Dalam tulisan terdahulu saya sudah tegaskan bahawa orang Melayu bukan pendatang di negara ini, walaupun datuk nenek mereka dahulu berhijrah dari negara yang kini dikenali sebagai Indonesia. Sebabnya ialah sebelum Indonesia wujud sebagai negara yang merdeka pada tahun 1945, negara Indonesia dan Malaysia belum wujud sebagai negara yang berasingan. Yang wujud pada masa itu adalah sebuah wilayah budaya yang dikenali sebagai Alam Melayu atau Nusantara, walaupun telah dibelahbagikan oleh penjajah Inggeris dan Belanda. Namun, penduduk Alam Melayu adalah satu bangsa serumpun, iaitu Rumpun Melayu. Jadi jika orang Minangkabu, Jawa atau Bugis berhijrah ke Tanah Melayu, mereka adalah berpindah dalam satu wilayah budaya yang sama, samalah seperti orang Cina yang berpindah dari Shanghai ke Taiwan, atau orang India berpindah dari Madras ke Bombay.
Yang lebih penting lagi adalah sejak abad ke-15 orang-orang dari Rumpun Melayu, yang berasal dari kepulauan lain di Alam Melayu itu, sama ada orang "Melayu", Minangkabau atau Bugis, telah membentuk satu struktur politik yang mantap, dan telah menjadi raja atau pemerintah di Melaka, Pahang, Johor, Perak dan lain-lain. Dengan itu, di Tanah Melayu yang terdiri daripada beberapa negeri itu telah wujud "negeri Melayu" dengan raja dan pemerintah Melayu.
Dalam hubungan ini,perlu dijelaskan bahawa Orang Asli memang penduduk asal negeri ini. Akan tetapi, mereka tidak pernah membentuk suatu struktur politik yang boleh dianggap sebagai sebuah negeri, Tidak ada di antara mereka yang menjadi Raja atau Sultan. Tetapi sebaliknya mereka telah menjadi rakyat kepada raja-raja Melayu.
Orang Cina dan India memang jelas datang dari negara atau wilayah budaya yang lain di luar Alam Melayu. Mereka bukan bangsa serumpun dengan bangsa Melayu. Oleh itu, merekalah pendatang, dan bukan bangsa Melayu.
No comments:
Post a Comment