Ketika saya bekerja di UKM dahulu, orang-orang yang sering berkunjung ke rumah saya dari masa ke masa memang tidak ramai. Yang sering berkunjung ialah saudara mara saya, khasnya adik beradik isteri saya, selain anak dan menantu tentunya. Kawan dan pelajar biasanya boleh berjumpa dengan saya di pejabat. Jadi mereka tidak berapa perlu datang ke rumah. Keadaan demikian tidak banyak berubah selepas saya bersara.
Bagaimanapun, selepas saya bersara, ada dua kategori tetamu baru yang sering datang ke rumah saya dan ingin berjumpa dengan saya: a) Para pelajar dari Indonesia yang meminta saya "memelayukan" tesis mereka, dan b) Para pelajar pascasarjana yang ingin meminta pendapat saya tentang hal yang berkaitan dengan penyelidikan mereka.
Mengenai tetamu kategori pertama, saya tidak keberatan membantu mereka, kerana kini saya pun banyak masa lapang. Lagipun dengan "memelayukan" tesis mereka, saya dapat sedikit pendapatan tambahan.
Mengenai tetamu kategori kedua pula, saya gembira dengan kedatangan mereka, kerana dengan kedatangan mereka dan berbincang dengan mereka, saya juga dapat menajamkan ingatan dan pemikiran saya. Dan ini tentunya merupakan pengiktiraan terhadap "kepakaran" saya.
Biasanya ada dua bidang "kepakaran" saya yang ingin dirujuk oleh mereka: a) Masyarakat dan kebudayaan Banjar, dan b) Gerakan kiri Melayu (termasuk tentang komunis Melayu).
Memang saya ada membuat sedikit penyelidikan dan telah menulis buku dan makalah tentang kedua-dua topik tersebut. Dan kini saya masih berusaha untuk meneruskan penyelidikan dan penulisan tentang topik tersebut.
Saya tidak ada masalah untuk bertemu dengan mereka dan menerima kedatangan mereka. Jadi saya sentiasa mengalu-alukan kedatangan mereka.
No comments:
Post a Comment