Saya memang tidak berminat dengan anjing. Apalagi di sekitar rumah saya banyak anjing liar atau anjing tidak bertuan yang berkeliaran dan berak bersepah-sepah di sana sini. Ketika saya hendak pergi ke surau dengan berjalan kaki pula,kadang-kadang ada anjing liar itu yang menyalak ke arah saya, walaupun dia tidak berani mendekat.
Oleh itu, apabila baru-baru ini ada kempen yang dilancarkan oleh puak-puak tertentu untuk menggalakkan orang ramai menyentuh anjing sudah tentu saya juga tidak berminat.
Bagaimanapun, saya berminat dengan isu ini apabila kemudian banyak pula komen dan tanggapan daripada tokoh-tokoh dan pihak yang berkuasa agama. Komen mereka umumnya tentu saja sangat negatif. Mengikut mazhab Shafie yang menjadi pegangan mereka, menyentuh anjing adalah haram dan pihak-pihak yang menganjurkan kempen itu haruslah bertaubat.
Di samping itu, ada juga yang mengaitkan kempen menyentuh anjing itu dengan agenda golongan yang dikatakan mahu menyebarkan fahaman Islam liberal dan pluralisme di negara ini. Entah betul entah tidak, hal itu perlu penelitian dan penyiasatan lebih lanjut.
Setakat ini, di negara kita,setahu saya, tidak ada orang-orang yang mengaku sebagai Islam liberal. Ini barangkali kerana di negara kita Islam liberal dianggap "sesat" dan masih ditakuti seperti hantu.
Bagaimanapun, saya kira selagi ulama kira bersikap jumud dan tertutup, dan hanya berpegang kepada Mazhab Shafie, penentangan daripada pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan hal itu akan tetap ada dan sentiasa ada. Dan Islam Liberal adalah "fahaman tandingan" kepada fahaman agama yang jumud dan tertutup itu.
No comments:
Post a Comment