Ketika orang Cina dan India datang ke Tanah Melayu dan Singapura (atau disebut juga Malaya ketika itu ) pada abad ke-19, di negara ini sudah ada sistem politik Melayu yang mantap, sudah ada raja dan pemerintah Melayu.
Negara ini juga dikenali sebagai Tanah Melayu atau negeri Melayu.
Apabila orang-orang dari seberang (dari Sumatera, Jawa, Kalimantan dll) datang ke Tanah Melayu, mereka diterima oleh Inggeris yang menjajah Tanah Melayu pada masa itu sebagai sebahagian orang Melayu, dan orang-orang itu diterima oleh raja-raja Melayu sebagai rakyat negeri mereka. Sebabnya mereka datang dari wilayah budaya yang sama, iaitu Alam Melayu atau Nusantara, dan mereka memang merupakan satu bangsa yang dianggap serumpun.
Orang-orang Cina dan India pula pada masa itu datang ke Tanah Melayu untuk mencari makan, dan mereka pada umumnya memang belum mahu menjadi penduduk tetap di negara ini.
Sebagai pendatang, mereka tentu mengiktiraf kedudukan dan kedaulatan raja-raja Melayu, walaupun mereka bukan rakyat raja-raja berkenaan. Ketika itu orang Melayulah yang menjadi tuan dan raja yang disembah oleh semua penduduk negara ini, termasuk orang-orang yang datang dari luar Alam Melayu.
Oleh itu jika orang-orang yang datang dari luar Alam Melayu itu dianggap sebagai pendatang, maka itu memang merupakan fakta sejarah yang tidak perlu dinafikan atau dimungkiri.
No comments:
Post a Comment