Tuesday, April 30, 2013

BN bukan pilihan

Saya sudah mengenali (dari jauh)  Mohd.Zaidi Md.Zain @ Zakaria, calon BN dan Shafie Ngah, calon PAS bagi kawasan DUN Bangi. Kedua-duanya berkelulusan undang-undang dan kedua-duanya adalah Peguam Syarie.

Kedua-dua calon adalah seimbang dan berkelayakan. Walaupun saya belum mengenali mereka dari dekat, barangkali tidaklah terlalu sukar untuk memilih salah seorang daripada mereka.

Namun, bagi saya, pilihan saya pada kali adalah antara parti, bukan antara calon. Bagi saya, Pakatan Rakyat (PR) wajar diberi peluang untuk terus memerintah Selangor. Oleh itu, pilihan saya tentu bukan calon BN.

Selama 5 tahun ini, pemerentahan PR barangkali memang banyak kelemahan. Apatah lagi mereka  sentiasa dikacau oleh BN. Dan memang benar sebelum ini mereka tidak ada pengalaman memerintah.

Namun, mereka wajar diberi peluang memerintah 5 lagi. Dengan itu, pengalaman mereka juga akan bertambah.

Friday, April 26, 2013

Pakatan Rakyat terus memerintah Selangor

Setelah dua  kali mengundi di  Semenyih, pilihan raya kali ini saya  akan mengundi di Kajang, di kawasan  Parlimen  Serdang dan DUN Bangi.

Kebetulan pada kali ini BN dan PR meletakkan calon baru untuk DUN Bangi.

Saya tidak kenal kedua-dua calon tersebut, dan belum pasti  akan mengundi siapa.

Namun, persoalannya  barangkali adakah kita mahu  PR  mengambilalih Putrajaya  ataupun mahu  BN  terus berkuasa? Dan adakah kita  mahu PR terus memerintah Selangor, atau mahu BN kembali mengambilalih pemerintahan Selangor?

Kalau kita mahu PR mengambilalih Putrajaya dan PR  terus memerintah Selangor, maka pilihan kita tentulah  calon PR, walaupun tidak mengenali mereka.

Wednesday, April 24, 2013

Wujudkan pembangkang yang kuat

Walaupun saya orang "atas pagar", bukan bererti saya tidak ada pendirian dan tidak boleh mengambil apa-apa pendirian.

Misalnya,  pada PRU 12    yang lalu, saya tentu tidak mungkin mengundi  kedua-dua parti  atau tidak memilih mana-mana parti.

Sebagai orang atas pagar, saya juga tentu mahu perubahan, dan bukan tidak peduli dengan perubahan.

Oleh itu, sekiranya dalam  PRU 13 ini  saya  mengundi di Gelang Patah, saya mungkin sekali akan mengundi Lim Kit Siang, dan bukan Ghani Othman.

Sebabnya?

Saya mahu  tokoh-tokoh besar seperti Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim, Haji Hadi  Awang,  Karpal Singh dll terus berada di Parlimen, walaupun BN terus menjadi pemerintah di peringkat Kerajaan Pusat.

Saya juga percaya negara ini mungkin lebih baik mempunyai pembangkang yang kuat daripada pembangkang yang lebih lemah.  Dengan adanya pembangkang yang kuat, kita boleh mengharapkan parti pemerintah akan lebih  telus, lebih terbuka, dan lebih memberi perhatian terhadap masalah rakyat!

Monday, April 22, 2013

Orang atas pagar

Cucu sulung saya bertanya pada isteri saya, "Nenek undi parti apa nanti?"
 Isteri saya menjawab,  "Tak boleh  beritahu.  Undi tu rahsia".

Saya menyampuk, " Nenek penyokong  tegar UMNO, tentu undi BN."

Anak-anak dan menantu saya  yang mendengarnya, ketawa.

"Cuba tanya, Atuk undi apa pula?"  seorang anak saya menyampuk, menunjukkan cakap  pada anaknya.

Cucu saya tidak bertanya. Tapi kalau dia bertanya,  saya akan jawab,  "Atuk orang atas pagar."

 Tentu ada parti yang saya pilih setiap pilihan raya. Tapi saya tidak terikat pada  parti tertentu, dan bukan penyokong tegar parti tertentu.

Pilihan raya yang lalu, saya tidak mengundi BN. Pilihan raya kali ini?

.

Thursday, February 21, 2013

Isu kalimat Allah

Kalau kita mengikuti kuliah Dr.Asri, saya kira kita akan dapat memahami bahawa penggunaan kalimat Allah oleh orang bukan Islam, seperti orang Kristian tidak dilarang oleh Islam.

Orang Kristian dan Yahudi sudah lama menggunakan kalimat itu sebelum munculnya Nabi Muhammad dan agama Islam.

Dalam kitab Injil yang digunakan oleh  orang Arab  Kristian di Timur Tengah kalimat Allah itu   sudah mereka  gunakan berzaman-zaman. Begitu  juga dalam kitab Injil di Indonesia, di Sabah dan  Sarawak.

Di Semenanjung Malaysia nampaknya,  orang Melayu/Islam tidak bersetuju orang  bukan Islam menggunakan kalimat Allah itu dengan pelbagai sebab dan alasan.

Kalau begitu, dalam konteks Malaysia, kerajaan mungkin boleh membuat undang-undang bahawa orang bukan Islam dilarang daripada  menggunakan kalimat Allah  itu, khasnya untuk menterjemahkan kalimat God dalam kitab Injil mereka.

Ini adalah untuk mengelakkan kekeliruan dan perasaan tidak senang hati di kalangan orang Islam.

Lagipun  terjemahan God  yang betul ialah Tuhan, bukan Allah.

Bagaimanapun, dalam kehidupan sehari-hari, selain daripada menggunakannya di dalam kitab Injil mereka, orang bukan Islam (khasnya Kristian) tentu boleh saja menggunakan  kalimat tersebut.

Misalnya, jika mereka mengatakan, hari ini Tuhan Allah telah menurunkan hujan, Ucapan mereka itu betul dan tidak perlu dilarang.

Begitu juga, jika lagu kebangsaan sesetengah negeri ada kalimat  Allah, tentu tidak wajar orang bukan Islam dilarang daripada menyebut kalimat tersebut.

Sementara itu, jika ada orang Melayu/Islam yang bersetuju orang bukan Islam   menggunakan kalimat tersebut, sama ada dalam kitab  Injil atau dalam kehidupan sehari-hari, saya kira sikap mereka itu juga tidak salah, kerana   Islam tidak menghalang orang bukan Islam menggunakan kalimat tersebut.

Mereka juga tidak wajar dianggap telah  menjadi murtad atau syirik, sebagaimana yang difatwakan oleh sesetengah pihak, kerana sikap mereka tidak bersalahan dengan ajaran Islam.

Wednesday, February 20, 2013

Seminar perpaduan umah digerhanai oleh pilihan raya

Baru-baru ini ada seminar di DBP tentang perpaduan umah. Seminar itu melibatkan seorang anak raja dan tokoh-tokoh lama Melayu yang berpengaruh  dan tentu saja dianggap sebagai seminar yang penting.

Namun, seminar itu mungkin kurang mendapat perhatian, kerana sekarang orang Melayu/Islam dalam BN  akan bertarung hebat dengan orang Melayu/Islam dalam PR dalam pilihan raya umum  ke-13 yang akan tiba tidak lama lagi.

Oleh itu, walaupun perpaduan umah itu penting, tetapi bagi parti-parti Melayu sama ada UMNO atau PAS, yang lebih penting adalah memenangi pilihan raya umum ke-13.

Jadi biarlah kita tunggu keputusan pilihan raya umum ke-13  terlebih dahulu. Mungkin selepas itu orang Melayu/Islam boleh memikirkan semula sama ada perpaduan umah itu penting atau tidak.



Tuesday, February 19, 2013

Komunis Indonesia beragama

Saya baru saja membaca buku Abdullah Hussain, sasterawan negara, Perjalanan Mencari Diri, walaupun buku itu diterbitkan oleh DBP pada tahun  2004 yang lalu.

Saya tidak disangka di muka 126 dan 127 buku itu   saya terjumpa sedikit catatan yang menarik mengenai komunis Indonesia lebih setengah abad yang lalu.

Mengikut Abdullah Husssain, ketika  dia berada di Padang Panjang, Sumatera Barat, pada masa itu, pertama kali dia tahu  bahawa komunis itu ada dua jenis. Satu komunis Marx-Lenin  yang berkiblat ke Moskow dan  satu lagi komunis Indonesia.

Pada masa itu Abdullah Hussain telah ditumpangkan di atas loteng sebuah rumah kedai bersama-sama dengan seorang tokoh komunis buangan dari Digul.

Tokoh komunis itu memberi kursus politik  tentang  materialisme-dialektika (MADILOG) kepada  kader-kader  komunis di situ pada tiap-tiap malam. Apabila tiba waktu isya, tokoh tersebut memberhentikan kursusnya dan   dialah yang  menjadi imam sembahyang isya secara berjemaah.

Abdullah Hussain memberanikan diri bertanya, " Pak, setahu saya  orang komunis tidak beragama. Tetapi Bapak bersolat."

Orang itu dengan lembut menjawab, " Kita ini komunis Indonesia. Kita beragama".

Jadi sebagai komunis Indonesia yang beragama, mereka  mengerjakan sembahyang lima waktu, puasa dan sebagainya, seperti orang Islam yang lain. Hal itu telah disaksikan oleh Abdullah Hussain  di tempat tersebut.