Kira-kira 15 tahun yang lalu saya membuat kajian di sebuah kampung di daerah PerakTengah, Perak, tidak jauh dari pekan Kampung Gajah dan Kampung Pasir Salak.
Sambil membuat kajian itu, saya mengambil kesempatan melawat beberapa buah kampung lain yang berhampiran di mana terdapat makam beberapa orang Sultan Perak. Saya dapati makam-makam itu berada dalam keadaan terbiar dan dalam semak samun. Jadi saya melihatnya dari jauh saja dan tidak menghampirinya.
Baharu-baharu ini saya membaca blog Catatan Si Merah Silu di mana dalam salah satu catatannya beliau menyatakan telah melakukan lawatan ke makam salah seorang Sultan Perak, juga di daerah Perak Tengah, mungkin tidak jauh dari makam-makam yang saya lihat dahulu.
Apa yang memeranjatkan saya, makam yang dikunjungi oleh beliau juga masih berada dalam keadaan terbiar dalam kawasan semak samun.
Dalam hubungan ini saya rasa saya wajar menarik perhatian pihak-pihak yang berkenaan.
Mengapakah tidak ada sesiapa yang teringat untuk menjaga dan memelihara makam-makam itu dengan sebaik-baiknya?
Saya rasa sangatlah tidak molek makam-makam itu dibiarkan dalam kawasan semak samun seperti itu.
Sekiranya makam-makam itu dijaga dan diberi perhiasaan yang seperlunya, tidakkah mungkin makam-makam itu menjadi satu tarikan pelancung? Letaknya pun tidaklah begitu jauh dari Pasir Salak, tempat Birch dibunuh, yang rasanya pernah dipromosikan sebagai salah tempat pelancongan sejarah di Perak?
Sejarah yang dilupakan petanda rosaknya suatu bangsa ...
ReplyDelete