Terletak di Jalan Reko, kira-kira dua kilometer dari pekan Kajang, Taman Bangi adalah salah sebuah taman yang terawal wujud di Kajang.
Taman ini siap dibina dan mula diduduki pada tahun 1978. Ia dinamakan Taman Bangi, walaupun kedudukannya dekat dengan pekan Kajang mungkin mengambil sempena pembukaan bandar baru Bangi yang menempatkan UKM pada masa itu.
Oleh kerana kedudukannya hanya kira-kira lapan kilometer dari UKM, maka sebahagian besar penduduk Melayu di taman ini pada mulanya adalah terdiri daripada pensayarah UKM.
Beberapa orang pensyarah UKM yang kemudiannya muncul sebagai nama besar dalam dunia akademik, seperti Dr.Haron Din dan Prof. Kamal Hasan pernah tinggal di taman ini.
Di taman inilah juga Dr.Haron Din memulakan amalan rawatan perubatan Islam yang masih beliau teruskan di tempat tinggal beliau yang baru, di Bandar Baru Bangi, sehingga sekarang.
Pada mulanya kira-kira dua pertiga daripada penduduk taman ini terdiri daripada orang Melayu, dan satu pertiga bukan Melayu.Akan tetapi, penduduk Melayu sudah banyak yang berpindah dan membuat banglo besar di tempat lain, di samping ada juga yang sudah meninggal dunia. Jadi rasio penduduk taman ini sekarang sudah berubah: dua pertiga bukan Melayu, dan hanya satu pertiga orang Melayu.
Ada juga seorang dua orang Melayu yang merupakan pendatang baru tinggal di taman ini. Tapi mereka nampaknya merupakan orang yang "tak kenal orang" dan "tak mahu bercampur dengan orang". Jika ada kenduri kendara di taman ini, mereka pun tak pernah datang.
Kini taman ini sudah tua dan hampir semua penduduk asalnya juga sudah tua. Jika kami mengadakan kenduri, tetamu yang datang dari taman ini mungkin tak lebih 10 orang.Tapi saya dan beberapa orang penduduk tua yang lain mungkin akan terus tinggal di taman ini sehingga akhir hayat kami.
No comments:
Post a Comment