Thursday, June 18, 2015

Bandar Baru Bangi yang tidak menjadi bandar ilmu

Bandar Baru Bangi sangat dekat dengan UKM, tidak jauh dari UPM, dan boleh dikatakan tidak jauh juga dari USIM dan KUIS.

Sebuah bandar yang  sangat dekat dengan beberapa universiti ini sepatutnya boleh menjadi " bandar ilmu", di mana terdapat  banyak kedai buku besar, perpustakaan dll. Akan tetapi, nampaknya tidak demikian.

Memang di bandar ini ada beberapa buah kedai buku. Akan tetapi, kedai buku yang utama nampaknya ialah kedai buku  teks sekolah dan kedai buku agama. Malah agak menarik, sebuah cawangan kedai buku besar, yang sepatutnya lebih banyak menjual buku umum pun, dipenuhi dengan buku agama juga!

Kedai buku DBP  sudah ada  di bandar ini. Akan tetapi, agaknya terletak di tempat yang tidak begitu strategis dan kurang didatangi pengunjung.

Perpustakaan awam memang ada di bandar ini. Tapi saya tidak tahu seramai mana pengunjungnya.

Mengapakah terjadi demikian? Barangkali mahasiswa kurang membaca  atau   sekadar membaca buku di perpustakaan universiti ala kadarnya. Mereka hampir pasti kurang sekali membeli buku. Orang awam pula barangkali  tidak  begitu berminat membaca buku, kecuali novel  popular dan  buku agama. Dengan itu, tidak muncullah  kedai buku besar yang menjual pelbagai jenis buku.

Jadi begitulah keadaan Bandar Baru Bangi sekarang. Ia penuh dengan kedai makan, kedai pakaian dan kedai tudung.

Memang belum kelihatan akan menjadi bandar ilmu!

Saturday, May 2, 2015

Bila berkunjung ke Kalsel?

Setelah saya balik dari kunjungan ke Kalsel pada bulan Mac 2014, saya sering mendapat  pertanyaan daripada kenalan dan kawan saya  bila saya  akan  berkunjung lagi ke sana?

Saya tentunya menyatakan belum tahu lagi.  Ini kerana untuk berkunjug ke sana memang memerlukan perbelanjaan yang agak banyak juga. Di samping itu, saya mahu  saya ada rancangan, program atau kerja tertentu semasa berada di sana dan bukan sekadar makan angin  saja.

Sebelum berkunjung ke sana pada bulan Mac 2014 itu, saya cuba membuat  tinjauan awal tentang kemiskinan di kota Banjarmasin dengan meminta seorang wartawan kenalan saya melakukan  wawancara dengan tiga keluarga miskin. Wawancara itu memang berlangsung dan dia pun telah mengirim laporannya.
Malangnya beliau tidak dapat melakukan  wawancara selanjutnya.

Saya menyedari untuk melakukan penelitian di sana tidaklah mudah, kerana  Banjarmasin agak jauh dan untuk pergi ke sana berulang kali memerlukan perbelanjaan yang banyak.

Bagaimanapun, saya masih berminat untuk melakukan penelitian  di sana , dan kalau boleh melakukan penelitian bersama dengan  seorang dua dosen  UNLAM atau universiti lain. Akan tetapi, ini masih lagi merupakan perancangan.

Saya harap ada dosen  di sana yang berminat  untuk menjalankan penelitian bersama dengan saya tanpa mengharapkan sangat sumbangan kewangan daripada saya.


Monday, December 15, 2014

Akan berkunjung ke Temerloh

Saya bercadang akan ke Temerloh pada bulan  Januari 2015. Antara orang yang ingin saya temui ialah anak Manap Jepun dan cucu Yusof Salleh dan iserinya Maimunah Salleh. Syukur alhamdulillah sudah ada beberapa orang penduduk Temerloh yang menyatakan kesediaan untuk membantu saya menemui mereka.

Anak Manap Jepun pula sudah meminta nombor HP saya dan sudah menghubungi saya. Mungkin saya akan bercakap dengan beliau melalui telefon sebelum saya berkunjung ke Temerloh.

Sementara itu, ada seorang lagi yang ingin saya temui, iaitu Ustaz Zainal Hasan yang dahulunya pernah belajar di UKM pada awal tahun 1980-an. Beliau adalah pengarang buku Sejarah Islam Pahang. Dan saya berminat untuk mendapatkan buku beliau.

Wednesday, December 3, 2014

Indon dapat IC Biru dengan mudah di Sabah

Di Taman Seri Langat, Kajang   ada beberapa buah flat murah yang penghuninya banyak terdiri daripada pendatang asing: Indon, Bangla dan lain-lain. Sebahagian  besar daripada pendatang asing itu ialah pekerja kilang di Bandar Baru Bangi dan pekerja sebuah pasar raya besar yang terletak di Jalan Reko, Kajang.

Di antara orang Indon itu ada seorang yang selalu bersembahyang Isya  di  surau  Taman Seri Langat, tempat saya juga bersembahyang secara berjemaah.  Dia selalunya menundukkan diri apabila bersalam dengan saya, mungkin sebagai tanda hormat. Bagaimanapun, saya jarang sekali berkesempatan untuk berbual-bual dengannya.

Pada suatu hari, dia datang awal ke surau untuk bersembahyang Isya, dan  dapatlah saya berbual-bual dengannya, walaupun tidak begitu lama.

Antara lain, saya bertanya, "Bapak sudah ada IC Merah"?  Saya bertanya demikian, kerana saya menduga dia sudah menjadi penduduk tetap, dan mengikut pengalaman saya memang ramai orang Indon yang menetap di flat murah  seperti beliau sudah mempunyai IC Merah

"Oh, tidak. Saya ada IC Biru", jawab beliau.

Jawapan beliau menarik hati saya, walaupun saya tidaklah terlalu  terkejut. "Bila dapat?" saya bertanya.

"Dulu masa saya tinggal di Sabah", jawabnya.

Rupanya  beliau pernah tinggal di Sabah sebelum berpindah ke Semenanjung. Beliau mendapat IC Biru tidak lama setelah tinggal di Sabah.

Saya tidak bertanya bagaimana beliau boleh mendapat IC Biru itu; bagaimana prosesnya, dan adakah kena bayar atau tidak.

Bagaimanapun, ini adalah satu contoh bagaimana seorang pendatang asing yang baru datang ke Sabah boleh mendapat IC biru dengan mudah pada satu masa dahulu.




Ahmad Salleh (Mantan Setiausaha BATAS (Barisan Tani Malaya)

Nama Ahmad Salleh hampir tidak tersebut dalam buku-buku yang ditulis oleh Abdullah CD dan Suriani Abdullah, walaupun  dia salah seorang pejuang kemerdekaan yang penting dari Temerloh dan pernah bergerak dalam  Rejimen Ke-10. Ini  barangkali kerana Ahmad Salleh  telah meninggalkan  berjuangan bersenjata lebih awal daripada  kawan-kawannya. Bagaimanapun, saya kira beliau pernah memainkan peranan yang penting, dan namanya tidak harus dilupakan begitu sahaja.

Ahmad yang merupakan anak seorang guru pernah belajar di Sekolah Inggeris  di Kuala Lipis  dan meninggalkan bangku sekolah kerana menyertai perjuangan kemerdekaan. Bapanya dikatakan menangis kerana tindakannya meninggalkan bangku persekolahan itu.

Ahmad mempunyai hubungan rapat dengan Kamarulzaman Teh, Ketua API Pahang dan pemimpin API yang lain.Akan tetapi katanya dia tidak memegang apa-apa jawatan dalam gerakan itu.

Jawatan penting yang  pernah dipegang oleh Ahmad ialah Setiausaha Barisan Tani Malaya (BATAS)  yang diketuai oleh Musa Ahmad, yang kemudiannya pernah menjadi Pengerusi PKM.

Dalam Rejimen Ke-10, Ahmad pernah memegang jawatan tinggi, iaitu sebagai Ketua Kompeni dengan pangkat Kaptan. Dalam perjuangan  dia memakai nama samaran Abas. Jadi ketika itu   dia disebut Kaptan Abas.

Selepas "Peristiwa Padang Piol"   yang hampir menghancurkan  Rejimen Ke-10, Ahmad adalah salah seorang yang balik ke Temerloh dan ingin meninggalkan perjuangan. Dia dikatakan pernah berjumpa dengan Yoep Mahidin, ADO Temerloh secara sulit. Kerana tindakannya berjumpa dengan Yoep  Mahidin itu dia dicurigai oleh Chin Peng  dan mungkin akan dikenakan tindakan,   Oleh itu,   dia telah mengambil keputusan untuk  melarikan diri ke Indonesia.

Bagaimanapun, dia tidak jadi melarikan diri ke Indonesia, kerana barangkali tidaklah mudah untuk berbuat demikian. Dia kemudian dimaafkan oleh Chin Peng, dan . atas pujukan Chin Peng dia menyertai  Ibrahim Chik yang  ditugaskan pergi ke Selatan Thailand  untuk merintis penempatan Rejimen Ke-10 di negera  itu, sebelum pasukan Rejimen Ke-10 pindah beramai-ramai  ke negara itu.

Bagaimanapun, Ahmad mengambil keputusan meninggalkan perjuangan,  kerana tidak bersetuju Rejimen  Ke-10  meneruskan perjuangan bersenjata dari Selatan Thailand dan seterusnya turun ke Tanah Melayu semula.

Dia menyerah diri  kepada Pasukan Keselamatan  di Kota Baharu, Kelantan  pada tahun 1955 dan kemudian bekerjasama dengan pihak kerajaan  yang mahu menghapuskan gerakan komunis, ketika kawan-kawannya seperti Abdullah CD dan lain-lain masih meneruskan perjuangan dari Selatan Thailand sehingga tahun  1989.


.

Tuesday, December 2, 2014

Manap Jepun (Mantan Setiauasaha PKMM Temerloh)


Saya sudah lama mendengar nama Manap Jepun (almarhum) yang berasal dari Temerloh. Dia diberi nama Manap  Jepun kerana ibunya Wan Esah adalah seorang wanita Jepun. Bapa Manap , Siwang  dapat berkahwin dengan wanita Jepun itu kerana dia pernah bekerja sebagai kelasi kapal yang belayar ke Jepun.

Pada tahun 1970-an seorang bapa saudara saya  pernah bercerita bahawa dia dan Manap  berkawan  baik kerana mereka pernah sama-sama menjadi  askar Jepun pada masa pemerintahan Jepun.

Apabila saya  mula membuat kajian untuk tesis Ph. D saya di Temerloh pada tahun 1981, saya  mendengar cerita bahawa Manap pernah  bergerak dalam PKMM pada tahun 1946 hingga 1948, kemudian menyertai perjuangan bersenjata bersama Rejimen Ke-10 PKM  mulai akhir tahun 1948.

Mengikut Jaafar Husin (bekas Ketua PKMM Temerloh) dalam bukunya Kebenaran, Manap pernah memegang  jawatan Setiausaha PKMM Temerloh. Manap juga merupakan salah seorang yang banyak memberi ceramah politik di kawasan Temerloh pada masa itu.

Perjuangan Manap Jepun menarik untuk dikaji,walaupun dia mungkin hanya tokoh kecil dalam Rejimen ke-10. Keberaniannya dan kehebatannya dalam  perjuangannya  bersama Rejimen ke-10 itu memang menjadi sebutan banyak orang yang mengenalinya.

Salah seorang pejuang dari Temerloh yang pernah bercerita  kepada saya tentang Manap Jepun ialah  allahyarham Abu Samah Mohd.Amin,   bekas  pemimpin API dari Lubuk Kawah,  yang pernah menjadi ketua tentera PKM bagi kawasan (wilayah)  Pahang Timur.  Manap Jepun adalah orang bawahnya.

Setelah meninggalkan perjuangan  bersenjata Abu Samah  bergiat dalam PSRM dan pernah menjadi calon PSRM di Temerloh dalam 4 kali pilihan raya. Dia hampir menang dalam pilihan raya tahun 1959.

Saya bercadang untuk menulis biografi Manap Jepun sekiranya mendapat bahan yang mencukupi.

Sunday, November 30, 2014

Makam-makam Sultan yang terbiar

Kira-kira 15 tahun yang lalu saya membuat  kajian di sebuah kampung di daerah PerakTengah, Perak,  tidak jauh dari pekan Kampung Gajah dan Kampung  Pasir Salak.

Sambil membuat kajian itu, saya mengambil kesempatan melawat beberapa buah  kampung lain yang berhampiran di  mana terdapat makam beberapa orang Sultan Perak. Saya dapati makam-makam  itu berada dalam keadaan terbiar dan dalam semak samun. Jadi saya melihatnya dari jauh saja dan tidak menghampirinya.

Baharu-baharu ini saya membaca blog Catatan   Si Merah Silu  di mana dalam salah satu catatannya beliau  menyatakan telah   melakukan  lawatan ke  makam salah   seorang  Sultan Perak, juga di daerah Perak Tengah, mungkin tidak jauh dari makam-makam yang saya lihat dahulu.

Apa yang memeranjatkan saya, makam yang dikunjungi oleh beliau juga masih  berada dalam  keadaan terbiar dalam kawasan semak samun.

Dalam hubungan ini saya rasa saya wajar menarik perhatian pihak-pihak yang berkenaan.

Mengapakah tidak ada sesiapa yang teringat untuk menjaga dan memelihara makam-makam itu dengan sebaik-baiknya?

Saya rasa sangatlah tidak molek makam-makam itu dibiarkan  dalam  kawasan semak  samun seperti itu.

Sekiranya makam-makam  itu dijaga dan diberi perhiasaan yang seperlunya, tidakkah mungkin makam-makam  itu menjadi satu tarikan  pelancung?  Letaknya pun  tidaklah begitu jauh dari Pasir  Salak, tempat Birch dibunuh,  yang rasanya pernah dipromosikan sebagai salah  tempat  pelancongan  sejarah  di Perak?


Friday, November 21, 2014

Salahkah orang Indonesia dipanggil Indon?

Beberapa tahun yang lalu saya berjumpa dengan beberapa orang  pelajar Indonesia yang sedang belajar di UKM. Entah bagaimana, salah  seorang pelajar lelaki yang berasal dari Jawa menyatakan kemarahannya kerana orang-orang Indonesia yang berada di  Malaysia  dipanggil "Indon".

Ketika itu saya sedang membuat kajian tentang orang-orang Indonesia yang bekerja di Malaysia dan memerlukan maklumat dan data daripada mereka. Jadi kemarahan pelajar itu tidak saya jawab atau beri apa-apa maklum balas.

Baru-baru ini di facebook saya jumpai posting seorang pelayar dari Indonesia yang juga menunjukkan kemarahannya kerana orang Indonesia dipanggil Indon.

Dari kenyataan pelajar dari Indonesia dan pelayar di facebook itu,  saya memahami bahawa mereka tidak suka dipanggil Indon,  kerana panggilan Indon itu  mereka anggap sebagai  satu penghinaan terhadap orang-orang Indonesia.

Bagaimanapun bagi saya, orang Malaysia menggunakan panggilan Indon itu bukan untuk menghina orang Indonesia. Mereka menggunakan  panggilan Indon untuk orang Indonesia sebagaimana mereka menggunakan panggilan Bangla kepada orang-orang yang berasal dari Bangladesh.

Jadi panggilan Indon dan Bangla itu adalah panggilan yang  neutral dan tidak dimaksudkan untuk menghina orang-orang Indonesia  dan Bangladesh  yang berada di negara ini.

Bagaimanapun, orang-orang Indonesia itu tentu sedar bahawa kebanyakan orang Indonesia   datang ke  negara ini  untuk bekerja sebagai kuli. Sebagai kuli tentu mereka tidak dipandang tinggi. Akan tetapi, orang Malaysia  tetap menghormati  mereka dan  mengakui sumbangan mereka terhadap pembangunan  negara ini.

Jadi saya fikir tidak ada salahnya orang Indonesia yang tinggal  di negara ini terus dipanggil Indon. Indon adalah ringkasan dari Indonesia  dan bermakna orang Indonesia.

Wednesday, November 19, 2014

Pesara yang bukan benar-benar bersara

Lebih sepuluh tahun yang lalu, seorang  kawan saya yang bekerja sebagai guru di  Sekolah Menengah Kebangsaan  Sitiawan, Perak (sekarang agaknya telah diberi nama baru Sekolah Menengah Ahmad Boestamam) telah mencadangkan  supaya  saya membuat kajian tentang  nasib pesara. Katanya kehidupan pesara sebenarnya sangat menderita, khasnya jika mereka masih mempunyai pinjaman perumahan yang belum habis dibayar.

Oleh kerana pada masa itu, saya ada beberapa projek penyelidikan yang lain, cadangan beliau tidaklah dapat saya laksanakan. Bagaimanapun, apa yang dikatakan oleh beliau tentang "penderitaan pesara" itu memang selalu menjadi ingatan saya.

Kini, setelah saya sendiri menjadi seorang pesara, barulah saya rasakan betapa perit dan sempitnya kehidupan seorang pesara, walaupun  saya dahulunya adalah seorang pensyarah universiti. Orang lain yang jawatannya lebih rendah daripada saya, tentu saja lebih menderita.

Penderitaan ini  memaksa mereka membuat  apa saja pekerjaan selepas bersara.Sebahagiannya berniaga secara  tetap atau sambilan. Dengan membuat   pelbagai pekerjaan selepas bersara, mungkin kehidupan mereka dapat diteruskan, dan kesempitan hidup mereka dapat dikurangkan..

Akan tetapi,  berapa lamakah mereka dapat berbuat demikian? Umur semakin tua dan badan semakin uzur. Mereka sebenarnya tidak benar-benar pencen atau  bersara, tapi terpaksa bekerja dalam usia mereka yang semakin tua.

Oleh itu, nasib pesara ini wajar sekali diberi perhatian oleh pihak yang berkuasa. Oleh kerana Persatuan Pesara Malaysia tidak mampu  atau tidak tahu berbuat apa-apa, saya harap ada badan lain yang boleh membantu memperjuangkan nasib mereka.

Bagi pihak kerajaan, saya harap pencen mereka dapat dinaikkan sekurang-kurangnya 10 peratus setahun, dan bukan hanya 2 peratus sebagaimana yang ada sekarang. 2 peratus tentulah terlalu kecil dan tidak mencukupi.

Monday, November 17, 2014

Kita sebenarnya terpaksa bergantung kepada buruh asing

Ketika KLIA sedang dibina pada tahun 1980-an dahulu  ribuan buruh asing yang kebanyakannya  terdiri daripada Indon pendatang haram telah digunakan di situ. Tidak ada sesiapa  yang mempertikaikannya, mungkin  kerana lapangan terbang itu perlu disiapkan segera mengikut jadualnya.

Pada masa ini  adakah taman perumahan, bangunan komersal dan pejabat yang dibina tanpa menggunakan buruh asing?

Berapa banyak ladang, kilang, stesyen minyak dan rumah orang kelas menengah  dan atas yang menggunakan buruh asing?

Berapa banyak tandas di komples membeli belah yang menggunakan buruh asing?

Berapa banyak restoran atau kedai makan yang menggunakan buruh asing?

Suatu masa dulu ada rancangan untuk melatih  wanita tempatan menjadi pembantu rumah  supaya boleh mengganti pembantu  rumah Indon dan Filipina yang jumlahnya beratus ribu sekarang. Akan tetapi, nampaknya rancangan itu tinggal  rancangan saja, kerana memang tidak ada wanita tempatan yang mahu menjadi pembantu rumah. Daripada menjadi pembantu rumah   wanita tempatan jelas  lebih suka bekerja di kilang.

Jadi pada kenyataannya,  peranan buruh asing memang penting dan memang diperlukan di negara ini. Tanpa kehadiran mereka pembinaan bangunan akan terbengkalai,  ladang-ladang  terpaksa ditutup dan kilang-kilang akan kekurangan pekerja.Nenek-nenek di kampung  mungkin terpaksa menjaga cucu, kerana   ibu cucu mereka perlu bekerja di bandar.

Oleh itu kita tidak perlu menunjukkan sikap anti buruh asing dan membenci buruh asing. Kita sebenarnya bergantung kepada mereka. Tanpa kehadiran mereka  pembangunan  negara akan terbantut.

Kita sebenarnya perlu melayan mereka dengan baik. Dan anggaplah  mereka sebagai tetamu kita.

Sunday, November 16, 2014

Adakah kita mahu sistem kapitalis Islam?

Berikutan dengan berita  penerokaan tanah secara haram dan kebanjiran buruh asing di Cameron Highlands baru-baru ini banyaklah orang yang menyalahkan kapitalis dan sistem kapitalis. Kononnya semua itu kerana kerakusan kapitalis.

Hal ini tentu ada benarnya, kerana negara kita memang  mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. Maka muncullah pemodal-pemodal yang rakus mengejar keuntungan, termasuk orang-orang yang membuka tanah secara haram di tempat tersebut.

Akan tetapi, orang-orang yang benci kepada kapitalis  yang rakus ini tidak pula memberi alternatif apakah sistem ekonomi yang lebih baik, yang boleh mengganti sistem  kapitalis.

Pada satu masa dulu memang sering diwar-warkan bahawa sistem ekonomi yang menjadi alternatif kepada sistem kapitalis tidak lain daripada sistem sosialis.

Akan tetapi kini orang Melayu  pada umumnya dan majoritinya agaknya tidak berminat dengan sistem sosialis. Malah ada yang melihat  sistem sosialis  itu bertentangan dengan Islam. Oleh itu  alternatif yang mereka bayangkan tidak lain daripada Islam atau sistem ekonomi Islam.

Malangnya setakat ini  fahaman mereka tentang sistem ekonomi Islam itupun  sebenarnya masih kabur.

Sebenarnya sistem ekonomi Islam yang digembar-gemburkan selama ini pun sebenarnya masih mirip dengan sistem kapitalis. Jadi jika tidak mahu sistem sosialis, kita memang akan terus terperangkap dengan sistem kapitalis  atau sistem Islam yang sebenarnya dua kali lima dengan sistem kapitalis.


Saturday, November 15, 2014

UMNO patut ditolak oleh orang Melayu?

Benarkah orang Melayu sekarang merasa terancam atau merasa tidak selamat di tanah air mereka? Saya tidak pasti. Akan  tetapi, jika benar ada orang Melayu yang mempunyai tanggapan yang demikian, apakah sebabnya?

Meminjam kata-kata A.Samad Said, sasterawan  negara, bukakankah kita sekarang  berada di bawah pemerintahan Melayu  dan parti Melayu (UMNO)? Apakah yang dilakukan oleh parti itu selama lebih 50 tahun?

Jika parti berkenaan  berjaya melindungi kepentingan orang Melayu, saya kira  tentu orang Melayu tidak merasa terancam atau tidak selamat.

Mungkin sekali pemimpin dan parti berkenaan tidak mampu  atau telah  gagal melindungi dan membela kepentingan orang Melahyu. Kerana itulah, jika benar, ada orang Melayu yang merasa terancam dan tidak selamat.

Jika benar demikian, mungkin pemimpin dan parti itulah yang  patut ditolak   oleh orang-orang Melayu.


Wednesday, November 12, 2014

Masalah pendatang haram yang gagal ditangani

Berapakah jumlah buruh asing di negara ini?  Maklumat dari sebuah kementerian menyatakan lebih 6 juta orang.  Walaupun maklumat ini   diragukan oleh  Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri (dalam temuramahnya dengan RTM 1 pada 12/11/2014), tetapi saya kira jumlah mereka memang ramai, kalaupun data itu tidak tepat.

Pada tahun 1970-an dan 1980-an dahulu kebanyakan buruh asing  adalah datang  dari Indonesia, dan jumlah mereka pada masa itu (yang  sah dan yang haram)  dianggarkan kira-kira 3 juta orang. Pada masa ini  buruh asing datang  dari pelbagai negara dan bekerja secara sah atau secara haram di pelbagai sektor. Oleh itu jumlah mereka memang mungkin sekali mencapai 6  juta orang.

Satu perkara penting yang disebut oleh Zahid Hamidi  dalam  temu ramahnya itu ialah kebanyakan buruh asing datang ke negara ini secara sah. Akan tetapi mereka bertukar menjadi pendatang haram,  kerana  agensi yang membawa mereka masuk atau majikan mereka  tidak mengambilkan permit kerja, ataupun mereka terus tinggal di negara ini  setelah kontrak kerja  mereka berakhir.

Dalam hal ini, dalam temuramah dengan RTM 1 itu, jelas sekali Zahid membayangkan kehampaannya kerana pihak kerajaan seolah-olah  tidak mampu menangani masalah pendatang haram ini secara  tuntas. Tindakan memburu dan menangkap mereka katanya dilakukan secara berterusan, tapi masalah ini seolah-olahnya tidak ada habisnya.

Beliau ada menyebut bahawa di  sebuah  negara di Timor Tengah di mana penduduknya hanya 1 juta , tetapi  buruh asingnya 6 juta orang. Namun,  buruh asing  di negara itu dapat diuruskan secara sah dengan berkesan, iaitu  mereka datang secara sah, dan bila cukup tempoh,  mereka dikembalikan ke negara mereka secara sah juga. Tapi mengapa di Malaysia  hal ini tidak boleh dilakukan?

Pada satu peringkat, saya lihat Zahid  kelihatan seperti orang yang sudah berputus asa. Katanya kita mungkin hanya  boleh mengatasi masalah pendatang haram ini jika kita mahu "mengubah sikap". Tak jelas apa maksudnya. Tapi mungkin dia mengharapkan orang tempatan mahu melakukan kerja-kerja yang dilakukan oleh buruh asing. Dengan itu, buruh asing  tidak diperlukan lagi  bekerja di negara ini. '

Akan tetapi, saya rasa masalahnya tidak semudah itu,  kerana masalah buruh asing dan pendatang  haram ini sudah begitu kompleks.

Dalam hal ini sayang sekali Zahid tidak menyebut masalah rasuah yang mungkin melibatkan agen pembawa masuk pendatang asing, pegawai  kerajaan di pelbagai agensi dan peringkat dan mungkin juga kedutaan  asing yang tertentu.

Memang  kewujudan masalah  rasuah  ini  sukar dibuktikan. Kerana itu masalah pendatang  haram ini mungkin akan terus  wujud dan  berlanjutan.

Tuesday, November 11, 2014

Pesara menderita -- apa persatuan pesara kerajaan buat?

Saya rasa di antara golongan yang hidupnya susah dan agak menderita pada masa ini ialah  pesara  kerajaan yang dahulunya bekerja sebagai kerani atau jawatan yang setaraf dengannya dan ke bawah

Kebanyakan daripada mereka tentu mendapat pencen kurang daripada RM3,000 sebulan, malah mungkin lebih banyak yang kurang daripada RM2,000 sebulan.

Mereka terpaksa membuat pelbagai pekerjaan selepas bersara daripada perkhidmatan kerajaan untuk menambah pendapatan, selagi mereka mampu. Maknanya mereka bersara daripada perkhidmatan kerajaan, tapi sebenarnya terpaksa terus bekerja untuk menambah pendapatan mereka.

Di antara mereka yang paling menderita  tentulah  orang-orang yang ada hutang rumah yang belum habis dibayar. Hutang rumah sudah dipotong daripada pencen mereka  pada  tiap-tiap bulan dan tidak boleh ditangguhkan pembayarannya.

Walaupun sekarang kerajaan  telah memberi kenaikan tahunan sebanyak 2% sebulan bagi orang-orang pencen, tapi kenaikan ini tentu tidak mencukupi. Sekurang-kurangnya berilah mereka kenaikan tahunan 5%, bukan 2% sebulan. Atau kalau 10% mungkin lebih baik lagi.

Yang saya musykil ialah apakah yang dibuat oleh Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia untuk menolong orang-orang pencen yang menderita ini?

Kalau kita mengikuti laporan akhbar, nampaknya memang tidak ada apa-apa yang mereka lakukan. Entahlah kalau mereka bertindak atau berjuang tanpa publisiti.

Akan tetapi  setakat ini rasanya tidak ada apa-apa, kerana tidak ada apa-apa pengumuman yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk membantu kehidupan pesara kerajaan yang menderita ini, khasnya yang pencennya tersangat rendah.

Mereka akan  terus menderita, jika Persatuan Pesara Kerajaan tidak berbuat apa-apa.


Friday, November 7, 2014

Bilakah seorang pemimpin sekaliber Dato' Harun akan muncul di Selangor?

Mahathir sudah beberapa kali menyatakan bahawa di Selangor UMNO  begitu sukar untuk  memilih  seorang MB yang sesuai.

Beliau tentu  teringat pengalamannya masa lalu memilih seorang muda untuk menjadi MB Selangor.Tapi MB muda itupun rupanya  bukanlah orang yang sesuai untuk memegang jawatan itu.  Kelemahannya banyak. Tak lama dulu dia pun sudah dihukum oleh mahkamah.

Mahathir  berulang kali menyatakan hal ini  dalam kaitanya dengan  keengganan UMNO Selangor untuk menerima  orang-orang yang berkaliber dan berpotensi untuk  menjadi pemimpin yang baik memasuki parti itu ataupun mencantas orang-orang yang seperti itu.

Beliau tidak memberi contoh yang jelas. Tapi saya teringat beberapa kes yang  menyokong pendapat beliau.

Beberapa  puluh tahun yang lalu, ketika  belum ramai orang yang  berkelulusan universiti memasuki parti itu, ada seorang guru siswazah  masuk menjadi ahli UMNO di Sabak Bernam. Beliau agaknya diterima menjadi ahli jika sekadar  menjadi ahli biasa saja. Akan tetapi, apabila beliau menawarkan diri untuk bertanding sebagai salah seorang AJK Bahagian, dia dengan serta merta ditukarkan ke tempat lain. Ketua UMNO Sabak Bernam masa itu ialah seorang Datuk yang hanya berkelulusan Darjah 5 Sekolah  Melayu , dan barangkali bimbang  kedudukannya akan  tergugat jika guru siswazah itu  mencabar kedudukannya.

Beberapa tahun yang lalu, akhbar memberitakan seorang Pakar Motivasi dan bekas pensyarah UPM memohon  menjadi ahli  di sebuah cawangan UMNO di kawasan Serdang. Permohonannya ditolak tanpa dinyatakan sebab-sebabnya. Akan tetapi, kita boleh menduga bahawa  pemimpin  UMNO  di kawasan berkenaan  menyekat kemasukan Pakar Motivasi itu,kerana  mungkin bimbang  Pakar Motivasi itu akan mencabar kedudukannya.

Jadi kalau UMNO Selangor mahu berubah sebagaimana yang disarankan oleh Najib,  UMNO negeri itu memang wajar sekali membukakan pintunya untuk dimasuki oleh golongan  profesional dan  golongan berijazah di negeri itu. Hanya dengan itu barangkali kita boleh mengharapkan  di negeri itu akan muncul seorang MB yang mempunyai kaliber sekurang-kurangnya seperti  Dato' Harun .

Tuesday, November 4, 2014

Mengapa pemimpin kita begitu bersemangat dengan Selawat Perdana?

Saya tak ingat bila mulanya. Tapi sekarang setiap  awal tahun Hijrah  ada  pembacaan doa akhir tahun dan doa awal tahun di masjid negara. UMNO pula mengadakan upacara bacaan yasin dan tahlil setiap tahun bersempena dengan tarikh penubuhan parti itu di tempat yang sama.

Ini semua  upacara biasa yang dilakukan oleh umat Islam di negara ini. Pemimpin UMNO dan kerajaan nampaknya  begitu bersemangat melaksanakan upacara-upara ini.

Dalam setahun dua terakhir ini ada pula upacara Selawat Perdana (dengan tema Cinta Allah dan Cinta Rasul) yang dibawa masuk dari Indonesia.  Upacara ini  sudah diadakan di Alor Setar, Johor Baharu,  Kuantan,   Tanjung Karang, Putrajaya dan lain-lain. Sambutan orang ramai, termasuk anak-anak muda, nampaknya begitu hebat. Malah pemimpin negara seperti PM dan Timbalan PM pun  begitu bersemangat mengikuti upacara yang diadakan di Putrajaya.

Sudah tentu tidak ada sesiapa yang akan mengatakan  upacara Selawat Perdana itu tidak bagus. Akan tetapi, apabila upacara-upacara seperti ini terlalu banyak diadakan dan dilaksanakan secara besar-besaran dengan sambutan  yang besar pula, bukan tidak mungkin  ada kesan negatifnya. Upacara itu  sebenarnya boleh juga   digunakan, walaupun secara tidak langsung, oleh orang-orang yang ingin supaya  rakyat ramai   melupakan atau tidak mengutamakan  agenda lain yang lebih besar yang patut juga dilaksanakan, seperti melaksanakan hukum Islam dan menegakkan negara Islam.

Bagi pemimpin UMNO dan kerajaan  yang  tidak berminat dengan hukum Islam dan  penubuhan  negara  Islam, berkembangnya  upacara  Selawat Perdana  ini sudah  tentu  menggembirakan mereka, kerana  apabila rakyat terlupa atau tidak mengutamakan  hukum Islam dan penegakan negara  Islam , maka  pemimpin berkenaan  pun tidak merasa terdesak untuk melaksanakan hukum Islam  dan menegakkan negara Islam dalam waktu terdekat

Dengan perkataan lain, walaupun upacara Selawat Perdana ini satu upacara  yang bagus, tetapi ia  mungkin boleh digunakan untuk menghalang atau melambatkan pencapaian satu matlamat lain yang lebih bagus dan mungkin lebih penting..


Sunday, November 2, 2014

Azmin menyukarkan BN menawan Selangor

Ada orang berpendapat bahawa BN mungkin  akan lebih  sukar menawan Selangor setelah jawatan MB negeri itu bertukar tangan daripada Khalid kepada Azmin.

Walaupun hal itu satu kemungkinan saja, tapi saya kira kemungkinan itu memang ada dan  mungkin besar pula.

Semua orang saya kira  tahu bahawa  walaupun  Khalid seorang yang  pandai dalam ekonomi, tapi dia bukanlah  orang yang pandai dalam politik. Bercakap pun dia gagap. Dan saya kira dia memang tak sesuai langsung menjadi orang politik.

Azmin jelas berbeza daripada Khalid. Azmin seorang ahli politik yang berpengalaman. Baru beberapa hari saja menjadi MB, kita tahu dia memang sesuai memang jawatan itu. Sebagai ahli poliik jelas dia lebih bijak dan berkarisma dari Khalid.

Mungkin dia sudah lama merancang bahawa  dia hendak meniru gerak langkah Jokowi, Presiden Indonesia. Dia mahu banyak  turun padang dan  tidak menumpukan masa di pejabat saja,.

Ini jelas langkah Amin yang smart. Gerak langkahnya mungkin akan lebih menyerlah. Dia akan menjadi tokoh politik yung popular dan diminati ramai.

Memang besar kemungkinan pelantikan Azmin sebagai MB akan lebih menyukarkan BN menawan  balik  negeri  Selangor dan   dengan itu BN akan terus jadi pembangkang di negeri itu..

Saturday, November 1, 2014

Selangor jatuh ke tangan PR kerana kesalahan kerajaan BN

Najib letih dan malu kerana di Selangor   UMNO/BN jadi pembangkang. Akan tetapi, antara  faktor kejatuhan Selangor ke tangan  Pakatan Rakyat (PR) adalah kesalahan kerajaan  BN juga.

Beberapa tahun yang lalu di Selangor banyak kawasan DUN  yang merupakan kawasan  majoriti Melayu. Akan tetapi,  untuk mengekang pengaruh PAS kawasan itu telah dipecahkan dan dijadikan kawasan bercampur.

Pada masa itu mungkin diandaikan bahawa di kawasan bercampur itu calon UMNO/BN  akan mendapat sokongan daripada pengundi daripada  ketiga-tiga kaum..

Akan tetapi, mulai pilihan raya 2008 keadaan sudah berubah. Di kawasan yang bercampur itu banyak pengundi bukan Melayu mengundi calon  PR  dan tidak lagi mengundi calon UMNO/BN.  Pengundi Melayu  pula hanya sebahagian yang masih  mengundi calon UMNO/BN. Sebahagian lagi, malah yang lebih banyak lagi,  mengundi calon PKR juga.

Dengan itu, calon UMNO/BN kalah, dan Selangor jatuh ke tangan PR kerana kesalahan  kerajaan  BN sendiri!

Wednesday, October 29, 2014

Nasib setinggan Melayu di Kuala Lumpur dan Selangor

Dalam tahun 1970-an dan 1980-an dahulu banyak sekali setinggan Melayu di Kuala Lumpur. dan Selangor.Kebanyakannya ialah orang-orang  kampung yang berpindah ke bandar kerana dorongan DEB yang mahu membandarkan orang-orang Melayu. Mereka membuka tanah kerajaan yang  ketika itu  masih  merupakan tanah kosong atau  kawasan hutan.

Sebahagian daripada mereka ada yang  bernasib baik. Mereka diberi hak milik  tanah yang mereka duduki. Dengan itu, mereka menduduki perkampungan itu sebagai  penduduk tetap dan bukan lagi sebagai setinggan. Akan tetapi,   lebih ramai yang tidak  mendapat hak milik tanah  yang mereka diami, dan terus tinggal di situ sebagai setinggan.

Walaupun mereka tinggal di sesebuah perkampungan sebagai setinggan, tetapi secara beransur-ansur kampung mereka  diberi kemudahan air paip dan  api letrik. Jadi agak selesa juga mereka tinggal di situ.

Namun, nasib setinggan tidak selalu cerah. Dari semasa ke semasa ada tanah yang mereka duduki diambil oleh kerajaan atau  dibeli oleh pihak swasta. Mereka terpaksa berpindah  atau dipaksa berpindah,  tapi pada mulanya selalu diberi pampasan yang berpatutan.

Pada  masa Khir Toyo menjadi Selangor,  kerajaan negeri menjalankan dasar "setinggan sifar". Kawasan setinggan semakin banyak yang  dibeli oleh pihak swasta. Maka banyaklah  setinggan yang dipaksa berpindah ke rumah murah yang dibina  oleh kerajaan. Namun, nasib mereka  masih agak baik,  kerana  mereka umumnya diberi pampasan dan dapat tinggal di rumah yang agak murah.

Sekarang kampung setinggan di Selangor dan Kuala Lumpur   sudah hampir habis, khasnya yang besar-besar. Jika letaknya di pusat bandar, sudah tentu kawasan itu dibeli  dan akan dimajukan oleh pemodal besar.

Tidak ada sesiapa yang boleh mempertahankan kedudukan  setinggan di situ, kerana  mereka bukan pemilik sah tanah yang mereka diami. Mereka terpaksa atau dipaksa pindah oleh pihak yang berkuasa, kerana pihak yang berkuasa adalah penganut dasar pembangunan ala kapitalis. Di bawah dasar itu, kawasan yang berharga di pusat bandar mesti dibangunkan oleh pemodal yang mampu  mendirikan bangunan pencakar langit   dan bukan lagi dipenuhi dengan rumah setinggan.

Inilah nasib setinggan di Kampung Chubadak Tambahan  yang  terpaksa berpindah dari kampung yang mereka teroka dan mereka  diami selama lebih 40 tahun!

Tuesday, October 28, 2014

Pendatang dari Indonesia: Jangan Datang Secara Haram

Oleh kerana  pada zaman penjajahan dahulu,  orang-orang dari Indonesia bebas merantau ke  Tanah Melayu tanpa apa-apa  sekatan,  maka dalam tahun-tahun-tahun  kebelakangn ini banyak sekali orang dari Indonesia  yang datang ke negara ini tanpa melalui saluran yang sah.

Mereka tahu di Indonesia dan  di Malaysia kini ada undang-undang imigresen  yang  memestikan mereka  datang ke negara ini melalui saluran yang sah. Akan tetapi,  mereka telah melanggar undang-undang itu dengan masuk secara haram.

Biasanya mereka  masuk melalui jalan laut dengan menaiki tongkang atau motorbot, dan mendarat di tempat-tempat  tertentu di Johor, Selangor dan  negeri lain, yang  sudah menjadi pengkalan untuk  pendaratan  secara haram.

Di Indonesia dan di Malaysia ada orang-orang yang dipanggil Tekong yang menolong menguruskan kemasukan mereka ke negara ini.

Kemasukan orang-orang dari Indonesia  secara haram ini boleh dianggap sebagai lanjutan dari tradisi merantau yang bebas, yang tidak ada apa-apa sekatan, yang boleh dilakukan oleh orang-orang  dari Indonesia pada masa yang lalu.

Namun,  kini keadaan sudah berubah. Indonesia dan Malaysia sudah menjadi negara merdeka yang  terpisah, yang mempunyai undang-undang imigresen masing-masing.  Jadi mereka tidak lagi bebas datang ke negara ini seperti  yang boleh dilakukan pada zaman pra-merdeka.

Oleh yang demikian, wajarlah orang-orang dari Indonesia datang ke negara ini secara legal atau mengikut undang-undang dan saluran yang sah. Jika mereka  datang secara haram,mereka dipanggil pendatang haram  dan boleh ditangkap dan dipenjarakan  atau dikurung di tempat tahanan sebelum dihantar pulang ke Indonesia,