Friday, May 31, 2013

Temerloh bandar ikan Patin

Saya menjejakkan kaki ke bandar Temerloh pada kali yang pertama   pada tahun 1982 yang lalu untuk memulakan kajian luar di Kampung Lubuk Kawah dan sekitarnya  bagi tesis Ph.D saya, yang apabila terbit diberi nama Paya Jejawi. Ketika itu Temerloh belum lagi diberi jolokan sebagai bandar ikan Patin.

Ketika itu Temerloh sudah terdiri daripada dua bahagian: bandar lama dan bandar baru. Saya menginap di sebuah hotel murah di bandar lama, berhadapan dengan kedai makan En. Satar Haji Dahan (almarhum) seorang bekas tokoh PSRM dan tidak jauh dari Bank Islam.

Orang yang mula-mula saya jumpai ketika berkunjung ke  Temerloh  ketika itu ialah Haji Alang Ahmad, wartawan Utusan Melayu  di Temerloh dan Suhaimi Said, seorang peguam muda yang  pejabatnya terletak di tingkat atas pejabat Utusan Melayu Temerloh.

Hubungan saya dengan Haji Alang Ahmad berlanjutan sampai sekarang, walaupun hanya dengan kiriman kad  hari raya setahun sekali. Akan tetapi, hubungan dengan Suhaimi nampaknya tidak berpanjangan.

Dalam kunjungan kali  pertama itu saya begitu tertarik dengan pekan sehari Temerloh yang begitu panjang, pada setiap hari Ahad, di pinggir Sungai Semantan. Semua sayur kampung dan kuih-kuih kampung ada dijual di situ, di samping pelbagai barangan lain.

Saya berulang-alik dari rumah saya di Semenyih dan kemudiannya di Kajang sekurang-kurangnya sebulan sekali, dari tahun  1982  hingga tahun 1986,  untuk mengumpul bahan bagi tesis saya di Kampung Lubuk Kawah dan empat buah kampung lain yang berada di bawah pentadbiran Ketua Kampung Paya Jejawi (Ketika itu status Lubuk Kawah adalah sebagai sebuah kampung kecil di dalam kampung besar Paya Jejawi).

Selepas itu saya masih berulang alik ke Lubuk Kawah (atau lebih tepat ke Kampung Paya Jejawi) untuk mendapatkan maklumat dan data  tambahan, tetapi tidaklah tetap pada tiap-tiap bulan, malah ada kalanya  dua tiga bulan atau lima enam bulan sekali.

Pada tahun 2002-2004 saya berkunjung lagi ke Temerloh  untuk mengumpul bahan bagi buku saya Gerakan dan Tokoh Kiri: Kamarulzaman Teh Dalam Kancah Perjuangan Kemerdekaan dan Gerakan Kiri Melayu Dalam Perjuangan Kemerdekaan. Pada tahun pertama (2002) saya berkunjung ke Temerloh sekurang-kurangnya sebulan sekali, malah kerap juga dua kali sebulan.

Ketika itu  di Temerloh sudah ada kawasan perniagaan yang dinamakan  Lembah Semantan, tetapi pekan sehari yang panjang itu masih ada, di samping pasar malam pada hari Selasa.

Ketika itu saya biasanya menginap di Hotel Seri Malaysia dan sekali sekala di Rumah Rehat Temerloh. Saya suka menginap di Hotel Seri Malaysia kerana di situ ada makan pagi di samping tempat parking yang luas. Sewanya pada masa itu hanya di sekitar RM100 pada satu malam.

Selepas itu, saya tidak lagi pergi ke Temerloh, kerana tidak ada apa-apa urusan. Ada  dua tiga kali saya ke Kuantan dan melalui bandar Temerloh, tetapi saya tidak singgah di bandar tersebut.

Baru-baru ini buku saya Paya Jejawi dicadangkan untuk dicetak semula dan saya dikehendaki menambah satu bab baru, iaitu bab Poskrip (Postscript). Jadi saya perlu membuat kunjungan semula ke Kampung Paya Jejawi untuk mencari bahan bagi menulis bab tersebut.

Saya telah berkunjung ke Temerloh dan ke Kampung Paya Jejawi  dengan anak saya Lazuardi pada akhir bulan Mac yang lalu. Pada kali ini kami  menginap di Rumah Rehat Temerloh yang kini agaknya diswastakan (?) dan diuruskan oleh peniaga Cina. Tidak ada makan pagi, tetapi Rumah Rehat itu ada cafe yang menjual makanan tengahari dan malam yang enak.

Saya begitu  tertarik kerana pekan sehari  yang panjang pada hari Ahad,  di pinggir Sungai Semantan masih ada. Saya dapat membeli wajik, dodol, lemang dan tapai, kuih-kuih  kampung yang saya minati. Antara dodol itu ialah dodol dari tepung tumbuk yang begitu enak.

Satu kawasan perniagaan yang baru juga telah muncul di  tengah-tengah bandar Temerloh, walaupun  saya tidak pasti apa nama kawasan itu. Temerloh nampaknya semakin luas dan maju.

Bagaimanapun,  sewa  Rumah Rehat juga sudah meningkat. Pada tahun 2002-2004 dahulu sewanya hanya RM60 semalam. Akan  tetapi kini sudah dinaikkan kepada RM85, dan pada hujung minggu pula dinaikkan kepada RM100 semalam.

Sebagai bandar ikan patin, memang banyak ikan patin dijual di pekan sehari  Temerloh  dan di beberapa tempat lain. Akan tetapi, saya tidak membelinya, kerana isteri saya tidak makan ikan darat (sungai).



Lawatan ke Kampung Lubuk Kawah, Temerloh

Pada akhir bulan Mac 2013  yang lalu, saya  dan anak saya Lazuardi berkunjung ke kampung Lubuk Kawah, Temerloh, iaitu kampung yang memberi ilham kepada saya untuk menghasilkan buku Paya Jejawi dan buku-buku  lain  tentang gerakan dan tokoh kiri.

Saya melakukan lawatan ke kampung itu untuk mencari bahan bagi menulis satu bab tambahan  bagi buku saya Paya Jejawi yang dicadangkan akan dicetak semula (cetakan kedua).

Dalam kunjungan  singkat ini tidak banyak informan yang sempat saya temui. Namun, secara kebetulan saya dapat berjumpa dengan  seorang ustaz yang dahulunya pernah menjadi pelajar saya di UKM. Beliau  yang tinggal di Kampung Bangau yang berjiranan dengan kampung Lubuk Kawah  telah bersara dari jawatan guru, dan merupakan seorang pemimpin PAS tempatan di kawasan tersebut.

Dari beliau saya mendapat tahu bahawa kini telah ada sebuah cawangan PAS di kampung Lubuk Kawah, iaitu sesuatu yang tidak ada pada  tahun 1980-an dahulu. Dengan itu di kampung Lubuk Kawah kini bukan saja ada cawangan UMNO, tetapi juga cawangan PAS.

Satu perubahan  penting yang mudah diperhatikan  di kampung  Lubuk Kawah ialah kewujudan sebuah masjid baru yang besar dan cantik, yang dahulunya  begitu sukar hendak dibina di kampung tersebut, kerana kebanyakan penduduknya mahu mengekalkan masjid lama. Sekarang masjid lama masih ada, tetapi digunakan sebagai surau.

Satu lagi perubahan  penting  yang dapat saya perhatikan ialah kewujudan taman perumahan,  iaitu  Taman Bukit Tingkat,  yang bersebelahan dengan kampung Lubuk Kawah. Kebanyakan penduduk taman itu terdiri daripada orang luar yang bekerja makan gaji.  Dengan itu, di kawasan itu telah wujud   satu golongan kelas menengah yang agak ramai, yang sebelumnya belum ada di kawasan itu.

Bagaimanapun, golongan muda yang berpendidikan menengah dan tinggi  dari kampung tersebut nampaknya masih perlu mencari pekerjaan di tempat lain, hingga ke Lembah Kelang,  kerana daerah Temerloh   dan kawasan sekitarnya  belum cukup membangun untuk  menjadi tempat mereka hidup dan mencari nafkah dengan selesa.

Thursday, May 30, 2013

Ujian Allah

Walaupun peristiwa itu sudah seminggu berlalu (berlaku pada 24 Mei 2013), saya masih agak trauma dan masih  hairan bagaimana hal itu boleh berlaku.

Pada  pagi itu saya pergi mengisi minyak dan angin sebagai persiapan untuk menghadiri Hari Keluarga Haji Miskun di Kuala Linggi. Saya sudah balik ke rumah dan hendak memasukkan kereta Alza yang baru sembilan bulan  saya beli ke dalam garaj. Tiba-tiba selepas melepaskan brek, kereta saya meluncur laju dan saya terlupa langsung untuk menekan brek kaki. Akibatnya kereta saya meluncur laju, mungkin kerana  saya tertekan minyak secara berterusan, dan  kereta itu melanggar besi penghadang tepi jalan  berhampiran dengan rumah saya.

Bagaimanakah saya hendak memahami hal ini? Setakat ini saya hanya menganggapnya sebagai ujian Allah, yang mengingatkan saya betapa kerdilnya  dan lemahnya saya di hadapan-Nya.

Dalam masa sesaat, ingatan saya dilupakan-Nya dan berlakulah peristiwa yang agak mengerikan itu. Bahagian depan kereta saya
remuk teruk dan saya mungkin menunggu selama 2 bulan untuk mendapatkan kembali kereta yang dibaiki.

Berilah aku perlindungan dan petunjuk-Mu ya, Allah.

Tuesday, May 28, 2013

Buku Gerakan Kiri Melayu


Buku saya, Gerakan Kiri Melayu Dalam Perjuangan Kemerdekaan, telah dicetak dua kali oleh Penerbit UKM  dengan gambar kulit yang berbeza. Cetakan pertama dengan latar belakang warna merah (gambar atas kiri) dan cetakan kedua  dengan latar belakang warna hitam (gambar bawah).

Buku ini merupakan satu-satunya buku saya yang telah diterjemahkan ke bahasa Cina oleh Penerbit SIRD (gambar kanan atas).

Buku cetakan kedua masih boleh didapati di Penerbit UKM, di kedai buku Gerakbudaya/SIRD dan di Ujana Ilmu (toko buku online).

Buku tentang gerakan dan tokoh kiri

Beberapa hari yang lalu, beberapa orang kawan saya  telah menulis dalam facebook  tentang  beberapa buah buku yang saya tulis dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Tulisan mereka  saya harap akan dapat memberi  sedikit sebanyak publisiti kepada buku-buku berkenaan. Antara buku-buku itu adalah seperti berikut:
(Gerakan dan Tokoh Kiri: Kamarulzaman Teh Dalam Kancah Perjuangan  Kemerdekaan (SIRD)
(Siti Norkiah Mahmud: Srikandi dari Pahang Utara, SIRD)


(Gerakan Kiri Melayu Dalam Perjuangan Kemerdekaan (Penerbit UKM)

Maklumat di atas saya harap dapat memenuhi keperluan satu segmen  pembaca  yang berminat terhadap buku  tentang gerakan dan tokoh kiri.

Dua gambar Hari Keluarga Haji Miskun Ke-4

Gambar ramai semua anggota keluarga Haji Miskun yang hadir
Gambar keluarga Salleh, Nahlia dan Lazuardi dengan Hajah Aton

Tempat Dr.Haron Din memulakan rawatan perubatan Islam

Terletak di Jalan Reko, kira-kira dua kilometer dari pekan Kajang, Taman Bangi adalah salah sebuah taman yang terawal wujud di Kajang.

Taman ini siap dibina dan mula diduduki pada tahun 1978. Ia  dinamakan Taman Bangi, walaupun kedudukannya dekat dengan pekan Kajang mungkin mengambil sempena pembukaan bandar baru Bangi yang menempatkan UKM pada masa itu.

Oleh kerana kedudukannya hanya kira-kira lapan kilometer dari UKM, maka sebahagian besar penduduk Melayu di taman ini pada mulanya adalah terdiri daripada pensayarah UKM.

Beberapa orang  pensyarah UKM yang kemudiannya muncul sebagai nama besar dalam dunia akademik,  seperti Dr.Haron Din dan Prof. Kamal Hasan pernah tinggal di taman ini.

Di taman inilah juga Dr.Haron  Din memulakan amalan rawatan perubatan  Islam yang  masih beliau teruskan di tempat tinggal beliau yang baru, di Bandar Baru Bangi, sehingga sekarang.

Pada mulanya kira-kira dua pertiga daripada penduduk taman ini  terdiri daripada orang Melayu, dan satu pertiga bukan Melayu.Akan tetapi, penduduk Melayu sudah banyak  yang berpindah dan membuat banglo besar di tempat lain, di samping ada juga yang   sudah meninggal dunia. Jadi rasio penduduk  taman ini sekarang sudah berubah: dua pertiga bukan Melayu, dan hanya satu pertiga orang Melayu.

Ada juga seorang dua orang Melayu yang merupakan pendatang baru tinggal  di taman ini. Tapi mereka nampaknya merupakan orang yang "tak kenal orang" dan "tak mahu bercampur dengan orang".  Jika ada kenduri kendara di taman ini, mereka pun tak pernah datang.

Kini taman ini sudah tua dan hampir semua penduduk asalnya juga sudah tua. Jika kami mengadakan kenduri, tetamu yang datang dari taman ini mungkin tak lebih 10 orang.Tapi saya  dan beberapa orang penduduk tua  yang lain mungkin akan terus  tinggal di taman ini sehingga akhir hayat kami.

Monday, May 27, 2013

Hari Keluarga Haji Miskun Ke-4


Dari 24 Mei hingga 26 Mei  2013 yang lalu, anak dan cucu Haji Miskun (aruah bapa mertua saya) telah mengadakan "Hari Keluarga Miskun" di Kuala Linggi.
Ini adalah Hari Keluarga Miskun yang  keempat dan disertai oleh kira-kira 80 orang.

Di samping makan dan minum bersama,  Hari Keluarga Miskun  kali ini diisi dengan sambutan Hari Ibu (khasnya untuk Hajah Aton, isteri Haji Miskun yang masih hidup) pada malam pertama, sukan suka-neka pada hari  kedua,   pertandingan karaoke pada malam kedua, dan penyampaian hadiah  pada pagi hari ketiga.

Perbelanjaan penginapan untuk Hari Keluarga Miskun kali ke-4 ini ditanggung oleh adik ipar saya Yaakob Miskun dan isterinya Zaiton, manakala perbelanjaan makan minum ditanggung bersama. Hadiah dan makanan tambahan disumbangkan  oleh beberapa orang anak dan cucu Haji Miskun.

Bagaimanapun,  abang dan adik yang lebih mampu nampaknya telah menanggung perbelanjaan makan minum dan "pakaian rasmi" kali ini (baju kuning)  abang dan adik yang kurang mampu.

Seperti hari keluarga yang lalu, hari keluarga  Haji Miskun kali ini nampaknya begitu meriah dan menyeronokkan, dan  tentunya  akan diteruskan pada masa yang akan datang.

Saya telah memberi tahu  adik-adik ipar saya bahawa  saya akan menanggung perbelanjaan penginapan untuk  Hari Keluarga Miskun Ke-5, yang saya harap akan dapat diadakan pada bulan Disember 2014. Bulan Disember   2014 menjadi pilihan saya, kerana  hari ulang tahun perkahwinan saya yang ke-50 jatuh pada bulan tersebut.

Bagaimanapun, saya merasa kurang seronok sedikit kerana ada ada adik ipar yang mempunyai persepsi bahawa saya (bekas pensyarah)  adalah "orang pencen kaya"  dan mungkin mengharapkan Hari Keluarga Miskun Ke-5 diadakan ditempat yang agak istimewa.

Sebenarnya saya hanyalah "pesara cukup makan" seperti mereka, dan tentunya akan menanggung penginapan di tempat saya mampu sahaja.

Sunday, May 26, 2013

Bila Tuhan mengujiku

Pada pagi 24  Mei 2013  saya mendapat kemalangan -- melanggar penghadang di tepi jalan dekat rumah saya sehingga bahagian depan kereta saya   remuk.

Dalam keadaan biasa, hal ini mungkin tidak berlaku. Tapi Tuhan   telah menguji saya. Dalam masa sesaat  ingatan saya untuk menekan brek telah dihilangkannya. Saya terlupa sama sekali untuk menekan brek, sehingga kereta saya   meluncur laju  lalu  melanggar penghadang jalan  tersebut.

Sehingga hari ini, saya sebenarnya masih hairan bagaimana hal tersebut boleh berlaku. Saya sudah memandu kereta baru tersebut ke mana-mana kira-kira 10 bulan. Tapi mengapa saya boleh lupa untuk menekan brek dan membiarkan kereta tersebut meluncur laju?

Saya hanya boleh menganggap ini adalah ujian daripada  Allah.  Mungkin Allah ingin menyedarkan saya betapa kerdilnya saya dan boleh lupa, walaupun saya sentiasa berhati-hati. Memang saya adalah hambanya yang lemah dan tidak berdaya apa-apa.

Bagaimanapun,  syukur alhamdulillah, saya hanya mendapat sedikit kecederaan.Aku terima ujian-Mu dengan redha, ya Allah,  di samping  sentiasa  meminta petunjuk dan perlindungan daripada-Mu.

Wednesday, May 22, 2013

Tetamu yang dialu-alukan

Ketika saya bekerja   di UKM dahulu, orang-orang yang  sering  berkunjung ke rumah saya dari masa ke masa memang tidak ramai. Yang sering berkunjung ialah saudara mara saya, khasnya adik beradik isteri saya, selain anak dan menantu tentunya. Kawan dan  pelajar biasanya boleh berjumpa dengan saya di pejabat. Jadi mereka  tidak berapa perlu datang ke rumah. Keadaan demikian tidak banyak berubah selepas saya bersara.

Bagaimanapun,  selepas saya bersara, ada dua kategori  tetamu baru yang  sering datang ke rumah saya dan ingin berjumpa dengan saya: a) Para pelajar dari Indonesia yang meminta saya  "memelayukan" tesis mereka, dan  b) Para pelajar   pascasarjana yang  ingin meminta pendapat saya tentang  hal yang berkaitan dengan penyelidikan mereka.

Mengenai tetamu kategori pertama, saya tidak keberatan membantu mereka, kerana kini  saya pun banyak masa lapang. Lagipun dengan  "memelayukan" tesis mereka, saya dapat sedikit pendapatan tambahan.

Mengenai tetamu kategori kedua pula, saya gembira dengan kedatangan mereka, kerana dengan kedatangan mereka dan berbincang dengan mereka, saya juga dapat menajamkan ingatan dan pemikiran saya.  Dan ini   tentunya merupakan pengiktiraan   terhadap "kepakaran" saya.

Biasanya ada dua bidang "kepakaran" saya  yang ingin dirujuk oleh mereka: a) Masyarakat dan kebudayaan Banjar, dan b) Gerakan kiri Melayu (termasuk  tentang komunis Melayu).

Memang  saya ada  membuat sedikit penyelidikan dan  telah menulis  buku dan makalah tentang kedua-dua  topik tersebut. Dan  kini saya masih berusaha untuk meneruskan penyelidikan dan penulisan  tentang  topik tersebut.

Saya tidak ada masalah untuk bertemu dengan mereka dan menerima kedatangan  mereka. Jadi saya sentiasa mengalu-alukan kedatangan mereka.