Tuesday, April 30, 2013

BN bukan pilihan

Saya sudah mengenali (dari jauh)  Mohd.Zaidi Md.Zain @ Zakaria, calon BN dan Shafie Ngah, calon PAS bagi kawasan DUN Bangi. Kedua-duanya berkelulusan undang-undang dan kedua-duanya adalah Peguam Syarie.

Kedua-dua calon adalah seimbang dan berkelayakan. Walaupun saya belum mengenali mereka dari dekat, barangkali tidaklah terlalu sukar untuk memilih salah seorang daripada mereka.

Namun, bagi saya, pilihan saya pada kali adalah antara parti, bukan antara calon. Bagi saya, Pakatan Rakyat (PR) wajar diberi peluang untuk terus memerintah Selangor. Oleh itu, pilihan saya tentu bukan calon BN.

Selama 5 tahun ini, pemerentahan PR barangkali memang banyak kelemahan. Apatah lagi mereka  sentiasa dikacau oleh BN. Dan memang benar sebelum ini mereka tidak ada pengalaman memerintah.

Namun, mereka wajar diberi peluang memerintah 5 lagi. Dengan itu, pengalaman mereka juga akan bertambah.

Friday, April 26, 2013

Pakatan Rakyat terus memerintah Selangor

Setelah dua  kali mengundi di  Semenyih, pilihan raya kali ini saya  akan mengundi di Kajang, di kawasan  Parlimen  Serdang dan DUN Bangi.

Kebetulan pada kali ini BN dan PR meletakkan calon baru untuk DUN Bangi.

Saya tidak kenal kedua-dua calon tersebut, dan belum pasti  akan mengundi siapa.

Namun, persoalannya  barangkali adakah kita mahu  PR  mengambilalih Putrajaya  ataupun mahu  BN  terus berkuasa? Dan adakah kita  mahu PR terus memerintah Selangor, atau mahu BN kembali mengambilalih pemerintahan Selangor?

Kalau kita mahu PR mengambilalih Putrajaya dan PR  terus memerintah Selangor, maka pilihan kita tentulah  calon PR, walaupun tidak mengenali mereka.

Wednesday, April 24, 2013

Wujudkan pembangkang yang kuat

Walaupun saya orang "atas pagar", bukan bererti saya tidak ada pendirian dan tidak boleh mengambil apa-apa pendirian.

Misalnya,  pada PRU 12    yang lalu, saya tentu tidak mungkin mengundi  kedua-dua parti  atau tidak memilih mana-mana parti.

Sebagai orang atas pagar, saya juga tentu mahu perubahan, dan bukan tidak peduli dengan perubahan.

Oleh itu, sekiranya dalam  PRU 13 ini  saya  mengundi di Gelang Patah, saya mungkin sekali akan mengundi Lim Kit Siang, dan bukan Ghani Othman.

Sebabnya?

Saya mahu  tokoh-tokoh besar seperti Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim, Haji Hadi  Awang,  Karpal Singh dll terus berada di Parlimen, walaupun BN terus menjadi pemerintah di peringkat Kerajaan Pusat.

Saya juga percaya negara ini mungkin lebih baik mempunyai pembangkang yang kuat daripada pembangkang yang lebih lemah.  Dengan adanya pembangkang yang kuat, kita boleh mengharapkan parti pemerintah akan lebih  telus, lebih terbuka, dan lebih memberi perhatian terhadap masalah rakyat!

Monday, April 22, 2013

Orang atas pagar

Cucu sulung saya bertanya pada isteri saya, "Nenek undi parti apa nanti?"
 Isteri saya menjawab,  "Tak boleh  beritahu.  Undi tu rahsia".

Saya menyampuk, " Nenek penyokong  tegar UMNO, tentu undi BN."

Anak-anak dan menantu saya  yang mendengarnya, ketawa.

"Cuba tanya, Atuk undi apa pula?"  seorang anak saya menyampuk, menunjukkan cakap  pada anaknya.

Cucu saya tidak bertanya. Tapi kalau dia bertanya,  saya akan jawab,  "Atuk orang atas pagar."

 Tentu ada parti yang saya pilih setiap pilihan raya. Tapi saya tidak terikat pada  parti tertentu, dan bukan penyokong tegar parti tertentu.

Pilihan raya yang lalu, saya tidak mengundi BN. Pilihan raya kali ini?

.