Dalam tahun 1970-an dan 1980-an dahulu banyak sekali setinggan Melayu di Kuala Lumpur. dan Selangor.Kebanyakannya ialah orang-orang kampung yang berpindah ke bandar kerana dorongan DEB yang mahu membandarkan orang-orang Melayu. Mereka membuka tanah kerajaan yang ketika itu masih merupakan tanah kosong atau kawasan hutan.
Sebahagian daripada mereka ada yang bernasib baik. Mereka diberi hak milik tanah yang mereka duduki. Dengan itu, mereka menduduki perkampungan itu sebagai penduduk tetap dan bukan lagi sebagai setinggan. Akan tetapi, lebih ramai yang tidak mendapat hak milik tanah yang mereka diami, dan terus tinggal di situ sebagai setinggan.
Walaupun mereka tinggal di sesebuah perkampungan sebagai setinggan, tetapi secara beransur-ansur kampung mereka diberi kemudahan air paip dan api letrik. Jadi agak selesa juga mereka tinggal di situ.
Namun, nasib setinggan tidak selalu cerah. Dari semasa ke semasa ada tanah yang mereka duduki diambil oleh kerajaan atau dibeli oleh pihak swasta. Mereka terpaksa berpindah atau dipaksa berpindah, tapi pada mulanya selalu diberi pampasan yang berpatutan.
Pada masa Khir Toyo menjadi Selangor, kerajaan negeri menjalankan dasar "setinggan sifar". Kawasan setinggan semakin banyak yang dibeli oleh pihak swasta. Maka banyaklah setinggan yang dipaksa berpindah ke rumah murah yang dibina oleh kerajaan. Namun, nasib mereka masih agak baik, kerana mereka umumnya diberi pampasan dan dapat tinggal di rumah yang agak murah.
Sekarang kampung setinggan di Selangor dan Kuala Lumpur sudah hampir habis, khasnya yang besar-besar. Jika letaknya di pusat bandar, sudah tentu kawasan itu dibeli dan akan dimajukan oleh pemodal besar.
Tidak ada sesiapa yang boleh mempertahankan kedudukan setinggan di situ, kerana mereka bukan pemilik sah tanah yang mereka diami. Mereka terpaksa atau dipaksa pindah oleh pihak yang berkuasa, kerana pihak yang berkuasa adalah penganut dasar pembangunan ala kapitalis. Di bawah dasar itu, kawasan yang berharga di pusat bandar mesti dibangunkan oleh pemodal yang mampu mendirikan bangunan pencakar langit dan bukan lagi dipenuhi dengan rumah setinggan.
Inilah nasib setinggan di Kampung Chubadak Tambahan yang terpaksa berpindah dari kampung yang mereka teroka dan mereka diami selama lebih 40 tahun!
No comments:
Post a Comment