Mahathir sudah beberapa kali menyatakan bahawa di Selangor UMNO begitu sukar untuk memilih seorang MB yang sesuai.
Beliau tentu teringat pengalamannya masa lalu memilih seorang muda untuk menjadi MB Selangor.Tapi MB muda itupun rupanya bukanlah orang yang sesuai untuk memegang jawatan itu. Kelemahannya banyak. Tak lama dulu dia pun sudah dihukum oleh mahkamah.
Mahathir berulang kali menyatakan hal ini dalam kaitanya dengan keengganan UMNO Selangor untuk menerima orang-orang yang berkaliber dan berpotensi untuk menjadi pemimpin yang baik memasuki parti itu ataupun mencantas orang-orang yang seperti itu.
Beliau tidak memberi contoh yang jelas. Tapi saya teringat beberapa kes yang menyokong pendapat beliau.
Beberapa puluh tahun yang lalu, ketika belum ramai orang yang berkelulusan universiti memasuki parti itu, ada seorang guru siswazah masuk menjadi ahli UMNO di Sabak Bernam. Beliau agaknya diterima menjadi ahli jika sekadar menjadi ahli biasa saja. Akan tetapi, apabila beliau menawarkan diri untuk bertanding sebagai salah seorang AJK Bahagian, dia dengan serta merta ditukarkan ke tempat lain. Ketua UMNO Sabak Bernam masa itu ialah seorang Datuk yang hanya berkelulusan Darjah 5 Sekolah Melayu , dan barangkali bimbang kedudukannya akan tergugat jika guru siswazah itu mencabar kedudukannya.
Beberapa tahun yang lalu, akhbar memberitakan seorang Pakar Motivasi dan bekas pensyarah UPM memohon menjadi ahli di sebuah cawangan UMNO di kawasan Serdang. Permohonannya ditolak tanpa dinyatakan sebab-sebabnya. Akan tetapi, kita boleh menduga bahawa pemimpin UMNO di kawasan berkenaan menyekat kemasukan Pakar Motivasi itu,kerana mungkin bimbang Pakar Motivasi itu akan mencabar kedudukannya.
Jadi kalau UMNO Selangor mahu berubah sebagaimana yang disarankan oleh Najib, UMNO negeri itu memang wajar sekali membukakan pintunya untuk dimasuki oleh golongan profesional dan golongan berijazah di negeri itu. Hanya dengan itu barangkali kita boleh mengharapkan di negeri itu akan muncul seorang MB yang mempunyai kaliber sekurang-kurangnya seperti Dato' Harun .
No comments:
Post a Comment