Friday, November 22, 2013

Makanan halal yang mahal di Ho Chin Minh

Dari 18/11/2013 hingga 21/11/2013 saya melancong ke bandar Ho Chi Minh bersama isteri, Monaleha (anak)  dan Aimi Suhaili (cucu). Kami menaiki pesawat Air Asia.

Ketika berada di dalam kapal terbang, saya terkejut juga kerana lebih separuh daripada penumpangnya ialah orang Melayu. Nampaknya ramai benar orang Melayu yang hendak melancong ke Ho Chi Minh.

Kami menginap di hotel Saigon Fink 2 yang letaknya tidak jauh dari Pasar Ben Tanh yang merupakan  tempat membeli belah utama di bandar itu. Rupanya hotel itu dan beberapa hotel lain di sekitarnya  penuh dengan orang Melayu dari Malaysia.

Kehadiran pengunjung dari Malaysia memang sangat ketara  di bandar itu. Dari pagi hingga malam  kita dapat menyaksikan muka-muka orang Malaysia yang begitu ramai di Pasar Ben Tanh dan kawasan sekitarnya.

Ho Chi Minh nampakanya memang  merupakan tempat shopping yang menarik bagi kaum wanita yang ingin membeli baju kurung yang cantik, baju jubah,  telekong  dan kain bahan baju yang harganya tidak begitu mahal.

Di kawasan hotel tempat tinggal saya  pula ada empat buah kedai makan Muslim yang menghidangkan makanan halal. Sayangnya harga makanan terlalu mahal. Sekeping roti canai berharga kira-kira RM, sepinggan nasi  lemak, bihun dan nasi goreng pula berharga kira-kira RM16.50.

Friday, November 15, 2013

Mengenang Haji Suhaimi Said

Saya mengenali Haji  Suhaimi Said pada tahun 1982 yang lalu, ketika saya mula menjalankan kajian di Temerloh untuk mengumpul bahan bagi tesis Ph.D saya, yang kemudiannya diterbitkan dengan tajuk Paya Jejawi: Satu Kajian Antropologi Politik.

Saya bertemu dengan beliau beberapa kali, termasuk sekali di pejabat beliau pada waktu malam atas jemputan beliau. Beliau banyak memberi maklumat tentang Kampung Lubuk Kawah, kampung tempat beliau dilahirkan.

Sayangnya selepas itu, saya tidak bertemu lagi dengan beliau kerana barangkali tidak ada keperluan saya menemui beliau. Begitu juga beliau mungkin tidak menganggap ada  apa-apa keperluan untuk  bertemu dengan saya.

Pada tahun 1998 saya ada menemui beliau di pejabatnya, ketika saya berkunjung ke Temerloh selepas pilihan raya umum pada tahun tersebut. Saya  menemuramah beliau  untuk mengetahui perkembangan politik Temerloh ketika itu, berikutan dengan kemengan calon PAS sebagai ADUN  Kuala Semantan (bandar Temerloh).

Sayangnya pertemuan itu terlalu formal dan tidak mesra. Jadi saya pun tidak menghubungi beliau lagi selepas itu.

Baru-baru ini saya memang mengetahui beliau sakit setelah membaca tulisan beliau  di facebook. Akan tetapi,  saya pun  tidak mengambil kesempatan untuk mengunjungi beliau ketika beliau dirawat di HUKM.

Dengan  berpulangnya beliau kerahmatullah baru-baru ini, saya ingin mendoakan semoga roh beliau dirahmati Allah dan  beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang saleh. Jasa dan pertolongan beliau ketika saya menjalankan kajian dahulu tidak saya lupakan, walaupun hubungan kami tidak rapat dan sudah terputus. Al fatihah.