Sunday, January 27, 2013

Perkahwinan cucu saudara di Kalsel

Beberapa hari yang lalu saya menerima emel daripada seorang anak saudara di Kalsel, atau lebih tepat di Banjarbaru, yang mengundang saya sekeluarga untuk menghadiri majlis perkahwinan anaknya (jadi cucu saudara saya) pada 21 April yang akan datang.

Ini sebenarnya satu peluang yang bagus untuk saya melihat adat perkahwinan di Banjar. Di samping itu, sambil menghadiri majlis perkahwinan itu tentunya saya berpeluang pula untuk bertemu dengan kaum keluarga di Kalsel, sama ada yang sudah saya kenali ataupun  mereka  yang sebelum ini belum sempat saya temui dan kenali.

Jadi dengan menghadiri majlis perkahwinan  cucu saudara saya itu tentunya  akan dapat merapatkan hubungan dengan saudara mara di Banjar, sekurang-kurangnya dengan keluarga anak saudara saya yang berkenaan.

Akan tetapi, ongkos untuk pergi ke sana perlu diperhitungkan juga. Di samping itu, saya sebenarnya sudah merancang untuk pergi ke Jogja bersama isteri pada 24 Mac 2013, dan mungkin sekali akan menghadiri Kongres Budaya Banjar Ke-3 yang dijangka akan diadakan pada awal April 2013.

Oleh itu, memang sulit juga untuk pergi ke Banjar lagi pada 21 April 2013, walaupun menghadiri majlis perkahwinan itu adalah  satu perkara yang perlu dan menarik.

Thursday, January 24, 2013

Ceramah Agama di Taman Seri Langat

Malam tadi (25 Januari 2013) ada ceramah agama sebagai acara menyambut  Maulid Nabi di surau Seri Langat. Yang memberi ceramah ialah Ustaz Sidek, pensyarah UKM, dari Fakulti Pengajian Islam,  yang baru tinggal di Taman Seri Langat.

Kehadiran pengunjung dewasa, kebanyakannya lelaki, hampir 20 orang. Ini keadaan yang menggalakkan dan menggembirakan.

Bagaimanapun, keadaan yang lebih menggembirakan  ialah adanya seorang pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam UKM yang tinggal di Taman Seri Langat. Mudah-mudahan beliau boleh memberi ceramah lagi dalam  acara yang lain, pada masa yang akan datang.

Pada masa yang lalu, jawatankuasa surau ini sukar mendapatkan penceramah, di samping  pengunjung juga biasanya  terlalu sedikit.

Mudah-mudahan tahun baru 2013 ini akan membawa perubahan kepada surau ini.
Ceramah agama mungkin boleh diperbanyakkan, dan pengunjung juga diharapkan akan bertambah ramai.

Hospital Kerajaan Kekurangan Ubat?

Sejak tahun 2003, saya berulang alik ke hospital pakar  untuk menjalani rawatan buah pinggang saya yang  telah "rosak", 3 bulan atau empat bulan sekali. Pada mulanya saya ke Hospital Selayang, kemudian sejak empat tahun yang lalu saya ke Hospital Serdang.

Pada mulanya, selepas berjumpa doktor, saya biasanya diberi beberapa jenis ubat untuk 3 bulan atau empat bulan sekali, iaitu  untuk penggunaan sehingga  temu janji yang akan datang. Hal ini berjalan selama beberapa tahun.

Akan tetapi, sejak dua tahun yang lalu, Hospital Serdang agaknya  mula  "kekurangan" ubat. Jadi saya biasanya diberi ubat untuk sebulan sahaja, dan perlu datang ke hospital pada tiap-tiap bulan, walaupun saya berjumpa doktor empat bulan sekali.

Dua minggu yang lalu,  satu jenis ubat saya, iaitu ubat untuk kolestrol, agaknya semakin berkurangan. Jadi saya diberi ubat untuk dua minggu saja.

Semalam, selepas dua minggu,  saya ke hospital lagi. Rupanya  ubat untuk kolestrol   masih  berkurangan atau semakin berkurangan. Jadi saya diberi ubat  untuk seminggu saja, dan perlu ke hospital lagi pada minggu hadapan.

Hal ini tentunya menyusahkan saya dan orang-orang lain juga. Selain banyak menggunakan masa, sesiapa yang berkunjung ke Hospital Serdang  juga biasanya  akan menghadapi kesukaran untuk  parking  kereta.

Mengapa terjadi demikian, saya tidak tahu. Akan tetapi, saya kira   ini menunjukkan perkhidmatan  kesihatan di hospital kerajaan   ada masalah, dan mungkin menunjukkan kemerosotan. Adakah kerana wang kerajaan lebih banyak  digunakan untuk hal lain dan tidak cukup untuk Kementerian Kesihatan?

Sunday, January 20, 2013

Membaca buku Lee Kuan Yew

Kira-kira 45 tahun yang lalu, pada tahun 1968, saya  membeli buku tebal,  Lee Kuan Yew  oleh Alex Josey.

Pada masa itu saya  sebenarnya masih belum  boleh membaca buku Inggeris, kerana bahasa Inggeris saya masih sangat lemah. Namun, saya membeli buku itu kerana minat saya dan kekaguman saya  terhadap Lee Kuan Yew, malah pada masa itu beliaulah idoa politik saya.

Selepas  membeli buku itu, saya cuba membacanya dengan bantuan kamus. Akan tetapi, memang terlalu sukar.  Saya hanya mampu  membacanya beberapa muka surat. Akhirnya buku itu saya simpan saja selama beberapa tahun.

Pada minggu ini saya tidak ada kerja yang khusus dan teringat kepada buku itu. Inilah masa untuk saya  membacanya, setelah saya simpan  selama 45 tahun!

Mudah-mudahan buku itu masih ada manfaatnya.