Saturday, December 31, 2011

Sekolah Tahfiz Taman Sri Langat, Kajang

Mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa di Taman Sri Langat, Hulu Langat, tidak jauh dari bandar Kajang, ada sebuah Sekolah Tahfiz yang sudah beroperasi agak lama juga, hampir 20 tahun.

Sekolah ini mempunyai sebuah asrama yang boleh memuatkan kira-kira 30 orang pelajar, terletak berhampiran surau Taman Sri Langat. Surau itu selalu ramai dengan kedatangan orang-orang Tabligh dan menjadi salah satu pusat kegiatan orang Tabligh Hulu Langat.

Sungguhpun sudah lama beroperasi, sekolah tahfiz ini tidak pernah berkembang menjadi sekolah yang besar. Di zaman jayanya sekolah ini hanya mempunyai kira-kira 30 orang pelajar dengan 2 orang guru.

Selepas itu, selama bertahun-tahun ia terus berjalan dengan seorang guru dengan bilangan murid antara 1o hingga 15 orang.

Walau bagaimanpun, sekolah tahfiz ini terletak di satu lokasi yang sangat baik. Ia terletak di bahagian dalam atau belakang Taman Sri Langat, berhampiran dengan sungai dan di kelilingi oleh pokok-pokok, antaranya pokok rambutan yang rimbun. Ia memang satu keadaan yang sesuai dan ideal untuk pelajar menghafal al-Quran.

Kini sekolah tahfiz ini sedang menghadapi kemorosotan murid, antara lain barangkali kerana tidak mempunyai guru yang cekap, berbakat dan berkebolehan.

Walau bagaimanapun, jawatankuasa surau Taman Sri Langat merangkap jawatankuasa sekolah tahfiz ini sedang berusaha untuk mengatasi masalah dan kelemahan ini.

Dengan demikian, adalah diharapkan ibu bapa yang mempunyai anak lelaki yang berumur 12 tahun ke atas, dan bercadang memasukkan anaknya ke sekolah tahfiz, boleh memilih sekolah ini sebagai tempat untuk menghantar anak mereka.

Friday, December 23, 2011

Sejarah Awal Sate Kajang




Sate Kajang sudah terkenal di mana-mana. Ia dijual bukan saja di pekan Kajang, malah di tempat lain yang jauh dari Kajang, sama ada oleh orang yang ada hubungan kekeluargaan dengan peniaga asal sate Kajang, atau oleh orang yang tidak ada apa-apa hubungaan keluargaan dengan mereka.

Orang yang mula-mula berjual sate di pekan Kajang ialah Tasmin bin Sakiban yang berasal dari Jawa. Ia memulakan perniagaan pada tahun 1917 dan dibantu oleh adiknya Rono yang datang lebih awal ke Kajang, pada tahun1911. Mereka telah naik haji, dan kini lebih diingati sebagai Haji Tasmin dan Haji Rono.

Ada juga maklumat yang mengatakan, selain daripada Tasmin, ada seorang lagi penduduk Kajang yang merupakan peniaga awal sate Kajang, namanya Wak Jono Darmon atau namanya setelah haji, Haji Mohamad Noor. Bagaimanapun, perniagaan satenya kemudian diserahkan kepada anak lelakinya Wak Bagong dan menantu lelakinya Rono bin Sakiban, adik Tasmin.

Antara mereka ini, Tasmin dan adiknya Rono-lah kemudiannya yang muncul sebagai pelopor perniagaan sate Kajang yang berpanjangan dan terkemuka.

Pada masa mula datang ke Kajang Tasmin dan Rono tidak terus berjual sate. Mereka melakukan pelbagai pekerjaan, antaranya menjadi buruh menyangkul di estet berhampiran dan bersawah padi.

Sate yang mereka jual mereka buat sendiri dan jual sendiri. Mereka perlu membuatnya pada tiap-tiap hari, kerana pada masa itu belum ada peti sejuk untuk menyimpan sate yang mereka buat.

Ada beberapa jenis sate yang mereka jual, iaitu sate daging, sate ayam dan sate perut. Sate perut dibuat daripada tembusu lembu. Sate ayam tentunya sate ayam kampung, kerana pada masa itu belum ada ayam ternak.

Sate itu dicucuk dengan lidi, bukan dengan buluh seperti sekarang.

Sate yang dibuat oleh mereka berdua mungkin berbeza daripada sate Jawa, di tempat kelahiran mereka, kerana sate mereka lebih besar. Untuk kuahnya pula dikatakan kacangnya lebih banyak dan rasanya pun lebih manis.

Tasmin dan Rono memulakan perniagaan satenya dengan menu makanan sup dan nasi kepal atau ketupat. Sate dimakan oleh semua pelanggan dengan mencelup sate dalam satu mangkuk kuah yang besar. Bagaimanapun, kemudian diubah dengan memperkenalkan sate mangkuk besar dan sate mangkuk kecil untuk setiap pelanggan. Dengan itu, pelanggan tidak lagi berkongsi mangkuk untuk mencelup sate. Kemudian disediakan pula mangkuk kecil dan cili untuk pelanggan yang ingin merasa kuah yang lebih pedas.

Ketika itu Tasmin dan Rono tinggal di Kampung Paya, di tempat yang sebelum ini jadi tapak pemancar radio Kajang. Rumah mereka memang tidak jauh dari pusat bandar Kajang. Jadi mereka boleh membawa sate mereka ke pekan Kajang dengan memikulnya.

Pada mulanya mereka berjual sate dengan cara berkandar, iaitu menggunakan dua bakul khas yang dikandar, sebuah bakul untuk tempat membakar, manakala sebuah lagi untuk kuah dan menghidangkan sate yang telah dibakar.

Mereka berjual sate di sekitar pekan Kajang, bermula dari kampung mereka ke rumah penduduk di kawasan itu. Mereka akan singgah di rumah-rumah yang memanggil mereka di sepanjang perjalanan. Kemudian mereka berhenti di pekan Kajang, di hadapan sebuah kedai kopi Cina, Kedai Kopi Ban Seng.

Pada mulanya Rono membantu Tasmin menjual sate secara sambilan, kerana dia masih bekerja di ladang getah, antaranya di Estet West Country,Kajang. Rono menjalankan perniagaan sendiri setelah mengambil alih perniagaan mentuanya, Haji Mohamad Noor.

Pada awal tahun 1940-an, Tasmin dan Rono mula berjual sate dengan menggunakan kereta tolak, dan tempat mereka berjualan adalah di hadapan kedai kopi Ban Seng, di Jalan Sulaiman sekarang. Sate biasanya dihantar kepada pelanggan di kedai kopi tersebut atau dimakan di tempat yang disediakan di keliling kereta tolak itu dengan duduk di atas bangku kecil yang disediakan.

Mereka berjual sate mulai petang hingga ke malam. Pada waktu malam mereka terpaksa menggunakan lampu sendiri, iaitu lampu gasolin.

Beberapa tahun kemudian, barulah sate mereka dijual di Medan Sate Lama di pekan Kajang, dan tidak perlu lagi di bawa dengan kereta tolak.



Setelah mereka tua dan kemudian meninggal dunia, perniagaan sate itu diteruskan oleh anak atau keturunan mereka. Perniagaan Haji Tasmin diteruskan oleh anaknya Haji Amir. Perniagaan Haji Rono pula diteruskan oleh dua orang anaknya, Haji Sidek dan Mohamad Salleh.



Setelah Haji Amir meninggal dunia, perniagaannya diteruskan oleh menantunya Haji Samuri bin Juraimi, yang juga pangkat anak saudara kepada Haji Tasmin.




Haji Samuri yang menjalankan perniagaan secara lebih profesional dan menggunakan modal yang besar, kini telah dapat mengembangkan perniagaannya sehingga jauh mengatasi perniagaan saudara maranya.



Beliau mempunyai kedai yang besar di Bangunan Dato' Nazir Kajang, di samping mempunyai banyak lagi kedai dan gerai di pelbagai tempat, antaranya di kedua-dua Medan Sate Kajang yang baru, di Bandar Baru Bangi, di Perhentian Awan Besar Lebuh raya KESAS, di Kawasan Rehat dan Rawat Kinrara, di Restoran Jejantas Sungai Buloh, di Kawasan Rehat dan Rawat Dengkil Utara dan Selatan dan di Shah Alam.




Perniagaan Sate Kajang yang dimulakan oleh Haji Tasmin dan Haji Rono jelas mempunyai beberapa keistimewaan, sehingga sate Kajang menjadi sate yang terkenal. Dengan itu, sebagaimana yang dinyatakan di atas tadi, sate yang dijual di pelbagai tempat lain pun banyak yang diberi nama Sate Kajang, walaupun penjualnya tidak ada kaitan langsung dengan Haji Tasmin dan Haji Rono.





Thursday, December 22, 2011

Apa khabar Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor (PSMCS)?

Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor (PSMCS) merupakan sebuah persatuan sejarah yang aktif ketika dipimpin oleh Almarhum Haji Said Razi selama kira-kira sepuluh tahun.

Antara aktiviti utamanya pada tahun-tahun terakhir, sebelum beliau meninggal dunia dua tahun yang lalu, termasuklah mengadakan seminar sejarah daerah-daerah di Selangor, mengadakan ceramah oleh tokoh-tokoh berpengalaman dua kali setahun di bawah program "Sepagi Bicara Sejarah" dan "Sepetang Bicara Sejarah", dan menerbitkan majalah tahunannya, "Malawati".

Akan tetapi, selepas beliau meninggal dunia, semua aktiviti PSMVCS nampaknya telah terhenti.

Aktiviti PSMCM yang terakhir, setelah berehat agak lama, adalah mengadakan Seminar Sejarah Hulu Langat tidak lama dahulu. Akan tetapi, seminar ini dijalankan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang dan seolah-olah menumpang program yang diatur oleh Majlis Perbandaran Kajang. Kertas kerja yang dibentangkan hanya tiga buah, dan penulisnya pun tidak diberi apa-apa sagu hati , sebagaimana yang biasa dilakukan oleh PSMCS pada masa yang lalu.

Pada tahun yang lalu Penolong Setiausaha PSMCS ada memberitahu ahli-ahlinya melalui emel tentang kegiatan yang dilakukan oleh PSMCS dan badan-badan lain. Akan tetapi sekarang pemberitahuan melalui emel ini pun sudah tidak ada lagi.

Sebagai ahli, saya merasa sudah putus hubungan dengan PSMCS dan tidak tahu apa-apa aktiviti PSMCS, jika ada, atau PSMCS sekarang sedang berehat panjang?

Apa khabar PSMCS?

Thursday, December 15, 2011

Kubur Kristian ada, kubur Islam tak ada pula

Taman Kajang Jaya adalah salah sebuah taman perumahan yang agak lama di Kajang. Ia bersambung dengan Taman Kajang Bukit di sebelah atasnya.Kalau tidak silap, taman ini telah wujud pada akhir tahun 1970-an atau 1980-an.

Penduduk Melayu/Islam agak ramai di kedua-dua taman ini; lebih 50 peratus, manakala penduduk yang beragama lain, khasnya Kristian merupakan golongan kecil saja.

Yang anehnya di bahagian hadapan taman ini terdapat kubur Kristian yang agak besar, sementara kubur untuk orang Islam tidak ada. Mengapa begitu?

Adakah kerana orang Islam tidak memintanya dan tidak memikirkan pentingnya tanah kubur untuk mereka?

Sampai bila penduduk taman ini hendak bergantung kepada tanah perkuburan di tempat lain yang sudahpun hampir penuh, seperti di Sungai Kantan atau di Sg.Tangkas, yang agak jauh dari taman ini?

Ini satu kelemahanan orang Melayu/Islam yang patut dihindari pada masa hadapan. Mereka sepatutnya memikirkan dan merancang tanah kubur mereka juga seperti orang yang beragama lain.

Di mana hendak membeli majalah keluaran DBP?

Mulai bulan April 2011 saya berlanggan majalah Dewan Sastera selama setahun dengan DAWAMA. Kalau tidak silap, saya menerima majalah itu sehingga keluaran bulan Julai 2011 saja.

Apabila berlaku krisis antara DAWAMA dengan DBP, dan DAWAMA mungkin menghentikan aktivitinya, saya tidak lagi menerima keluaran Dewan Sastera selanjutnya. Maknanya langganan saya belum habis, tapi baki duit saya tidak pula dipulangkan oleh DAWAMA.

Saya ada mendengar khabar, majalah Dewan Sastera dan majalah lain sekarang dikeluarkan DBP sendiri. Akan tetapi, di Kajang saya tidak tahu di mana majalah-majalah itu ada dijual.

Satu masa dulu ada majalah keluaran DBP yang dijual dikedai 7 Eleven tertentu dan di kedai mamak di depan Metro Plaza, Kajang. Malangnya sekejap ada, sekejap tak ada, dan sekarang saya tidak nampak di mana-mana.

Thursday, December 8, 2011

Menghadiri jamuan Persatuan Pesara

Pada petang 6/12/2011, dari pukul 3.00 hingga pukul 5.00, saya menghadiri jamuan muhibah yang dianjurkan oleh Persatuan Pesara Daerah Hulu Langat. Saya hadir sebagai ahli persatuan itu.

Jumlah kehadiran agak ramai juga; lebih 200 orang. Meskipun hanya jamuan ringan, tapi meriah dan menyeronokkan, khasnya bagi orang yang ramai kawan dan kenalan.

Jamuan tahunan adalah salah satu aktiviti penting Persatuan Pesara Daerah Hulu Langat, selain lawatan dan senaman beramai-ramai, dua kali seminggu pada waktu pagi hari Selasa dan Khamis.

Sayang persatuan ini tidak banyak mempunyai aktiviti dalam masa setahun. Mungkin dalam mesyuarat agung yang akan datang dapat dicadangkan beberapa aktiviti lagi.

Selain itu, hubungan antara jawatankuasa dan ahli mungkin perlu dirapatkan lagi. Dalam kes lawatan ke Bangkok pada akhir bulan ini, ada ahli yang tidak tahu, kerana ahli jawatankuasa tidak memberi tahu mereka. Hal ini tentu perlu dibetulkan.

Monday, December 5, 2011

Indon di mana-mana

Kebanyakan kedai makan di Bandar Baru Bangi memang sudah lama menggunakan orang Indon sebagai pekerja mereka, khasnya yang menjadi tukang masak.

Rangkaian restoran Sate Haji Samuri di Kajang, di Bandar Baru Bangi dan di beberapa tempat lain pun menggunakan orang Indon yang sangat ramai sebagai pekerjanya.

Baru-baru ini saya ke Johor Baharu dan menginap di sebuah hotel yang dihadapannya ada sederet 7 atau 8 buah gerai makan. Semua gerai makan itupun menggunakan orang Indon sebagai pekerjanya.

Saya rasa keadaan di bandar-bandar lain pun begitu juga. Saya tidak tahu orang Indon itu merupakan pekerja yang sah atau berstatus sebagai pendatang haram.

Namun, jelaslah Malaysia merupakan tempat begitu ramai orang Indon mencari makan, dan mungkin kekayaan juga.

Friday, December 2, 2011

Banjir kilat di bandar Kajang




Hari ini, 2/12/2011 bandar Kajang banjir teruk, di katakan yang terburuk selepas tahun 1971. Paras air antara dua hingga tiga kaki.

Kira-kira satu pertiga bandar tenggelam, dan kira-kira 200 buah kereta tenggelam.

Mengapakah banjir yang buruk ini berlaku? Salah satu jawapannya barangkali kerana hujan sangat lebat. Tapi faktor lain ialah sungai yang berhampiran dengan bandar Kajang sudah cetek dan longkang pun mungkin banyak yang sumbat.