Sunday, October 26, 2014

Keturunan orang dari Indonesia bukan pendatang

Sebelum Indonesia dijajah  oleh Belanda dan Malaysia dijajah oleh Inggeris,  kawasan kedua-dua negara ini disebut Nusantara atau Alam Melayu. Penduduknya  adalah bangsa serumpun, iaitu rumpun Melayu, walaupun mereka terbahagi kepada pelbagai bangsa.

Di Alam Melayu pernah wujud kerajaan besar, seperti Palembang di Sumatera dan Majapahit di  Jawa. Akan tetapi Palembang dan Majapahit adalah sebahagian daripada Nusantara atau Alam Melayu.

Jadi jika penduduk Alam Melayu berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau dari satu pulau ke satu pulau pada masa dahulu, misalnya jika orang dari Pulau Sumatera berpindah ke Tanah Melayu ( ke negeri Melaka atau Negeri Sembilan, misalnya) mereka masih  bermobiliti dalam satu wilayah budaya yang sama. Tidak timbul mereka menjadi pendatang jika mereka berbuat demikian.

Sekarang memang  telah wujud dua negara -- Indonesia dan Malaysia. Dan penduduk kedua-dua negara sudah tidak bebas lagi  berkunjung ke negara lain seperti dahulu. Dengan itu,  orang Jawa, Madura atau Bugis dari Indonesia boleh disebut pendatang jika mereka berhijrah ke Malaysia pada masa kini.

Akan tetapi, tidak demikian halnya orang-orang dari Indonesia  yang berpindah ke Malaysia pada masa dahulu,  iaitu sebelum wujudnya negara Indonesia dan Malaysia.  Mereka bukan pendatang, kerana mereka berpindah  di wilayah budaya Alam Melayu  atau Nusantara yang merupakan tanah air mereka ,sebelum  wujudnya  negara Indonesia dan Malaysia.

Dengan demikian, anak cucu mereka,  atau keturunan orang-orang yang berhijrah dari Indonesia sebelum wujudnya negara Indonesia pada tahun 1945 bukanlah pendatang. Mereka  keturunan rumpun Melayu yang berpindah di tanah air mereka  sendiri, Nusantara atau Alam Melayu.

No comments:

Post a Comment