Barangkali selain daripada nama ayah saya yanag ditulis sebagai Lamry dalam surat beranak saya, hampir tidak ada atau sangat sedikit orang lain yang bernama Lamri. Saya teringat satu masa dahulu ada seorang pegawai tinggai kerajaan di Sabah bernama Lamri. Baru-baru ini saya bertemu dengan seorang teman wanita di facebook yang nama bapanya bernama Lamri (Suhada binti Lamri). Itu sahaja nama orang bernama Lamri yang saya temui.
Bagaimanapun, nama bapa sebenarnya ialah Ramli, dan adik-adik saya semuanya dibinkan dengan "Ramli"; hanya saya seorang yang dibinkan dengan Lamry (Tak tahu mengapa ejaannya Lamry dan bukan Lamri).
Saya dibinkan dengan Lamry dan bukan Ramli, mungkin kerana masa melaporkan kelahiran saya dahulu, bapa saya memberitahu pegawai polis yang mencatatkan laporan itu bahawa namanya ialah Lamrik dan bukan Ramli. Ini kerana ayah saya adalah orang Banjar dan di kalangan orang Banjar memang biasa nama Ramli itu diterbalikkan menjadi Lamrik.
Oleh kerana ayah saya melaporkan namanya Lamrik, maka pegawai polis berkenaan menulis dalam surat beranak saya bahawa saya dibinkan dengan Lamry dan bukan Ramli. Yang aneh sedikit dia menggunakan ejaan Lamry dan bukan Lamri.
Sejak itu nama saya dalam pendaftaran sekolah, dalam kad pengenalan, buku simpanan bank dan pasport antarabangsa dll semuanya dicatatkan "bin Lamry".
Nama Lamry ini tentu agak janggal. Pada masa saya di bangku sekolah rendah dahulu ada guru saya yang bertanya mengapa saya dibinkan dengan Lamry, kerana dia tahu nama bapa saya ialah Ramli.
Setengah-setengah pihak yang berhubung dengan saya, kadang-kadan mengubah nama ayah saya menjadi Lambri (mereka tambah huruf b). Mereka tak yakin nama ayah saya ialah Lamry.
Sesetengah kawan pula ada yang bergurau dengan mengatakan saya anak Sang Lamri (nama binatang).
Pada masa dahulu, saya ada kalanya merasa tidak selesa dengan nama bin Lamry ini. Tapi oleh kerana untuk mengubah nama saya dalam pelbagai dokumen agak rumit, nama itu saya biarkan sahaja. Sekarang sudah biasa, dan nama itu pun mungkin ada keistimewaannya, kerana keganjilannya. Jadi saya biarkan sahaja.
Hanya ada kalanya dalam keadaan tertentu, misalnya ketika saya hendak menuntut tanah/harta pusaka, saya terpaksa membuat surat sumpah bahawa saya anak Ramli. Jadi saya boleh juga dibinkan dengan Ramli, di samping bin Lamry dalam kad pengenalan dan dalam dokumen lain.
No comments:
Post a Comment