Sunday, June 16, 2013

Kedai Melayu terakhir di Jalan Besar, Kajang

Pada tahun 1983, ketika saya mula-mula tinggal di Kajang, ada sebuah kedai Melayu di Jalan Besar, Kajang. Kedai itu  antara lain menjual kitab-kitab agama dan ubat-ubat tradisional. Kalau tak salah, inilah kedai Melayu terakhir yang berasal dari kedai-kedai yang wujud  di situ sejak sebelum Perang Dunia Kedua.

Kalau tidak salah, kedai itu wujud sehingga akhir 1990-an atau awal 2000-an. Tapi selepas itu ia  "lenyap", sama ada  telah dijual atau disewakan kepada orang lain.

Mengapa kedai-kedai Melayu yang wujud sejak sebelum Perang Dunia Kedua itu lenyap pada awal tahun 1950-an(?). Antara sebabnya dikatakan anak-anak pekedai itu telah dapat bekerja makan gaji. Dengan itu, tidak ada sesiapa yang mahu meneruskan perniagaan ibu bapa mereka. Dan kedai itu pun dijual kepada orang lain.

Selepas lenyapnya kedai-kedai lama orang Melayu itu nampaknya tidaklah mudah untuk orang Melayu bertapak semula di Jalan itu. Sekarang ada beberapa orang Melayu yang menjalankan perniagaan di Jalan itu.Akan tetapi, mereka merupakan golongan minoriti sahaja.  Salah satu daripadanya ialah pejabat sebuah  agensi pelancongan. Mungkin kedai ini dapat bertahan kerana  minat orang Melayu yang tinggi kini terhadap aktiviti  melancong.

Tidak jauh dari Jalan Besar  Kajang kini sebenarnya ada sebuah Aked MARA yang sepatutnya menjadi pusat perniagaan orang Melayu. Tapi entah di mana salahnya, Aked MARA ini  nampaknya selalu sepi dan bukan menjadi tempat tumpuan pengunjung. Mungkin promosi dan usaha-usaha lain yang lebih berkesan perlu   dilakukan untuk menjadikan tempat itu  sebagai tempat perniagaan orang Melayu yang boleh dibanggakan.

Saturday, June 15, 2013

Kampung Melayu yang sudah hilang di Kajang

Di Kajang ada beberapa kawasan yang dahulunya merupakan  kampung orang Melayu, tetapi   sekarang sudah bertukar menjadi milik orang lain. Salah satu daripadanya ialah di tempat yang sekarang dikenali sebagai Jalan Mendaling di bandar Kajang. Dahulu, sehingga awal abad ke-20,  kawasan itu merupakan  kampung orang Mandailing. Akan tetapi,  mereka sudah berpindah ke tempat lain. Raja Alang ketua mereka berpindah ke Kuala Lumpur. Pada tahun 1920-an dan 1930-an di situ dibina    kedai batu milik orang Cina. Tinggallah Jalan Mendaling tanpa orang Mandailing.

Di kawasan Sungai Chua sebelum Perang Dunia Kedua dulu ada kampung Melayu. Akan tetapi sekarang semuanya  sudah lenyap. Kecuali sebaris rumah teres  satu tingkat yang  agak tersorok  di kawasan itu,   dan taman perumahan di Kampung Jambu dan  Kampung  Manggis,  serta  segelintir orang yang tinggal di beberapa taman perumahan, tidak ada lagi orang Melayu yang  tinggal di kawasan itu.

Di Jalan Reko juga begitu. Satu masa dahulu, di kawasan itu  masih ada kampung orang Melayu. Akan tetapi, sekarang semuanya sudah bertukar  menjadi taman perumahan dan menjadi milik orang lain, kecuali sekeping tanah di Batu 16 setengah yang di hadapannya ada bengkel kereta. Memang ada orang Melayu yang tinggal di beberapa taman perumahan itu. Akan tetapi, kampung Melayu sudah tidak ada lagi.

Friday, June 14, 2013

Jalan Reko nama yang salah

Jalan Reko ialah jalan raya sepanjang kira-kira 10 km yang menghubungkan bandar Kajang dengan UKM.

Saya pernah mengatakan nama Reko itu salah. Yang betul ialah Jalan Rekoh, kerana dahulu ada tempat  bernama Rekoh berhampiran dengan UKM. Tapi  kesalahan itu sudah berlaku dan kekal hingga sekarang.

Dahulu, kira-kira  30 tahun dahulu, ketika UKM baru dibuka, Jalan Reko adalah satu jalan yang sunyi.  Di kiri kanannya masih ada estet dan kampung Melayu. Jalan itu merupakan jalan kecil dua lorong dan  jadi laluan bus SUM  yang selalu kosong dari Kajang ke pekan Dengkil.

Sekarang keadaan sudah  berubah. Jalan itu sudah dibesarkan, walaupun masih merupakan jalan dua lorong. Estet dan kampung Melayu sudah hilang, sudah berganti menjadi taman perumahan.

Di Jalan Reko juga sekarang ada perhentian bas yang besar, yang diberi nama Perhentian Kajang.  Perhentian bas itu pernah dianggap sebagai perhentian bas terbesar di Asia Tenggara (mungkin tidak betul lagi) dan  menempatkan  bas ekpres  untuk ke pelbagai tempat, sama ada ke utara, ke selatan dan pantai timur. Di bahagian atasnya pula terdapat Jabatan Pendaftaran, Imigresen, Pejabat Pos dll.

Di samping itu, di Jalan Reko juga ada pusat komersial yang besar yang diberi nama Reko Sentral. Di Reko Sentral pula terdapat pasar raya besar, Econsave yang selalu  jadi tumpuan ramai.

Selain itu, di Jalan Reko atau di kawasan Reko Sentral juga sekarang telah ada pasar larut malam(?) yang bermula pada pukul 10 malam dan berakhir pukul  3 atau 4  (?) malam.Pasar larut malam itu, yang dibuka pada tiap-tiap malam, kecuali malam Selasa,  sentiasa ramai dan meriah dan nampaknya masih  bertahan sampai sekarang.

Wednesday, June 12, 2013

Biografi yang gagal ditulis

Beberapa tahun dahulu, sebelum Prof.Kamal Hasan, bekas Rektor UIA dilantik menjadi seorang Prof. Ulung, seorang kawan   dari UKM mencadangkan  supaya  saya menulis biografi tokoh tersebut. Saya tertarik dengan cadangan tersebut, walaupun belum memikirkannya dengan serius, dan adakah saya mampu melakukannya atau tidak.

Entah bagaimana, tidak lama selepas itu,  saya terjumpa dengan Prof. Kamal. Tidak ingat di mana, mungkin dalam satu seminar. Saya secara spontan menawarkan diri untuk menulis biografinya jika beliau  berminat. Malangnya, atau untungnya, beliau tidak menerima tawaran saya, kerana beliau  belum mahu biografinya ditulis pada masa itu. Antara alasannya, kalau saya tidak salah, dia merasakan perjalanan hidupnya masih panjang. Di samping itu, ada pendiriannya pada zaman muda, yang beliau ragu-ragu untuk mendedahkannya untuk pengetahuan umum.

Selepas itu, saya merancang untuk menulis biografi Ustaz Hasan Shukri, Timbalan Presiden PAS. Saya telah menghubungi beliau untuk mendapatkan persetujuan beliau. Beliau begitu gembira dengan tawaran saya. Akan tetapi katanya pada masa itu sudah ada seorang pensyarah dari USM yang  sedang menulis biografi beliau. Jadi beliau tidaklah dapat menerima tawaran saya.

Selepas itu, saya tidak menghubungi beliau lagi, dan menunggu saja lahirnya biografi beliau yang dikatakan sedang ditulis oleh   pensyarah USM itu.

Malangnya sehingga beliau meninggal dunia beberapa tahun yang lalu, saya tidak melihat terbitnya biografi beliau. Saya tidak tahu biografi beliau  jadi ditulis   atau tidak oleh pensyarah  USM tersebut. Tapi saya agak kecewa dan terkilan kerana tidak jadi menulis biografi beliau.

Tuesday, June 11, 2013

Kertas kerja tentang Tokoh Wanita Selangor ( Datin Paduka Fatimah Hj.Suhaimi)

Pada tahun 2006 Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor (PSMCS) telah  mengadakan Seminar Sejarah Tokoh Wanita Selangor di Shah Alam. Sebagai seorang ahli PSMCS saya berminat untuk membentangkan kertas kerja dalam seminar tersebut.

Pada mulanya  saya bercadang untuk menulis kertas kerja tentang bintang filem Latifah Omar yang berasal dari Selangor, iaitu tokoh yang memang ingin saya tulis biografinya. Tapi kerana masih menghadapi kesukaran untuk menemui beliau, rancangan itu terpaksa saya batalkan.

Tuan Haji Said Radzi (almarhum), Pengerusi PSMCS mencadangkan  supaya saya menulis kertas kerja tentang seorang pensyarah wanita  di UKM yang merupakan seorang penyajak dan pelukis terkenal dan menepati istilah tokoh wanita Selangor. Saya tidak akrab  dengan tokoh tersebut, walaupun pernah sama-sama bertugas sebagai pensyarah di UKM. Saya cuba menghubungi beliau melalui emel, tapi emel saya tidak berbalas.  Jadi saya batalkan sahaja rancangan untuk menulis kertas kerja tentang tokoh tersebut.

Pilihan saya seterusnya ialah seorang bekas wakil rakyat  wanita yang merupakan Ketua Wanita UMNO Bahagian di  satu daerah di Selangor. Di samping menjadi Ketua Wanita UMNO Bahagian, beliau juga ada memegang jawatan pada peringkat negeri dan pusat. Saya tidak mengenali  beliau dan cuba menghubungi beliau melalui surat. Surat saya tidak berbalas. Jadi rancangan untuk menulis kertas kerja tentang tokoh tersebut terpaksa dibatalkan juga.

Selepas itu seorang tokoh wanita  UMNO dari Kuala Langat yang pernah menjadi Ketua Wanita  UMNO Bahagian dan wakil rakyat dan  pernah memegang jawatan dalam Wanita UMNO Negeri dan  Pusat pula menjadi pilihan saya. Beliau ialah Datin Paduka Hajah Fatimah Haji  Suhaimi yang tinggal di Kampung Sijangkang.  Saya mendapat nombor telefon beliau dari seorang kawan di Banting yang merupakan  bekas salah seorang  pemimpin UMNO Kuala Langat.

Dari perbualan melalui teleon, beliau bersedia ditemuramah dan ditulis riwayat hidup dan perjuangannya. Jadi  kertas kerja mengenai diri beliaulah yang saya  tulis dan bentangkan dalam seminar anjuran PSMCS itu.

Kertas kerja  saya tentang diri beliau kemudian dimuatkan dalam buku Tokoh Wanita Selangor: Sejarah dan Sumbangan yang disunting oleh Mardiana Nordin dan diterbitkan oleh PSMCS pada tahun 2009.

Monday, June 10, 2013

Rancangan menulis biografi Latifah Omar yang tidak kesampaian

Di negara kita penulisan biografi banyak tertumpu kepada tokoh politik, dan  kurang memberi tumpuan kepada tokoh dalam bidang lain. Salah satu golongan yang biografinya masih kurang ditulis ialah golongan artis, termasuk pelakon terkenal.

Setakat ini cuma ada biografi P.Ramlee dan Jins Shamsudin dan  seorang dua tokoh lain, tetapi belum ada  biografi tentang Ahmad Mahmud, Nordin Ahmad, Yusof Latif, Latifah Omar, Mariani, Saloma, Rosnani, Mariani, Aziz Satar, S.Shamsudin, dll.

Oleh itu, satu masa dulu saya pernah bercadang  untuk menulis biografi Latifah Omar.Tapi ada banyak halangan untuk saya menemui beliau. Dan rancangan itu tertangguh begitu sahaja.

Malangnya, semalam Latifah Omar sudah pun meninggal dunia. Dengan kematian beliau, rancangan untuk menulis biografi  beliau tentu lebih sulit untuk dilakukan. Mungkin orang lain sahaja yang akan menulisnya.Al fatihah.

Sunday, June 9, 2013

Orang Bugis di Sabak Bernam

Daerah Sabak Bernam terkenal sebagai tempat tinggal orang Jawa dan Banjar, kerana kedua-dua suku itulah yang banyak terdapat di daerah itu, di samping sedikit orang "Melayu Jati". Orang Jawa kebanyakanya tinggal di kawasan kebun kelapa, orang Banjar di kawasan  sawah padi dan orang Melayu Jati di kawasan pantai. Bagaimanapun, ramai juga orang Jawa yang tinggal di kawasan sawah padi.

Sehingga  tahun 2006, saya tidak tahu di daerah Sabak Bernam juga ada orang Bugis. Saya hanya tahu di daerah Sabak Bernam ada orang Bugis, setelah berjumpa dengan Datuk Yusof Latif, seorang bekas wakil rakyat keturunan Bugis pada tahun tersebut.

Mengikut Datuk Yusof Latif, orang Bugis terutamanya terdapat di Kampung Baru, Pancang Bedena,  Sungai Haji Dorani  dan Kampung Baru Nelayan Sungai Besar.

Mereka juga telah menubuhkan  sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Bugis Sabak Bernam.

Namun, orang Bugis hanya merupakan golongan minoriti di kampung-kampung berkenaan. Mungkin tidak ada orang Bugis yang menjadi ketua kampung. Dan mereka pun mungkin kurang menonjolkan diri sebagai orang Bugis.

Sehingga tahun 2006, saya menganggap Datuk Yusof Latif  sebagai orang Melayu Jati. Rupanya beliau adalah seorang Bugis yang telah meningkat menjadi tokoh politik di daerah Sabak Bernam.

Saturday, June 8, 2013

Informan kajian tentang orang Bugis di Selangor

Tidak lama dahulu saya ada menulis surat kepada Datuk Yusof  Hassan, bekas guru/wakil rakyat dan tokoh sejarah yang tinggal di Kuala Selangor. Saya memberi tahu beliau tentang rancangan saya hendak membuat kajian tentang orang Bugis di Selangor dan meminta beliau mencadangkan nama-nama informan yang boleh saya hubungi.

Oleh kerana beliau  telah mendapat kecederaan yang agak parah dalam  kemalangan kereta hampir setahun sebelum itu, beliau  telah menjawab surat saya melalui telefon, kerana katanya beliau belum boleh menaip surat.

Mengikut penerangan beliau, antara orang-orang yang boleh menjadi informan untuk kajian tentang orang Bugis di Selangor adalah seperti berikut:

a) Datuk Yusof Latif, bekas wakil rakyat yang tinggal di Batu 38,  Sabak  Bernam tentang orang Bugis di Sabak Bernam.

b) Cikgu Mat Din bin Yusof, seorang guru bersara  yang tinggal di Ujung Permatang, Kuala Selangor. Dia tinggal di sebuah rumah besar, iaitu rumah mertuanya yang terletak di belakang pam minyak Mobil.

c) Raja  Yunus bin Raja Suran, seorang pesara Jabatan Kerja Air, yang tinggal di alamat berikut:
          Teratak Hara,
           46, Jalan Raja Musa
           Taman Malawati
           Kuala Selangor.

Beliau pengerusi Persatuan Anak   Bugis Kuala Selangor yang mempunyai ahli kira-kira 700 orang. No. telefon beliau: 019- 3020335,

d) Encik Sharif bin Ramli, setiausaha Persatuan Anak  Bugis Kuala Selangor. Beliau bekerja di  Majlis Bandaran Kuala Selangor. No. telefon beliau 013-3332379.

e) Pak Din, penjaga makam Jugra, Kuala Langat. Rumah beliau di tepi sungai, di bahagian hadapan makam tersebut.

Saya berterima kasih kepada Datuk Yusof. Namun setakat ini saya belum memulakan kajian saya.

Tuesday, June 4, 2013

Orang Bugis di Selangor

Mengikut data rasmi, pada tahun 1947  ada  7,000 orang Bugis di Malaya (Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura). Mereka merupakan penduduk dari  Indonesia  yang kelima teramai selepas orang Jawa, Banjar, Sumatera (Minang, Mandailing dll) dan Boyan.

Sekarang jumlah mereka sudah  tentu sudah berlipat ganda, walaupun data rasmi tidak dapat diperolehi.

Salah sebuah negeri yang ramai orang Bugis ialah Selangor. Mereka terutamanya banyak terdapat di daerah Kuala Selangor, Kelang dan Kuala Langat.

Orang Bugis mempunyai hubungan istimewa dengan negeri  Selangor, kerana Sultan Selangor adalah berketurunan Bugis.

Orang Bugis di Selangor masih mengekalkan stratifikasi sosial  tradisional yang menunjukkan perbezaan  antara orang yang berketuruan raja dengan rakyat biasa. Jadi orang yang berketurunan raja terus memakai  gelaran tersebut  secara  turun  temurun.

Pada  24 Mei 2009 di Kuala Selangor telah dirasmikan penubuhan  Persatuan Anak-Anak Bugis Daerah Kuala Selangor, dengan diketuai oleh  YM. Tuan Haji Raja Yunus bin Raja Suran.

Namun, tidak ada maklumat yang diperolehi tentang aktiviti dan perkembangan persatuan  tersebut selepas perasmian itu.



Sunday, June 2, 2013

Kamarulzaman Teh seorang komunis?

Kamarulzaman Teh, bekas Ketua API Pahang adalah salah seorang yang terawal saya jumpai ketika saya mula menjalankan kajian di Temerloh pada tahun 1982. Saya lupa siapa yang memperkenalkan saya pada beliau. Mungkin Satar Haji Dahan, seorang pemimpin PSRM di Temerloh pada masa itu .

Ketika itu hampir tiap-tiap hari  Kamarulzaman berada di sebuah kedai gunting kawannya di bandar Temerloh. Tapi dia agaknya  tidak suka  berbual-bual dengan saya di situ. Dia lebih suka datang ke hotel tempat saya menginap dan berbual-bual di situ, kerana agak terlindung dari pandangan ramai.

Saya pula suka  berhubung melalui surat dengan beliau. Apabila saya balik ke rumah saya di  Semenyih (dan kemudian di Kajang) saya menulis surat kepada beliau dan bertanya tentang pelbagai perkara, dan beliau biasanya akan membalas semua surat saya.

Dari perbualan  dan dari surat menyurat dengan beliau,  saya mendapat  banyak maklumat tentang gerakan kiri di Temerloh antara tahun 1946-1948, yang boleh saya jadikan bahan untuk menulis tesis Ph.D saya. Bagaimanapun ketika itu beliau  tidak banyak bercerita tentang kisah perjuangannya dan latarbelakang dirinya. Dia seolah-olah masih mahu berahsia dengan  saya. Oleh itu, ketika itu saya pun tidak terilham untuk menulis biografinya.

Saya jarang bertemu dengan beliau setelah saya menamatkan kajian saya di Temerloh pada tahun 1986. Bagaimanapun, beliau sentiasa mengirim kad hari raya  kepada saya setiap tahun sehinggalah  akhir tahun 1990-an. Jadi hubungan kami tetap berlanjutan, walaupun hanya melalui pertukaran kad  ucapan selamat hari raya.

Kira-kira 20 tahun kemudian, iaitu pada tahun 2002-2003  saya bertemu lagi dengan beliau ketika saya melakukan kajian tentang gerakan kiri Melayu. Ketika itu beliau sudah mulai uzur (agak rabun dan tidak kuat lagi berjalan). Jadi   saya menemui beliau   di rumah adiknya tempat beliau menumpang, kira-kira 3 km dari bandar Temerloh.

Dalam pertemuan pada tahun 2002-2003 itu beliau lebih terbuka dan boleh dikatakan tidak berahsia lagi dengan saya. Kisah perjuangannya bersama MPAJA dan PKM juga diceritakan oleh beliau  kepada saya.  Ini memberi ilham kepada  saya untuk menulis kisah diri dan perjuangannya. Kisah  diri dan perjuangan beliau itu kemudian saya abadikan dalam buku saya Gerakan dan Tokoh Kiri: Kamarulzaman Teh Dalam Kancah Perjuangan Kemerdekaan.

Antara perkara  penting dan menarik yang saya nyatakan dalam buku saya  itu ialah Kamarulzaman Teh adalah seorang ahli PKM yang  pernah berucap secara terbuka di beberapa tempat sebagai "wakil PKM", dan beliau dikatakan ada berkata (merujuk dirinya) " Sebagai seorang komunis..."

Beliau juga telah belajar tentang fahaman dan ideologi komunis, termasuk teori asas Marxisme daripada ahli PKI yang datang ke Malaya pada tahun 1946-1948 dahulu. Tapi adakah beliau betul-betul seorang komunis?

Dr.Syed Husin, bekas pemimpin PSRM/PRM/ PKR yang mengetahui saya banyak berhubung dan berbincang dengan Kamarulzaman pada zaman tuanya, pernah bertanya pada saya, "Adakah Kamarulzaman seorang komunis?"

Jawapan saya, dengan sedikit sebanyak alasannya,  ada saya nyatakan dalam buku saya itu.