Monday, October 7, 2013

Undangan yang tidak kunjung tiba

Sudah lama saya merancang hendak menghadiri Kongres Budaya Banjar Ke-3 yang  mengikut perancangan akan diadakan pada tahun 2013. Saya akan pergi, walaupun dengan perbelanjaan sendiri.  Yang saya perlukan hanyalah undangan atau pemberitahuan tentang kongres  tersebut.

Akan tetapi hingga ke saat akhir, undangan  atau pemberitahuan nampaknya tidak juga datang.

Saya tentunya tahu Kongres itu mulanya akan diadakan pada bulan April, kemudian ditunda ke bulan Ogos, lepas itu ditunda ke bulan September , dan akhirnya dimuktamatkan pada  bulan Oktober (dikatakan dari 23 hingga 25 Oktober 2013).

Saya juga tahu pemimpin PBM ada diundang, dan mereka telah merancang untuk membawa 22 orang ahli ke Banjar bersempena dengan Kongres itu.

Saya tentunya boleh pergi mengikut rombongan PBM. Akan  tetapi, tanpa undangan langsung kepada saya, saya rasa  lebih baiklah saya  tidak pergi. Memang saya agak kecewa kerana tidak pergi. Tapi saya rasa itulah sikap yang wajar saya ambil.

Sunday, September 15, 2013

Dari Jalan Reko kepada Jalan Recco?

Saya pernah menulis di blog ini bahawa pada masa dahulu, antara Kajang dengan UKM, tetapi lebih dekat dengan UKM, ada satu tempat bernama Rekoh. Oleh itu jalan antara Kajang dengan UKM sepatutnya diberi nama Jalan Rekoh, bukan Jalan Reko sebagaimana yang terdapat sekarang.

Bagaimanapun, kesalahan itu sudah lama berlaku, dan  setakat ini tidak ada mana-mana pihak yang berminat untuk membentulkanya.

Baru-baru ini saya terlihat iklan bahawa di Jalan Reko akan dibina bangunan tinggi, mungkin  25 tingkat yang diberi nama Recco Avenue.

Nama itu menarik. Tapi daripada mana datangnya nama Recco? Adakah daripada Reko?

Adakah nanti Jalan Reko boleh ditukar kepada Jalan Recco yang nampaknya lebih canggih, walaupun salah?

Wednesday, August 7, 2013

Kongres Budaya Banjar Ke-3: tidak termasuk dalam senarai jemputan

Saya mendapat maklumat daripada kawan-kawan di Kalsel bahawa Kongres Budaya Banjar Ke-3 akan diadakan di Banjarmasin dari 17 hingga 19 September 2013. Bagaimanapun, dikatakan bahawa jemputan adalah terhad. Dari luar Kalsel yang dijemput hanya ketua-ketua Persatuan Banjar. Jadi saya nampaknya tidak termasuk dalam senarai jemputan.Bagi seorang yang ingin hadir dan pernah hadir dalam Kongres Budaya Banjar Ke-2, perkembangan terakhir ini tentu saja mengecewakan.

Friday, August 2, 2013

Yang enak ialah dodol Melaka

Saya tidak ingat sejak bila saya jadi seorang penggemar dodol. Tapi memang sudah lama. Dan biasanya bila saya berkunjung ke rumah kawan atau keluarga pada masa hari saya, dodollah kuih pertama yang saya makan dahulu. Bagaimanapun, bagi seorang yang tinggal di Kajang, Selangor, saya rasa memang agak sukar untuk mencari dodol yang enak di sini. Di Kajang memang jarang kita jumpai penjual dodol. Di Bangunan Warta Bandar Baru Bangi, kadang-kadang ada dodol dijual di gerai yang juga menjual kurma, tapi jarang-jarang juga. Jika sesekali saya pergi ke Melaka, sudah tentu saya akan mencari dan membeli dodol. Memang bagi saya dodol yang dijual di Melaka adalah enek; seimbang lemak dan manisnya. Jika saya pulang ke kampung isteri saya di Sabak Bernam, saya biasanya akan membeli dodol yang selalu ada dijual di pasar Sungai Besar. Malangnya, di situ saya jarang berjumpa dengan dodol yang enak. Sayang orang Sabak Bernam tak pandai membuat dodol yang enak, walaupun kawasan itu adalah kawasan kelapa (di samping padi). Saya pernah membeli dodol yang dijual di tepi jalan, ketika saya berkunjung ke Langkat, Sumatera Utara pada akhir tahun 1990-an dahulu. Tapi saya dapati dodol Langkat tidaklah begitu enak. Mungkin saya tidak terjumpa dodol yang enak. Ketika saya berkunjung ke Kalsel pula, saya tidak melepaskan peluang membeli dodol yang banyak dijual di Kandangan. Dan Kandangan memang dianggap sebagai kota dodol. Namun, tidak semua dodol Kandangan yang enak. Ada yang enak, tapi kita kena tahu mencari tempat yang menjualnya di kalangan penjual dodol yang begitu banyak. Nampaknya setakat ini saya lebih berpuas hati dengan keenakan dodol Melaka.

Sate Padang

Ketika berkunjung ke Medan pertama kali pada tahun 1990, saya makan tengahari di sebuah restoran Padang. Di situ saya dihidangkan dengan sate Padang, di samping pelbagai lauk pauk yang lain. Saya mengambil kesempatan memakan sate Padang yang dihidangkan. Saya dapati kuah kacang sate Padang hanya masin saja; tidak manis dan enak seperti kuah sate Kajang. Pada tahun 2003 pula saya dan isteri mengikut rombongan melawat Bukit Tinggi dan Padang. Dalam perjalanan ke Bukit Tinggi, kami singgah untuk makan tengahari di satu tempat, mungkin Padang Panjang. Di situ kami dihidangkan dengan sate Padang, di samping pelbagai makanan lain. Satenya agak besar, tapi penuh dengan lemak. Dalam keadaan biasa, saya agak takut memakan sate yang penuh dengan lemak seperti itu. Tapi kerana lapar saya makan juga dua tiga cucuk. Kuahnys sama sahaja dengan kuah sate yang saya makan di Medan pada tahun 1990. Ia tidak manis dan enak seperti kuah sate Kajang

Bukan Sate Kajang yang Asli

Pertama kali saya memakan sate Kajang, kalau tidak silap, pada tahun 1978 yang lalu, ketika saya baru berpindah dari Kuala Lumpur ke Semenyih, yang tidak begitu jauh dari pekan Kajang. Saya makan sate di kedai Haji Tasman, pelopor sate Kajang asli, walaupun saya tidak ingat masa itu Haji Tasman masih hidup atau sudah meninggal dunia. Sate Kajang Haji Tasman yang saya anggap sebagai sate Kajang asli besar-besar, dan kuihnya agak manis. Memang rasanya sedap sekali. Sekarang sate Kajang Haji Tasman agaknya diwarisi oleh seorang ahli keluarganya, iaitu Haji Samuri yang sudah mempunyai kedai sate di pelbagai tempat, di samping kedainya yang terbesar dan utama di Bangunan Dato' Nazir Kajang. Tapi jelas ia bukan lagi sate Kajang yang asli. Kini di sekitar pekan Kajang dan Bandar Baru Bangi banyak restoran lain yang menjual sate. Sate itu memang ada juga yang enak, walaupun penjualnya bukan keturunan Haji Tasman. Semuanya mungkin boleh disebut sate Kajang, tapi sate itu bukanlah sate Kajang yang asli.

Wednesday, July 31, 2013

Membaca buku Hamka, Kenang-Kenangan Hidup

Pada tahun 1950-an dahulu, ketika saya mula membaca buku-buku Indonesia, pembacaan saya lebih tertumpu kepada buku-buku novel, cerpen, sajak dan esei. Saya tidak begitu berminat membaca buku-buku biografi dan autobiografi, walaupun saya ada juga membelinya sebuah dua. Oleh itu, buku autobiogrfi Hamka, Kenang-Kenangan Hidup, yang diterbitkan dalam empat jilid, telah saya abaikan begitu saja. Pada tahun 2009, buku Hamka, Kenang-Kenangan Hidup itu telah diterbitkan oleh Pustaka Dini, Kuala Lumpur dalam satu jilid tebal, iaitu setebal 700 halaman, dan saya telah membelinya. Bagaimanapun, buku itu tidaklah saya baca secara keseluruhannya dengan serta merta . Hanya dalam bulan Julai 2013 ini saya cuba membaca buku tebal itu dari mula sampai akhir. Rupanya buku Hamka yang berkenaan memang sangat menarik. Saya telah baca Bahagian Pertama, tentang pengalaman beliau masa kecil, Bahagian Dua tentang pengalaman beliau sebagai pendakwah dan pengarang, dan Bahagian Tiga tentang pengalaman beliau pada masa Jepun. Sekarang saya sekarang membaca Bahagian Empat, iaitu tentang pengalaman beliau pada zaman kemerdekaan.