gaji Speaker dari RM6,109.29 kepada RM22,500 dan  gaji Timbalan Speaker dari RM 3,327.50 kepada RM 15,750.

Kata Azmin gaji MB, EXCO, Speaker dan Timbalan Speaker akan dikaji semula. Apakah maksudnya? Saya kira maksudnya ialah  akan diturunkan, bukan dinaikkan lagi.

Kalau betul begitu, baguslah. Gaji mereka boleh dinaikkan dari gaji asal tetapi tentu tidak perlu  terlalu tinggi. Kenaikan yang wajar tentu boleh diterina oleh rakyat.

Minyak naik, tetap sokong BN

Minyak naik 20 sen. Semua rakyat Malaysia, penyokong BN atau bukan penyokong BN akan menanggungnya.

Akan tetapi masih banyak rakyat Malaysia yang akan terus menyokong BN. Begitulah cerdiknya rakyat Malaysia!