Berapakah jumlah buruh asing di negara ini? Maklumat dari sebuah kementerian menyatakan lebih 6 juta orang. Walaupun maklumat ini diragukan oleh Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri (dalam temuramahnya dengan RTM 1 pada 12/11/2014), tetapi saya kira jumlah mereka memang ramai, kalaupun data itu tidak tepat.
Pada tahun 1970-an dan 1980-an dahulu kebanyakan buruh asing adalah datang dari Indonesia, dan jumlah mereka pada masa itu (yang sah dan yang haram) dianggarkan kira-kira 3 juta orang. Pada masa ini buruh asing datang dari pelbagai negara dan bekerja secara sah atau secara haram di pelbagai sektor. Oleh itu jumlah mereka memang mungkin sekali mencapai 6 juta orang.
Satu perkara penting yang disebut oleh Zahid Hamidi dalam temu ramahnya itu ialah kebanyakan buruh asing datang ke negara ini secara sah. Akan tetapi mereka bertukar menjadi pendatang haram, kerana agensi yang membawa mereka masuk atau majikan mereka tidak mengambilkan permit kerja, ataupun mereka terus tinggal di negara ini setelah kontrak kerja mereka berakhir.
Dalam hal ini, dalam temuramah dengan RTM 1 itu, jelas sekali Zahid membayangkan kehampaannya kerana pihak kerajaan seolah-olah tidak mampu menangani masalah pendatang haram ini secara tuntas. Tindakan memburu dan menangkap mereka katanya dilakukan secara berterusan, tapi masalah ini seolah-olahnya tidak ada habisnya.
Beliau ada menyebut bahawa di sebuah negara di Timor Tengah di mana penduduknya hanya 1 juta , tetapi buruh asingnya 6 juta orang. Namun, buruh asing di negara itu dapat diuruskan secara sah dengan berkesan, iaitu mereka datang secara sah, dan bila cukup tempoh, mereka dikembalikan ke negara mereka secara sah juga. Tapi mengapa di Malaysia hal ini tidak boleh dilakukan?
Pada satu peringkat, saya lihat Zahid kelihatan seperti orang yang sudah berputus asa. Katanya kita mungkin hanya boleh mengatasi masalah pendatang haram ini jika kita mahu "mengubah sikap". Tak jelas apa maksudnya. Tapi mungkin dia mengharapkan orang tempatan mahu melakukan kerja-kerja yang dilakukan oleh buruh asing. Dengan itu, buruh asing tidak diperlukan lagi bekerja di negara ini. '
Akan tetapi, saya rasa masalahnya tidak semudah itu, kerana masalah buruh asing dan pendatang haram ini sudah begitu kompleks.
Dalam hal ini sayang sekali Zahid tidak menyebut masalah rasuah yang mungkin melibatkan agen pembawa masuk pendatang asing, pegawai kerajaan di pelbagai agensi dan peringkat dan mungkin juga kedutaan asing yang tertentu.
Memang kewujudan masalah rasuah ini sukar dibuktikan. Kerana itu masalah pendatang haram ini mungkin akan terus wujud dan berlanjutan.
No comments:
Post a Comment