Monday, September 29, 2014

Adakah Wan Azizah perlu berkejar ke Kajang?

Sebuah bandar yang sungainya cetek dan longkangnya pula tersumbat dengan sampah sarap, tentu mudah mendapat banjir kilat jika hujan lebat. Demikianlah yang berlaku    terhadap bandar Kajang pada petang 29/9/2014.

Hujan  lebat bermula kira-kira pukul petang, banjir mungkin bermula pukul 5 petang dan air mula surat kira-kira pukul 6.30 petang. Jadi banjir kilat itu sebenarnya berlaku kira-kira 1 jam setengah sahaja.

Sekiranya ADUN Kajang tinggal di Kajang, dia mungkin boleh keluar rumah dan "turun padang" untuk melihat-lihat banjir tersebut.

Akan tetapi, Wan Azizah   ADUN Kajang setahu saya tidak tinggal di Kajang. Dia mungkin boleh berkejar ke Kajang, kalau dia mahu. Akan tetapi, adakah  itu terlalu perlu?

Yang lebih perlu saya  rasa ialah tindakan Majlis Perbandaran Kajang. Dalamkan  sungai dan bersihkan longkang daripada sampah sarap. Dengan itu, banjir kilat mungkin boleh dielakkan.

Tak kan Kajang banjir salah Wan Azizah

Hari ini hujan lebat dan pekan Kajang  telah dilanda banjir kilat. Sebabnya barangkali kerana  sungai berhampiran cetek atau tidak didalamkan , dan longkang  di bandar itu  pula  banyak yang dipenuhi sampah dan tersumbat.

Bandar Kajang di bawah pentadbiran Majlis Penbandaran  Kajang (MPKJ). Sepatutnya pihak  MPKJ-lah yang bertanggung jawab.

Takkan Kajang banjir kerana salah Wan Azizah.

Sunday, September 28, 2014

Undangan memberi syarahan di Kuala Tungkal

Semalam (27/9/2014) saya menerima undangan untuk memberi syarahan sempena hari konvokesyen sebuah sekolah tinggi (setaraf universiti) Islam di Kuala Tungkal pada 26 Oktober 2014 yang akan datang. Undangan ini merupakan satu penghormatan pada saya, walaupun saya faham saya diundang kerana saya seorang Banjar dan sekolah tinggi itu pun milik orang Banjar.

Namun, mengingatkan keadaan kesihatan  saya yang tidak begitu baik, saya terpaksa berfikir beberapa kali untuk pergi ke tempat yang  begitu jauh. Untuk pergi ke situ saya perlu pergi ke Batam terlebih dahulu, kemudian ke Jambi, sebelum pergi ke tempat berkenaan. Rasanya  tidak mudah untuk saya pergi ke situ.

Akhirnya dengan berat hati  saya  terpaksa menolak undangan itu.

Monday, September 22, 2014

Tahniah Azmin Ali

Telah rasmi sudah Azmin akan menjadi MB Selangor dan  akan mengangkat sumpah esok, Selasa, 23/9/2014.

PKR yang kecewa Wan Azizah tidak dilantik sebagai MB, nampaknya  terpaksa merestui pelantikan Azmin.

Saya kira agak sukar bagi  PKR mengambil pendirian yang  lain, kerana Azmin adalah orang No,2 dalam PKR dan mempunyai sokongan akar umbi yang kuat.

Khalid mudah dipecat, kerana dia tidak mempunyai sokongan akar  umbi yang kuat. Azmin mungkin tidak mudah diperlakukan  begitu.

Tahniah Azmin.

Friday, September 19, 2014

MB Selangor biarlah anak Selangor

Ada bayangan bahawa Wan Azizah tidak akan dilantik sebagai MB Selangor. Oleh itu PKR dikatakan mahu meminta menghadap Sultan, kerana mereka mahukan Wan Azizah juga jadi MB Selangor.

Sebagai anak Selangor, saya kurang bersetuju Wan Azizah menjadi MB Selangor, kerana dia bukan anak Selangor. Tidak adakah anak Selangor  yang layak dipertimbangkan menjadi MB Selangor?

Tidak ada negeri lain, kecuali Pulau Pinang, yang MB-nya atau KM-nya bukan anak negeri itu.

Selain itu, saya tidak melihat Wan Azizah sebagai seorang yang terlalu berkalibar. Dia menjadi Presiden PKR pun  kerana dia isteri Anwar  Ibrahim. Sekiranya dia bukan isteri Anwar Ibrahim, adakah kemungkinan dia akan dilantik memegang jawatan itu?

Thursday, September 18, 2014

Pemimpin tertinggi DAP dan PKR tidak lihatkan kematangan

Berbeza dari tahun-tahun sebelumnya, khasnya ketika hubungan antara PAS, DAP dan PKR begitu erat,  perasmian Perhubungan PAS oleh Presidennya  Haji Hadi Awang pada tahun ini tidak dihadiri oleh pemimpin tertnggi DAP dan PKR.

Hal ini tentu tidak menghairankan, kerana  isu penggantian MB Selangor telah menimbulkan perbezaan pendapat dan pendirian   serta pergeseran di kalangan parti-parti yang berkenaan, khasnya  antara PAS dengan DAP.

Kita barangkali boleh menganggap hubungan antara PAS di satu pihak dengan DAP dan PKR di satu pihak lagi  memang telah renggang,  walaupun mereka masih bersama dan belum mahu memecahkan perpaduan   antara mereka

Akan tetapi, hal ini juga menunjukkan pemimpin  tertinggi DAP dan PKR tidak memperlihatkan kematangan mereka . Sekirangya mereka ingin menunjukkan kematangan mereka , sepatutnya pada masa inilah pemimpin tertinggi DAP dan PKR patut hadir  menunjukkan muka menghadiri perasmian Perhimpunan Agung PAS.

Mungkin dengan menghadiri perasmian Perhimpunan Agung PAS itu perhubungan antara mereka dapat dirapatkan kembali, walaupun hanya di permukaan saja.

Azmin MB Selangor yang baru?

Siapakah yang akan dilantik oleh Istana sebagai MB Selangor yang baru?

Saya kira  Istana akan  memperlihatkan kebijaksanaannya  jika Azmin yang dilantik sebagai MB. Ini adalah kerana Azmin adalah Timbalan Presden PKR. Sekiranya Istana tidak mahu melantik Wan Azizah sebagai MB, maka orang yang patut dilantik memegang jawatan itu tentulah Azmin, yang kedudukannnya No, 2 dalam PKR.

Adakah PKR dan DAP  masih bertegas mahukan Wan Azizah dan bukan orang lain sebagai MB?

Saya tidak pasti. Akan tetapi, mereka tentu  tidak wajar menolak Azmin yang merupakan tokoh penting dalam PKR. Saya kira adalah untuk kebaikan rakyat  Selangor dan mereka  juga, jika mereka menerima dan menyokong Azmin sebagai MB Selangor yang baru.

Monday, September 15, 2014

Menghadiri Persidangan Antarabangsa Hubungan Indonesia-Malaysia Ke-8 (PAHMI 8)

Pada 23 hingga 25 September 2014  yang akan datang, satu persidangan yang dinamakan   Persidangan  Antarabangsa Hubungan Indonesia-Malaysia Ke-8 (PAHMI 8) akan diadakan di Universitas Lancang Kuning, Pekanbaru,  Riau.

Saya berminat untuk menghadiri  persidangan ini terutamanya kerana ia diadakan di Pekanbaru  yang belum pernah saya kunjungi.Dengan menghadiri persidangan ini, saya harap dapat melihat-lihat kota Pekanbaru, termasuk membeli buku.

Saya akan hadir sebagai seorang pemakalah dengan membawakan makalah yang bertajuk "Penghijrahan, Kedudukan Ekonomi dan Kehidupan Sosial Orang Banjar di Malaysia".

Kebetulan di Pekanbaru ada bekas pelajar MA saya di UKM dahulu, yang kini telah menjadi seorang usahawan, Dr. M.Rawa El Amady.

Tanpa saya duga beliau telah menyatakan kesediaan untuk menunggu saya di lapangan terbang ketika saya sampai pada 22/9/2014 dan juga  telah membookingkan hotel untuk  tempat saya menginap. Kepada beliau saya ucapkan berbanyak terima kasih.

Sunday, September 14, 2014

Penduduk Kajang tidak gemar membaca?

Sebagai  penduduk bandar Kajang, saya merasakan  satu kekurangan yang serius di bandar ini ialah "ketiadaan kedai buku" . Ini bukan bermakna di bandar ini tidak ada kedai yang menjual buku. Ada memang ada. Di bandar ini ada sebuah kedai  buku dan alat tulis yang besar . Akan tetapi, kebanyakan buku yang dijual di situ ialah buku  teks sekolah! Di samping itu, di bandar ini memang ada kedai mamak yang sudah lama menjual pelbagai  novel cinta atau novel popular, di samping menjual akhbar dan majalah.

Yang saya maksudkan "ketiadaan kedai buku" ialah   tiadanya kedai buku  umum, yang menjual pelbagai buku, selain daripada buku teks sekolah dan novel cinta.

Adakah ketiadaan kedai  buku umum ini kerana penduduk Kajang tidak gemar membaca?

Pertubuhan Banjar Malaysia (PBM) sudah tak berduit?

Selama ini, selama tiga tahun berturut-turut PBM mengadakan jamuan dan perjumpaan hari raya untuk ahli-ahlinya secara percuma. Walaupun  jamun itu sederhana saja, ia dapat memberi peluang kepada ahli-ahlinya  untuk berjumpa dan membaharui silaturahim, walaupun hanya setahun sekali.

Akan tetapi kini, hari raya puasa sudah lama berlalu dan hari raya haji akan tiba  tidak lama lagi,   namun tidak terdengar PBM akan mengadakan perjumpaan  hari raya seperti pada tahun sebelumnya.

Saya tidak tahu mengapa PBM tidak mengadakan perjumpaan hari raya pada tahun ini. Adakah PBM sudah  kehabisan duit?

MB Selangor patut dilantik dari kalangan anak Selangor

Sejak MB  Selangor yang petama, yang dipilih melalui pilihan raya, semua MB Selangor  terdiri daripada anak Selangor.  Memang tidak semuanya merupakan tokoh yang  hebat  dan berkarisma, tapi itulah pilihan rakyat Selangor pada satu-satu masa.

Kini ada cadangan untuk melantik orang luar atau bukan anak Selangor sebagai MB Selangor. Kerana permainan politik, cadangan ini telah disokong oleh majoriti ADUN Selangor.

Akan tetapi, cadangan ini saya rasa  aga aneh. Bukan sahaja pada masa yang lalu semua MB Selangor terdiri daripada anak Selangor, pada masa ini semua MB dan Ketua Menteri  negeri lain, kecuali Pulau Pinang,  terdiri daripada anak negeri masing-masing.

Oleh yang demikian, saya rasa tidaklah begitu logik  MB Selangor  dilantik dari kalangan bukan anak Selangor. Selangor sebenarnya tidak kekurangan orang yang layak memegang jawatan itu, walaupun kedudukan mereka dalam DUN agaknya tidak begitu menyerlah.

MB Selangor patut dilantik dari kalangan anak  Selangor juga, seperti MB dan Ketua Menteri negeri-negeri yang lain.

Ubah Jalan Reko kepada Jalan Universiti

Sebatang jalan yang menghubungkan bandar Kajang  dengan UKM  kini diberi nama Jalan Reko. Saya tidak tahu bagaimana nama Jalan Reko ini boleh timbul dan sejak bila ia  digunakan.

Akan tetapi,  saya sudah berulang kali menyatakan dalam blog ini dan blog saya yang lain,  bahawa nama nama Jalan Reko itu salah, tidak bermakna dan   tidak jelas asal usulnya.

Jalan Reko sepatutnya dinamakan Jalan Rekoh. Ini kerana, pada masa dahulu, di kawasan  stesen LRT berhampiran UKM sekarang ada sebuah pekan bernama Rekoh. Jadi jalan yang menghubungkan Kajang dengan UKM, yang melalui stesen LRT itu sepatutnya diberi Jalan Rekoh, bukan Jalan Reko.

Tidak jauh dari stesen LRT itu ada sebuah anak sungai yang dahulu diberi nama Sungai Rekoh, walaupun papan tandanya mungkin sudah hilang.

Jadi nama Jalan Reko patut dibetulkan dan ditukar kepada Jalan Rekoh. Atau mungkin boleh juga diubah kepada Jalan Universiti, kerana ia menghubungkan bandar Kajang dengan sebuah universiti (UKM).

Haji Hadi sudah tukar fikiran?

Semalam saya baca berita bahawa Haji Hadi dikatakan mahu Khalid terus jadi MB Selangor, dan beliau akan memantaunya.

Pendirian beliau  ini logik, kerana beliau tidak mahu Azizah jadi MB Selangor

Hari ini Haji Hadi menafikan  berita itu. Dia kata dia tidak kata  begitu.  Pendiriannya yang sebenar ialah dia serahkan urusan memlih MB Selangor pada Sultan Selangor.

Adakah ini bermakna Haji Hadi sudah tukar fikiran atau tidak berani mempertahankan pendiriannya yang awal?

Tuesday, September 9, 2014

Azmin akan jadi MB?

Ada orang yang meramalkan bahawa Sultan Selangor akan melantik ADUN PAS untuk menjadi MB Selangor yang baru. Akan  tetapi,  beliau tentu  tidak akan disokong oleh  PKR dan DAP. Jadi  beliau  akan mencadangkan supaya DUN Selangor dibubarkan dan diadakan satu pilihan raya baru.

Dalam pilihan raya itu kononnya UMNO akan memberi peluang kepada PAS untuk mengekalkan kerusi yang dimilikinya sekarang. Selepas itu bolehlah dibentuk kerajaan campuran PAS dan UMNO.

Beliau tentunya tidak suka keadaan yang demikian akan berlaku.

Walau bagaimanapun, sebagai anak  Selangor,  saya tidak kisah parti  manakah yang akan memerintah Selangor selepas ini, asalkan dapat memerintah dengan baik. PR telah diberi peluang memerintah, tapi bukanlah bagus sangat.

Ada juga  ramalan terbaru bahawa  besar kemungkian Azmin yang akan dilantik menjadi MB Selangor yang baru. Ini pun tentunya baik juga, jika  Wan Azizah  mahu berundur dari  hasratnya  untuk menjadi MB. Dengan itu,  PR boleh terus memerintah  Selangor dan pilihanraya baru tidak perlu diadakan.

Sunday, September 7, 2014

Festival Budaya Pasar Terapung

Saya baru saja mengetahui bahawa Festival Budaya Pasar Terapung  di Banjarmasin tahun ini akan diadakan dari 18/9/2014 hingga 2014. Sebagai  orang Banjar dari Malaysia yang belum pernah melihat Festival itu, saya tentu saja ingin melihatnya. Tapi jarak yang jauh dan ongkos yang perlu ditanggung  tidak mengizinkan saya pergi ke Banjarmasin pada masa tersebut. Saya terpaksa menunggu Festival pada masa yang  akan datang, jika keadaan dan kewangan mengizinkan.

Friday, September 5, 2014

Selangor tidak kekurangan tokoh

Mengikut berita terakhir, Majlis Syura PAS tidak menyetujui nama Wan Azizah dan Azmin  dihantar kepada Istana Selangor sebagai calon MB Selangor yang baru. Oleh itu, Haji Hadi, Presiden PAS telah menghantar 3 nama kepada Istana, tetapi tidak termasuk  Wan Azizah dan  Azmin. Tiga nama itu dua daripada PKR ( Dr.Idris dan Dr. Yaakub Supari)  dan satu daripada PAS (Iskandar Abdul Samad).

Sekarang terpulang kepada Istana untuk memilih  siapa yang Istana berkenan untuk menjadi MB Selangor yang baru.

Sebagai anak Selangor, saya berpendapat, salah seorang daripada mereka adalah layak untuk menjadi MB Selangor. Selangor sebenarnya tidak kekurangan tokoh.

Thursday, September 4, 2014

Bayaran ibadat Qurban yang semakin mahal

Kira-kira dua minggu yang lalu, ketika bersembahyang Jumaat di surau Kajang Utama, saya dimaklumkan oleh Pengerusu Surau, bahawa  surau itu akan menyembelih 5 ekor lembu untuk  ibadat Qurban, dan satu bahagian ialah RM500.

Saya rasakan bayaran  itu agak mahal. Akan  tetapi, saya tidak merasa pelik, kerana surau itu biasanya setiap tahun memang mengenakan bayaran yang lebih mahal daripada surau-surau lain di sekitar Kajang.

Malah untuk menyertai bacaan tahlil berkelompok pada bulan puasa yang lalu pun surau itu mengenakan bayaran RM100 seorang bagi sesiapa yang mahu turut serta.

Dua hari yang lalu,  saya melihat papan kenyataan  di Surau Seri Langat, tempat saya biasanya bersembahyang Jemaah, Sudah ada  daftar nama  untuk mereka yang ingin menyertai ibadat Qurban.
Rupanya bayaran satu bahagian lebih mahal daripada Surau Kajang Utama, iaitu RM550.00

Saya pun tidak tahu nak turut serta atau tidak.

ADUN PAS jadi MB Selangor?

Isu pelantikan MB  Selangor mungkin boleh diselesaikan dengan mudah jika Istana dengan segera melantik Wan Azizah  memegang jawatan itu, setelah diketahui beliau mendapat sokongan majoriti, iaitu 30 daripada 56 orang ADUN Selangor.

Akan tetapi, masalah ini menjadi rumit, apabila pihak Istana meminta ketiga-tiga parti
dalam P R mencadangkan lebih daripad dua nama, dan seolah-olah tidak bersetuju melantik Wan Azizah menjadi MB.

Isu ini  menjadi rumit apabila PAS dikatakan menghantar nama EXCO parti itu sendiri, mungkin seorang, mungkin tiga orang.

Sekarang pihak Istana mungkin boleh memilih  ADUN PAS sebagai MB. Akan tetapi, adakah beliau mendapat sokongan daripada PKR dan  DAP? Adakah ADUN PAS itu boleh mendapat sokongan majoriti?

Jika kebuntuan ini berterusan, adakah  DUN Selangor perlu dibubarkan dan satu pilihan raya baru perlu diadakan?


Wednesday, September 3, 2014

MB Selangor milik Azizah?


Sehingga jam 6 petang ini (3/9/2014) kita tidak tahu siapa yang akan dipilih oleh Istana untuk menjadi MB Selangor yang baru, bagi menggantikan Khalid Ibrahim.

Bagaimanapun, kita tahu, sekurang-kurangnya 30 ADUN Selangor dari PKR, DAP dan PAS mahukan Azizah menjadi MB Selangor.

Ini bermakna Azizah mendapat sokongan majoriti. Dari segi demokkrasi dialah yang patut dilantik sebagai MB yang baru.

Soal Azizah seorang wanita atau dia isteri Anwar Ibrahim, saya kira adalah soal kedua, dan tidak wajar dijadikan alasan untuk menghalangnya menjadi MB.

Soal pokoknya saya kira Azizah mendapat sokongan majoriti dan mempunyai kelayakan untuk menjadi MB. Ini sudah cukup untuk melantik beliau sebagai MB Selangor yang baru.

Tuesday, September 2, 2014

Sejarah Perjuangan Rejimen Ke-10

Pada 2 hingga 3 Ogos 2014 yang  lalu telah  berlangsung di Kuala Lumpur satu persidangan antarabangsa  yang  diberi tajuk " Revisiting Malaya: International Conference on Political and Historical Thought".

Atas permintaan pihak penganjur, saya telah mengemukakan  satu kertas  kerja yang bertajuk "Sejarah Perjuangan Rejimen Ke-10" (A History of the 10th Regiment's Struggles.)

Oleh kerana persidangan itu dijalankan dalam dua bahasa (Inggeris dan Cina), kertas kerja saya juga telah diterjemahkan ke bahasa Cina.

Monday, September 1, 2014

Majlis Membaca Yasin di Taman Sahabat

Beberapa hari yang lalu, saya melihat makluman di papan kenyataan di surau di Taman  Seri Langat, Kajang bahaw majlis membaca yasin dan doa selamat akan diadakan pada 1/9/2014 di sebuah rumah diTaman Sahabat, Jalan  Reko, Kajang. Semua jemaah surau di jemput hadir.

Saya tahu majlis membaca yasin itu diadakan oleh jiran saya yang berpindah ke taman  itu beberapa tahun yang lalu. Akan tetapi,  selama ini saya tidak berpeluang berkenalan dengan beliau. Ketika saya mengadakan  majlis kenduri sebelum ini, saya sentiasa menjemput beliau melalui surat. Akan tetapi, beliau tidak pernah datang.

Oleh sebab beliau jiran saya, saya mengharapkan  beliau akan menjemput saya secara langsung untuk menghadiri majlis membaca yasin itu, kerana saya pun ingin berkenalan dengan beliau. Akan tetapi, sehingga hari Ahad 31/8/2014 tidak ada apa-apa jemputan  yang  saya terima. Saya menganggap jemputan melalui papan kenyataan di surau itu  tidak menganggap kehadiran jiran-jiran itu sebagai penting. Jadi saya pun mengambil sikap menguzurkan diri.

Mudah-mudahan majlis beliau berjalan dengan lancar dan baik dan mencapai matlamatnya.

Agaknya belum sampai masanya untuk kita  berkenalan.