Saya menjejakkan kaki ke bandar Temerloh pada kali yang pertama pada tahun 1982 yang lalu untuk memulakan kajian luar di Kampung Lubuk Kawah dan sekitarnya bagi tesis Ph.D saya, yang apabila terbit diberi nama Paya Jejawi. Ketika itu Temerloh belum lagi diberi jolokan sebagai bandar ikan Patin.
Ketika itu Temerloh sudah terdiri daripada dua bahagian: bandar lama dan bandar baru. Saya menginap di sebuah hotel murah di bandar lama, berhadapan dengan kedai makan En. Satar Haji Dahan (almarhum) seorang bekas tokoh PSRM dan tidak jauh dari Bank Islam.
Orang yang mula-mula saya jumpai ketika berkunjung ke Temerloh ketika itu ialah Haji Alang Ahmad, wartawan Utusan Melayu di Temerloh dan Suhaimi Said, seorang peguam muda yang pejabatnya terletak di tingkat atas pejabat Utusan Melayu Temerloh.
Hubungan saya dengan Haji Alang Ahmad berlanjutan sampai sekarang, walaupun hanya dengan kiriman kad hari raya setahun sekali. Akan tetapi, hubungan dengan Suhaimi nampaknya tidak berpanjangan.
Dalam kunjungan kali pertama itu saya begitu tertarik dengan pekan sehari Temerloh yang begitu panjang, pada setiap hari Ahad, di pinggir Sungai Semantan. Semua sayur kampung dan kuih-kuih kampung ada dijual di situ, di samping pelbagai barangan lain.
Saya berulang-alik dari rumah saya di Semenyih dan kemudiannya di Kajang sekurang-kurangnya sebulan sekali, dari tahun 1982 hingga tahun 1986, untuk mengumpul bahan bagi tesis saya di Kampung Lubuk Kawah dan empat buah kampung lain yang berada di bawah pentadbiran Ketua Kampung Paya Jejawi (Ketika itu status Lubuk Kawah adalah sebagai sebuah kampung kecil di dalam kampung besar Paya Jejawi).
Selepas itu saya masih berulang alik ke Lubuk Kawah (atau lebih tepat ke Kampung Paya Jejawi) untuk mendapatkan maklumat dan data tambahan, tetapi tidaklah tetap pada tiap-tiap bulan, malah ada kalanya dua tiga bulan atau lima enam bulan sekali.
Pada tahun 2002-2004 saya berkunjung lagi ke Temerloh untuk mengumpul bahan bagi buku saya Gerakan dan Tokoh Kiri: Kamarulzaman Teh Dalam Kancah Perjuangan Kemerdekaan dan Gerakan Kiri Melayu Dalam Perjuangan Kemerdekaan. Pada tahun pertama (2002) saya berkunjung ke Temerloh sekurang-kurangnya sebulan sekali, malah kerap juga dua kali sebulan.
Ketika itu di Temerloh sudah ada kawasan perniagaan yang dinamakan Lembah Semantan, tetapi pekan sehari yang panjang itu masih ada, di samping pasar malam pada hari Selasa.
Ketika itu saya biasanya menginap di Hotel Seri Malaysia dan sekali sekala di Rumah Rehat Temerloh. Saya suka menginap di Hotel Seri Malaysia kerana di situ ada makan pagi di samping tempat parking yang luas. Sewanya pada masa itu hanya di sekitar RM100 pada satu malam.
Selepas itu, saya tidak lagi pergi ke Temerloh, kerana tidak ada apa-apa urusan. Ada dua tiga kali saya ke Kuantan dan melalui bandar Temerloh, tetapi saya tidak singgah di bandar tersebut.
Baru-baru ini buku saya Paya Jejawi dicadangkan untuk dicetak semula dan saya dikehendaki menambah satu bab baru, iaitu bab Poskrip (Postscript). Jadi saya perlu membuat kunjungan semula ke Kampung Paya Jejawi untuk mencari bahan bagi menulis bab tersebut.
Saya telah berkunjung ke Temerloh dan ke Kampung Paya Jejawi dengan anak saya Lazuardi pada akhir bulan Mac yang lalu. Pada kali ini kami menginap di Rumah Rehat Temerloh yang kini agaknya diswastakan (?) dan diuruskan oleh peniaga Cina. Tidak ada makan pagi, tetapi Rumah Rehat itu ada cafe yang menjual makanan tengahari dan malam yang enak.
Saya begitu tertarik kerana pekan sehari yang panjang pada hari Ahad, di pinggir Sungai Semantan masih ada. Saya dapat membeli wajik, dodol, lemang dan tapai, kuih-kuih kampung yang saya minati. Antara dodol itu ialah dodol dari tepung tumbuk yang begitu enak.
Satu kawasan perniagaan yang baru juga telah muncul di tengah-tengah bandar Temerloh, walaupun saya tidak pasti apa nama kawasan itu. Temerloh nampaknya semakin luas dan maju.
Bagaimanapun, sewa Rumah Rehat juga sudah meningkat. Pada tahun 2002-2004 dahulu sewanya hanya RM60 semalam. Akan tetapi kini sudah dinaikkan kepada RM85, dan pada hujung minggu pula dinaikkan kepada RM100 semalam.
Sebagai bandar ikan patin, memang banyak ikan patin dijual di pekan sehari Temerloh dan di beberapa tempat lain. Akan tetapi, saya tidak membelinya, kerana isteri saya tidak makan ikan darat (sungai).
No comments:
Post a Comment