Sebelum Indonesia dijajah oleh Belanda dan Malaysia dijajah oleh Inggeris, kawasan kedua-dua negara ini disebut Nusantara atau Alam Melayu. Penduduknya adalah bangsa serumpun, iaitu rumpun Melayu, walaupun mereka terbahagi kepada pelbagai bangsa.
Di Alam Melayu pernah wujud kerajaan besar, seperti Palembang di Sumatera dan Majapahit di Jawa. Akan tetapi Palembang dan Majapahit adalah sebahagian daripada Nusantara atau Alam Melayu.
Jadi jika penduduk Alam Melayu berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau dari satu pulau ke satu pulau pada masa dahulu, misalnya jika orang dari Pulau Sumatera berpindah ke Tanah Melayu ( ke negeri Melaka atau Negeri Sembilan, misalnya) mereka masih bermobiliti dalam satu wilayah budaya yang sama. Tidak timbul mereka menjadi pendatang jika mereka berbuat demikian.
Sekarang memang telah wujud dua negara -- Indonesia dan Malaysia. Dan penduduk kedua-dua negara sudah tidak bebas lagi berkunjung ke negara lain seperti dahulu. Dengan itu, orang Jawa, Madura atau Bugis dari Indonesia boleh disebut pendatang jika mereka berhijrah ke Malaysia pada masa kini.
Akan tetapi, tidak demikian halnya orang-orang dari Indonesia yang berpindah ke Malaysia pada masa dahulu, iaitu sebelum wujudnya negara Indonesia dan Malaysia. Mereka bukan pendatang, kerana mereka berpindah di wilayah budaya Alam Melayu atau Nusantara yang merupakan tanah air mereka ,sebelum wujudnya negara Indonesia dan Malaysia.
Dengan demikian, anak cucu mereka, atau keturunan orang-orang yang berhijrah dari Indonesia sebelum wujudnya negara Indonesia pada tahun 1945 bukanlah pendatang. Mereka keturunan rumpun Melayu yang berpindah di tanah air mereka sendiri, Nusantara atau Alam Melayu.
No comments:
Post a Comment