Thursday, January 24, 2013

Hospital Kerajaan Kekurangan Ubat?

Sejak tahun 2003, saya berulang alik ke hospital pakar  untuk menjalani rawatan buah pinggang saya yang  telah "rosak", 3 bulan atau empat bulan sekali. Pada mulanya saya ke Hospital Selayang, kemudian sejak empat tahun yang lalu saya ke Hospital Serdang.

Pada mulanya, selepas berjumpa doktor, saya biasanya diberi beberapa jenis ubat untuk 3 bulan atau empat bulan sekali, iaitu  untuk penggunaan sehingga  temu janji yang akan datang. Hal ini berjalan selama beberapa tahun.

Akan tetapi, sejak dua tahun yang lalu, Hospital Serdang agaknya  mula  "kekurangan" ubat. Jadi saya biasanya diberi ubat untuk sebulan sahaja, dan perlu datang ke hospital pada tiap-tiap bulan, walaupun saya berjumpa doktor empat bulan sekali.

Dua minggu yang lalu,  satu jenis ubat saya, iaitu ubat untuk kolestrol, agaknya semakin berkurangan. Jadi saya diberi ubat untuk dua minggu saja.

Semalam, selepas dua minggu,  saya ke hospital lagi. Rupanya  ubat untuk kolestrol   masih  berkurangan atau semakin berkurangan. Jadi saya diberi ubat  untuk seminggu saja, dan perlu ke hospital lagi pada minggu hadapan.

Hal ini tentunya menyusahkan saya dan orang-orang lain juga. Selain banyak menggunakan masa, sesiapa yang berkunjung ke Hospital Serdang  juga biasanya  akan menghadapi kesukaran untuk  parking  kereta.

Mengapa terjadi demikian, saya tidak tahu. Akan tetapi, saya kira   ini menunjukkan perkhidmatan  kesihatan di hospital kerajaan   ada masalah, dan mungkin menunjukkan kemerosotan. Adakah kerana wang kerajaan lebih banyak  digunakan untuk hal lain dan tidak cukup untuk Kementerian Kesihatan?

No comments:

Post a Comment