Tuesday, October 21, 2014

Apa hubungan kempen menyentuh anjing dengan Islam Liberal?

Saya memang tidak berminat dengan  anjing. Apalagi di sekitar rumah saya banyak anjing liar atau anjing tidak bertuan yang berkeliaran dan  berak  bersepah-sepah di sana sini. Ketika saya hendak pergi ke surau dengan berjalan kaki pula,kadang-kadang ada anjing liar itu yang menyalak ke arah  saya,  walaupun dia tidak berani mendekat.

Oleh itu, apabila baru-baru ini ada kempen yang dilancarkan oleh puak-puak tertentu untuk  menggalakkan orang ramai menyentuh anjing sudah tentu saya juga tidak berminat.

Bagaimanapun, saya berminat dengan isu ini apabila kemudian banyak pula komen dan tanggapan  daripada tokoh-tokoh  dan pihak yang  berkuasa agama. Komen mereka umumnya  tentu saja sangat negatif. Mengikut mazhab Shafie yang menjadi pegangan mereka, menyentuh anjing adalah haram dan pihak-pihak yang menganjurkan kempen itu haruslah  bertaubat.

Di samping itu, ada juga yang mengaitkan kempen  menyentuh anjing itu dengan agenda golongan yang dikatakan  mahu menyebarkan fahaman Islam liberal dan pluralisme  di negara ini. Entah betul entah tidak, hal itu perlu penelitian dan penyiasatan lebih lanjut.

Setakat ini, di negara kita,setahu saya,  tidak ada orang-orang yang mengaku sebagai Islam liberal. Ini barangkali kerana di negara kita  Islam liberal dianggap "sesat"   dan masih ditakuti seperti hantu.

Bagaimanapun,  saya kira  selagi ulama kira bersikap jumud dan tertutup, dan hanya berpegang kepada Mazhab Shafie, penentangan daripada pihak-pihak yang tidak bersetuju  dengan hal itu akan   tetap ada  dan sentiasa  ada. Dan Islam Liberal adalah "fahaman tandingan" kepada fahaman agama yang jumud dan tertutup itu.

No comments:

Post a Comment