Saturday, December 31, 2011

Sekolah Tahfiz Taman Sri Langat, Kajang

Mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa di Taman Sri Langat, Hulu Langat, tidak jauh dari bandar Kajang, ada sebuah Sekolah Tahfiz yang sudah beroperasi agak lama juga, hampir 20 tahun.

Sekolah ini mempunyai sebuah asrama yang boleh memuatkan kira-kira 30 orang pelajar, terletak berhampiran surau Taman Sri Langat. Surau itu selalu ramai dengan kedatangan orang-orang Tabligh dan menjadi salah satu pusat kegiatan orang Tabligh Hulu Langat.

Sungguhpun sudah lama beroperasi, sekolah tahfiz ini tidak pernah berkembang menjadi sekolah yang besar. Di zaman jayanya sekolah ini hanya mempunyai kira-kira 30 orang pelajar dengan 2 orang guru.

Selepas itu, selama bertahun-tahun ia terus berjalan dengan seorang guru dengan bilangan murid antara 1o hingga 15 orang.

Walau bagaimanpun, sekolah tahfiz ini terletak di satu lokasi yang sangat baik. Ia terletak di bahagian dalam atau belakang Taman Sri Langat, berhampiran dengan sungai dan di kelilingi oleh pokok-pokok, antaranya pokok rambutan yang rimbun. Ia memang satu keadaan yang sesuai dan ideal untuk pelajar menghafal al-Quran.

Kini sekolah tahfiz ini sedang menghadapi kemorosotan murid, antara lain barangkali kerana tidak mempunyai guru yang cekap, berbakat dan berkebolehan.

Walau bagaimanapun, jawatankuasa surau Taman Sri Langat merangkap jawatankuasa sekolah tahfiz ini sedang berusaha untuk mengatasi masalah dan kelemahan ini.

Dengan demikian, adalah diharapkan ibu bapa yang mempunyai anak lelaki yang berumur 12 tahun ke atas, dan bercadang memasukkan anaknya ke sekolah tahfiz, boleh memilih sekolah ini sebagai tempat untuk menghantar anak mereka.

No comments:

Post a Comment