Monday, January 23, 2012

Tukar nama Jalan Ampang kepada Jalan Sutan Puasa

Tahniah kepada Persatuan Halak Mandailing Malaysia (Mandailing Malaysia) yang akan mengadakan mesyuarat agungnya pada 28/1/2012 ini.

Orang keturunan Mandailing adalah antara pendatang dari Indonesia yang telah berjasa membuka dan memajukan banyak kampung dan bandar di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia pada pertengahan abad ke-19 yang lalu.

Meskipun kurang sekali dicatatkan dalam buku-buku sejarah, dan seolah-olah ingin dilupakan dari sejarah, seorang ketua orang Mandailing yang bernama Sutan Puasa sebenarnya turut memainkan peranan membuka dan memajukan Kuala Lumpur, khasnya kawasan Ampang.

Peranan Sutan Puasa membuka dan memajukan Kuala Lumpur ini saya rasa patut dikaji dengan lebih mendalam dan diberi pengiktirafan.

Sudah terlalu lama penulisan sejarah negeri Selangor memberi tumpuan yang berlebihan terhadap peranan orang Bugis.Kini sudah sampai masanya hal itu diluruskan.

Peranan yang tidak kurang pentingnya yang telah dimainkan oleh suku lain, termasuk suku Mandailing, dalam pembukaan dan pembangunan negeri Selangor mestilah diberi pengiktirafan.

Untuk mengiktiraf peranan dan sumbangan Sutan Puasa dalam pembukaan dan pembangunan Kuala Lumpur, saya ingin mencadangkan supaya salah satu daripada dua jalan utama di Kuala Lumpur, iaitu Jalan Ampang dan Jalan Gombak ditukar kepada Jalan Sutan Puasa, kerana Sutan Puasa pernah tinggal dan membangunkan kedua-dua tempat tersebut.

Mungkin cadangan ini merupakan cadangan yang tidak pernah difikirkan atau dibayangkan oleh sesiapa, dan mungkin tidaklah mudah untuk direalisasikan.

Akan tetapi, saya kira tidak ada salahnya jika orang Mandailing memberi perhatian dan memikirkannya, dan mencari jalan bagaimana hal itu boleh direalisasikan.

2 comments:

  1. Bagaimana pula dengan peranan orang Rawa yang turut membangunkan Kuala Lumpur. Sekitar 1888 terdapat sebuah kampung Rawa terletak antara Masjid Jamek dan Wisma Yakin sekarang. Patut juga Jalan Masjid India ditukar kepada Jalan Rawa. Wallualam.

    ReplyDelete
  2. Hal itu mesti diperjuangkan. Suara kita adalah suara dari bawah. Mungkin organisasi atau persatuan sesuatu suku jika kuat dan berpengaruh boleh mempengaruhi orang atas atau pihak yang berkuasa untuk melakukan sesuatu perubahan.

    ReplyDelete