Beberapa tahun yang lalu saya berjumpa dengan beberapa orang pelajar Indonesia yang sedang belajar di UKM. Entah bagaimana, salah seorang pelajar lelaki yang berasal dari Jawa menyatakan kemarahannya kerana orang-orang Indonesia yang berada di Malaysia dipanggil "Indon".
Ketika itu saya sedang membuat kajian tentang orang-orang Indonesia yang bekerja di Malaysia dan memerlukan maklumat dan data daripada mereka. Jadi kemarahan pelajar itu tidak saya jawab atau beri apa-apa maklum balas.
Baru-baru ini di facebook saya jumpai posting seorang pelayar dari Indonesia yang juga menunjukkan kemarahannya kerana orang Indonesia dipanggil Indon.
Dari kenyataan pelajar dari Indonesia dan pelayar di facebook itu, saya memahami bahawa mereka tidak suka dipanggil Indon, kerana panggilan Indon itu mereka anggap sebagai satu penghinaan terhadap orang-orang Indonesia.
Bagaimanapun bagi saya, orang Malaysia menggunakan panggilan Indon itu bukan untuk menghina orang Indonesia. Mereka menggunakan panggilan Indon untuk orang Indonesia sebagaimana mereka menggunakan panggilan Bangla kepada orang-orang yang berasal dari Bangladesh.
Jadi panggilan Indon dan Bangla itu adalah panggilan yang neutral dan tidak dimaksudkan untuk menghina orang-orang Indonesia dan Bangladesh yang berada di negara ini.
Bagaimanapun, orang-orang Indonesia itu tentu sedar bahawa kebanyakan orang Indonesia datang ke negara ini untuk bekerja sebagai kuli. Sebagai kuli tentu mereka tidak dipandang tinggi. Akan tetapi, orang Malaysia tetap menghormati mereka dan mengakui sumbangan mereka terhadap pembangunan negara ini.
Jadi saya fikir tidak ada salahnya orang Indonesia yang tinggal di negara ini terus dipanggil Indon. Indon adalah ringkasan dari Indonesia dan bermakna orang Indonesia.
No comments:
Post a Comment