Sunday, October 16, 2011

Gerakan Politik Kiri di Hulu Langat: kertas kerja yg tidak dapat dibentangkan

Pada 15 Oktober 2011 saya menghadiri Program Semarak Kemerdekaaan dan Seminar Sejarah Daerah Hulu Langat, anjuran bersama Majlis Perbandaran Kajang dan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor (PSMCS) di Kajang.

Sepatutnya saya membentangkan kertas kerja saya yang bertajuk "Gerakan Politik Kiri di Hulu Langat, 1946-1948" dalam program itu. Akan tetapi, saya tidak dapat berbuat demikian, kerana pihak panitia berpendapat kertas kerja saya tidak sesuai dibentangkan kepada hadirin yang sebahagiannya adalah pelajar sekolah. Di samping itu, mereka takut kertas kerja saya akan menimbulkan kontroversi, setelah timbulnya "isu Mat Sabu".

Ini ialah kerana dalam kertas kerja saya itu saya ada menyatakan bahawa penduduk Jenderam yang menyertai perang gerila bersama PKM pada zaman darurat dahulu adalah juga pejuang kemerdekaan. Ini pendapat yang mereka anggap tidak sesuai didengar oleh murid sekolah, kerana selama ini murid sekolah telah diajar bahawa komunis itu adalah pengganas, bukan pejuang kemerdekaan. Pejuang kemerdekaan ialah UMNO sahaja , bukan golongan kiri, apalagi PKM.

Walau bagaimanapun, saya ada membawa beberapa naskhah kertas kerja saya yang saya cetak sendiri.

Kebetulan pada hari itu turut hadir ADUN Kajang, Cikgu Lee Kim Sin, dan En.Zuklfikar Ali, ahli Majlis Perbandaran Kajang yang kedua-duanya berminat terhadap sejarah. Malah En.Zulfikar Ali menyatakan dia meminati buku saya Paya Jejawi: Satu Kajian Antropologi Politik (DBP, 1989). Jadi saya telah memberikan salinan kertas kerja saya kepada mereka.

En.Zahari pegawai Majlis Perbandaran Kajang yang merupakan salah seorang panitia membayangkan bahawa saya mungkin akan diberi peluang untuk membentangkan kertas kerja saya dalam satu majlis yang lain. Saya tidak tahu bila dan betul atau tidak. Tapi kalau betul, syukurlah. Mudah-mudahan ada munafaatnya.

Friday, October 14, 2011

Sepatutnya Jalan Rekoh, bukan Jalan Reko

Saya tinggal di sebuah taman perumahan di Jalan Reko, Kajang. Dari manakah asalnya nama Jalan Reko?

Saya pernah bertanya kepada seorang guru pencen yang sudah lama tinggal di Kajang tentang asal perkataan Reko. Katanya Reko adalah nama seorang Inggeris. Jawapannya tidak meyakinkan saya.

Apabila saya lihat peta lama negeri Selangor, saya dapati dihujung jalan ini, sebelum sampai ke UKM, ada sebuah tempat bernama Rekoh.

Penyelidikan saya kemudian menunjukkan bahawa pada masa dahulu Rekoh adalah sebuah pekan kecil. Di sekitarnya atau tidak jauh dari pekan ini ada lombong bijih timah. Jadi Rekoh adalah satu tempat yang terkenal.

Penemuan nama Rekoh ini meyakinkan saya bahawa Reko adalah berasal dari nama pekan Rekoh.

Dengan itu, nama jalan yang sepatutnya ialah Jalan Rekoh, bukan Jalan Reko.

Nama Jalan Reko adalah satu kesilapan, dan namanya pun tidak sedap dan tidak cantik. Adakah tidak wajar jika nama jalan ini diubah kepada Jalan Rekoh, atau nama lain yang lebih sesuai?

Wednesday, October 12, 2011

Taman Bangi yang sepi

Taman Bangi adalah sebuah taman perumahan kecil, terdiri daripada 48 buah rumah: 24 buah rumah semi-D, dan 24 buah lagi rumah teres dua tingkat.

Taman ini dekat dengan pekan Kajang, hanya kira-kira dua km. Walaupun namanya Taman Bangi, tapi ia agak jauh dari pekan Bangi lama atau Bandar Baru Bangi.

Ketika mula-mula dibuka, pada tahun 1978, kira-kira tiga suku penduduknya adalah orang Melayu. Kebanyakannya pensyarah UKM.

Saya membeli rumah kepunyaan Dr.Haron Din di taman ini, ketika penduduk Melayu masih ramai.Dr.Kamal Hassan (sekarang Prof.) yang ketika itu masih menjadi pensyarah di UKM, juga tinggal di taman ini.

Satu sebab saya membeli rumah dan tinggal di taman ini adalah kerana penduduknya ramai terdiri daripada pensyarah UKM seperti saya. Malah hubungan baik saya dengan Dr.Kamal ketika itu juga merupakan salah satu faktor mengapa saya memilih tinggal di taman ini.

Akan tetapi, kini komposisi penduduk Taman Bangi telah berubah. Kebanyakan pensyarah UKM telah berpindah ke tempat lain, membeli rumah yang lebih besar atau membina rumah banglo besar di tanah mereka sendiri. Di samping itu , ada juga yang sudah meninggal dunia.

Kini penduduk Melayu hanya kira-kira satu empat. Kebanyakannya sudah tua, dan ada juga yang sudah uzur.

Kalau saya mengadakan kenduri tahlil , yang datang biasanya hanya empat lima orang. Dan saya perlu menjemput penduduk dari taman sebelah untuk meramaikannya.

Bagaimanapun, saya akan terus tinggal di sini, kerana saya tidak bercadang untuk membeli atau membuat rumah di tempat lain. Inilah tempat tinggal saya, mungkin hingga ke akhir hayat saya.

Tuesday, October 11, 2011

Salam Perkenalan

Blog "Dari Kajang" saya wujudkan semula untuk mencatatkan hal-hal peribadi. Sudilah membaca dan memberi komen.