Kita patut berbangga kerana ada beberapa batang jalan pendek di kawasan Chow Kit yang diberi nama Lorong Haji Taib.
Kalau tidak salah, Haji Taib ialah nama seorang pemimpin Melayu, mungkin dari keturunan Mandailing, yang tinggal di kawasan itu sebelum Perang Dunia Kedua dahulu.
Malangnya, sejak tahun 1960-an dahulu, atau lebih awal daripada itu, kawasan itu sudah menjadi kawasan maksiat. Di sekitar tahun 1960-an itu di kawasan itu ada kawasan pelacuran kelas rendah yang dikenali sebagai "Belakang Mati".
Kini, walaupun kawasan pelacuran itu sudah tidak ada, tetapi imejnya sebagai kawasan maksiat masih belum hilang, kerana di situ masih berkeliaran pondan, pengemis, penyeluk saku dan lain-lain.
Oleh itu, ada pihak yang mencadangkan supaya nama Lorong Haji Taib itu ditukar dengan nama lain, kerana agaknya nama orang yang dihormati dianggap tidak sesuai dijadikan nama jalan di tempat maksiat itu.
Bagaimanapun, saya tidak bersetuju dengan cadangan yang demikian. Bukan salah beliau, jika kawasan itu menjadi kawasan maksiat. Jasa dan nama beliau tidak wajar dilupakan dan dihilangkan semata-mata kerana kawasan itu telah menjadi kawasan maksiat.
Sebenarnya adalah tugas kita, dan tentunya pihak yang berkuasa juga untuk membersihkan kawasan itu supaya tidak terus menjadi kawasan maksiat.
Dan nama Haji Taib wajar dikekalkan sebagai nama beberapa batang jalan di kawasan itu untuk mengenang jasanya, dan untuk menunjukkan bahawa pada satu masa dahulu kawasan itu sebenarnya adalah kawasan penempatan orang Melayu!