Saya tak ingat bila mulanya. Tapi sekarang setiap awal tahun Hijrah ada pembacaan doa akhir tahun dan doa awal tahun di masjid negara. UMNO pula mengadakan upacara bacaan yasin dan tahlil setiap tahun bersempena dengan tarikh penubuhan parti itu di tempat yang sama.
Ini semua upacara biasa yang dilakukan oleh umat Islam di negara ini. Pemimpin UMNO dan kerajaan nampaknya begitu bersemangat melaksanakan upacara-upara ini.
Dalam setahun dua terakhir ini ada pula upacara Selawat Perdana (dengan tema Cinta Allah dan Cinta Rasul) yang dibawa masuk dari Indonesia. Upacara ini sudah diadakan di Alor Setar, Johor Baharu, Kuantan, Tanjung Karang, Putrajaya dan lain-lain. Sambutan orang ramai, termasuk anak-anak muda, nampaknya begitu hebat. Malah pemimpin negara seperti PM dan Timbalan PM pun begitu bersemangat mengikuti upacara yang diadakan di Putrajaya.
Sudah tentu tidak ada sesiapa yang akan mengatakan upacara Selawat Perdana itu tidak bagus. Akan tetapi, apabila upacara-upacara seperti ini terlalu banyak diadakan dan dilaksanakan secara besar-besaran dengan sambutan yang besar pula, bukan tidak mungkin ada kesan negatifnya. Upacara itu sebenarnya boleh juga digunakan, walaupun secara tidak langsung, oleh orang-orang yang ingin supaya rakyat ramai melupakan atau tidak mengutamakan agenda lain yang lebih besar yang patut juga dilaksanakan, seperti melaksanakan hukum Islam dan menegakkan negara Islam.
Bagi pemimpin UMNO dan kerajaan yang tidak berminat dengan hukum Islam dan penubuhan negara Islam, berkembangnya upacara Selawat Perdana ini sudah tentu menggembirakan mereka, kerana apabila rakyat terlupa atau tidak mengutamakan hukum Islam dan penegakan negara Islam , maka pemimpin berkenaan pun tidak merasa terdesak untuk melaksanakan hukum Islam dan menegakkan negara Islam dalam waktu terdekat
Dengan perkataan lain, walaupun upacara Selawat Perdana ini satu upacara yang bagus, tetapi ia mungkin boleh digunakan untuk menghalang atau melambatkan pencapaian satu matlamat lain yang lebih bagus dan mungkin lebih penting..
No comments:
Post a Comment