Sunday, February 19, 2012

Sutan Puasa dan pembukaan Kuala Lumpur

Sebagaimana yang diungkapkan oleh Prof. Khoo Kay Kim ( Utusan Malaysia, 18/2/2012) sebelum aktiviti perlombongan bijih dijalankan di Kuala Lumpur, orang-orang Mandailing telah membina penempatan di sekitar Sungai Gombak dan Sungai Klang, atau barangkali lebih tepat di pertemuan Sungai Gombak dan Sungai Klang.

Jadi Sutan Puasa yang berasal dari Sumatera dan menjadi ketua orang-orang Mandailing itu boleh dianggap sebagai orang yang mengetuai pembukaan Kuala Lumpur.

Di sekitar kawasan itu orang-orang Mandailing menjalankan aktiviti pertanian dan perdagangan.

Mengikut Prof.Khoo Kay Kim seterusnya, Sutan Puasa itu sendiri yang menjemput dua orang Cina, Hiu Siew dan rakannya Ah Sze Keledek dari Sungai Ujung berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengembangkan perniagaan.

Hiu Siew kemudiannya dilantik menjadi Kapitan Cina Kuala Lumpur yang pertama dengan sokongan Sutan Puasa yang merupakan orang kaya Mandailing ketika itu.

Malah pelantikan Yap Ah Loi sebagai Kapitan Cina Kuala Lumpur ketiga turut mendapat sokongan daripada Sutan Puasa, walaupun di kalangan orang Cina ada yang menentang pelantikan itu.

Menjelang akhir hayatnya Sutan Puasa dikatakan menetap di Kampung Rawa (Jalan Melayu sekarang) sebelum berpindah ke sebuah perkampungan Mandailing di Jalan Chow Kit.

Sutan Puasa dikatakan meninggal dunia pada tahun 1905 dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Jalan Ampang.

Perkampungan Mandailing di Jalan Chow Kit itu agaknya terus wujud sehingga tahun 1940-an atau beberapa tahun selepas itu.

Seorang anak saudara Sutan Puasa yang bernama Sutan Mengatas atau Jaafar Sutan Sinombar mempunyai sebuah rumah yang agak besar di alamat No.41, Jalan Chow Kit pada tahun 1926.

Kini di sekitar Jalan Chow Kit ada empat batang jalan yang bernama Lorong Haji Taib 1,2, 3 dan 4. Saya belum mendapat maklumat yang jelas siapa Haji Taib. Akan tetapi, saya kira beliau adalah ketua atau salah seorang ketua orang Mandailing di kawasan itu pada masa yang lalu.

1 comment:

  1. salam, nama sy hisham bin jalaludin bin mohd arif bin mahadi bin pendekar sutan. sy tinggal d bangi, umur 49th, moyang saya (mahadi) adalah keturunan mandaling dan tinggal di kg paya kajang (skrg rtm). sy ingin sgt tahu siapakh pendekar sutan. boleh kh tuan bantu.

    ReplyDelete